Untuk menjadi seorang jutawan, kita mesti berfikiran seperti orang yang telah menjadi jutawan. Kita tidak boleh membiarkan minda mempercayai kepercayaan karut yang lepas. Mula melatih cara kita berfikir, programkan minda menjadi lebih terbuka untuk menerima kekayaan dunia dan akhirat. Jadikan diri seperti orang jutawan!

Di sini saya kongsikan 21 rahsia gaya dan pemikiran jutawan yang membuatkan para jutawan terus mengekalkan malah menambahkan lagi kekayaan yang sedia ada.

#1: Jutawan Reka Gaya Hidup Sendiri

Tiada siapa yang berhak menentukan gaya hidup kita kecuali diri sendiri. Apa yang kita inginkan dan idamkan adalah hak milik diri kita. Jika kita mengidamkan gaya hidup sederhana, maka kita akan hidup secara sederhana, tetapi jika kita inginkan kehidupan seperti orang jutawan, maka kita akan hidup seperti orang jutawan.

Jangan biarkan ianya direka oleh orang lain. Reka gaya hidup kita sendiri, reka seperti kita sedang menghias rekaan dalaman rumah idaman kita.

#2: Think BIG!

“Walau apa sekalipun kita tetap perlu berfikir, jadi kenapa tidak berfikir secara besar?” – Donald Trump

Kenapa kita perlu terhadkan daya pemikiran kita, sedangkan kita mampu berfikir dengan lebih meluas lagi. Seperti yang telah saya kongsikan dalam program saya, “Apa yang kita fikirkan merupakan satu DOA.”

#3: Mempunyai Impian Yang Jelas

Impian atau angan-angan merupakan proses pertama sebelum kita mengubahnya menjadi realiti hidup. Bagi seorang jutawan, mempunyai impian yang besar, jelas dan logik untuk dicapai merupakan perkara asas yang diperlukan bagi mencapai kejayaan dan kekayaan hidup.

Melalui impian, pelan tindakan akan mula wujud untuk memainkan peranannya. Ilmu dan tindakan yang proaktif juga diperlukan bagi membantu impian menjadi realiti hidup.

 #4: Kepercayaan Terhadap Wang

Ini bukan ‘kebarangkalian’, ‘mungkin’, ‘kalau boleh’, ‘kalau dapat’, ‘boleh ker’ dan lain-lain lagi yang mempunyai maksud ragu-ragu menjadi seorang jutawan. Kebanyakan orang tidak mempercayai bahawa mereka berhak mendapat wang yang banyak sehingga boleh menjadi seorang jutawan.

Masalahnya, ramai orang menganggap wang sebagai punca kejahatan, sifat lagak, bongkak, penipuan wujud dan lain-lain lagi yang bersifat negatif. Tidak salah memiliki wang yang banyak, yang salah adalah mereka yang tidak erti menggunakannya. Manusia yang mempengaruhi cara penggunaan wang dan bukannya wang mempengaruhi hidup manusia.

Sebagai contoh, jika kita memiliki wang yang banyak, kita mempunyai peluang yang jauh lebih besar untuk membantu orang lain melalui sumbangan derma, menjadi mentor, menyediakan projek-projek yang boleh memanfaat orang lain seperti rumah anak yatim dan banyak lagi.

#5: Jutawan Tidak Merungut

Jangan asyik menyalahkan orang lain atau merungut bila ditimpa kesusahan. Segala yang terjadi kepada kita adalah hasil dari kesan tindakan lepas kita. Dari sibuk memikirkan masalah, lebih baik kita memikirkan cara-cara jalan penyelesaian.

Jutawan mengetahui satu rahsia iaitu “Jika kita memikirkan kesusahan maka kesusahan akan sentiasa mendampingi diri kita.”

#6: Mempunyai ‘WHY’ Yang Kuat

Kenapa kita perlu berjaya? Kenapa kita perlu jadi jutawan? Untuk siapa kejayaan ini? Siapa yang kita boleh bahagiakan dengan menggunakan kejayaan ini? Guna soalan ini untuk mencari penyebab kejayaan kita.

Tanpa penyebab yang kuat manusia tidak akan melakukan sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh. Penyebab ini akan menjadi pemangkin semangat yang cukup hebat untuk kita mengharungi rintangan cabaran mendatang bagi membina kejayaan hidup.

Penyebab ini boleh didapati dari pelbagai sumber. Sebagai contoh, dari keluarga seperti ibu bapa dan adik-beradik.

Cari penyebab yang kuat dan cuba gembirakan mereka melalui pengorbanan usaha sepenuh hati kita.

#7: F.O.C.U.S

Robert Kiyosaki merupakan seorang pakar di dalam bidang kewangan dan pelaburan. Beliau telah menggunakan teknik F.O.C.U.S. sebagai salah satu proses tindakan luar biasa beliau.

F = Follow (Mengikut)

O = One (Satu)

C = Course (Jalan)

U = Until (Sehingga)

S = Success (Berjaya)

Ia bermaksud, berpegang kepada satu jalan (matlamat) dan menyalurkan kesemua tenaga, tumpuan dan usaha di situ sehingga ia memberi kejayaan kepada kita. Setelah berjaya, barulah beralih ke matlamat yang lain.

Seorang jutawan akan memberi fokus 100% dalam melakukan suatu perkara. Mereka akan melakukan kerja satu demi satu mengikut keutamaan sehingga ia selesai. Mereka tidak akan terpengaruh dengan hasutan-hasutan yang boleh menjejaskan kerja mereka.

#8: Komitmen Lebih Dari 100%

Tiada kejayaan besar wujud tanpa komitmen kerja yang luar biasa tindakannya. Komitmen umpama perjanjian diri dengan kejayaan hidup, sama ada kita sanggup hadapinya ataupun tidak.

Seorang jutawan yang sanggup bekerja keras dengan memberi komitmen lebih dari 100% di dalam usahanya, mereka pasti akan mendapat hasil habuan yang setimpal dengannya.

#9: Menghabiskan Sesuatu Perkara Sehingga Ianya Selesai Berjaya

Seorang jutawan mesti tegas dan tetap dengan pendirian matlamat yang dibuatnya. Mereka akan memikirkan jalan penyelesaian yang terbaik bagi sesuatu matlamat sehinggalah ianya selesai berjaya.

Tiada lagi masa untuk toleh ke belakang, hanya memandang masa hadapan yang gemilang melalui perancangan yang bijak dan tepat.

#10: Bertindak – Fast Action

Tindakan adalah kunci pemisah antara kejayaan dan kegagalan. Tindakan cepat akan membawa keputusan yang cepat.

Seorang jutawan sentiasa bertindak cepat apabila diberi peluang yang menguntungkan diri dan orang lain. Tindakan cepat disusuli dengan usaha luar biasa akan memberi impak yang amat besar di dalam kejayaan hidup.

#11: Ketagih Ilmu

Dengan ilmu, kita boleh menakluk dunia! Jika kita perasan, ramai jutawan yang sanggup membayar puluhan ribu semata-mata untuk mendapatkan ilmu baru.

Mereka ketahui satu rahsia yang orang biasa tidak ingin ambil tahu. Rahsianya ialah dengan ilmu sahaja taraf pemikiran, kejayaan dan kekayaan akan mula berkembang serta meningkat tinggi.

Mereka tidak akan berhenti mencari ilmu baru dan mereka juga tidak akan kedekut untuk berkongsinya dengan orang lain. Berkongsi ilmu dengan orang lain akan menguatkan lagi daya ingatan dan daya tindakan kita dalam sesuatu perkara.

#12: Mempunyai Sistem

Jika dilihat, orang jutawan mempunyai sistem yang mereka ikuti dalam setiap tindakan yang mereka lakukan. Ini kerana mereka mempercayai dengan sistem yang teratur dan jelas, ia akan membantu mempercepatkan proses kejayaan mereka.

Untuk mempelajari sistem ini, kita mesti bersedia mengorbankan masa melalui pembacaan, hadiri seminar, kelas, kursus dan lain-lain lagi. Lagi bagus jika ada mentor yang boleh menjadi panduan diri.

#13: Mempunyai Mentor

Kebanyakan jutawan di dunia, mereka mempunyai mentor sebagai bantuan bagi perjalanan kejayaan mereka. Mentor yang sudah terbukti kaya dan berjaya di dalam bidang perniagaan merupakan contoh terbaik untuk kita jadikan sebagai panduan perniagaan.

Dengan pengalaman mentor, kita tidak perlu lagi bersusah payah memikirkan strategi-strategi perniagaan. Malah ilmu mereka akan memudahkan lagi perjalanan menjadi lebih singkat dalam mencapai status jutawan.

#14: Berdamping Orang Positif

Jutawan tidak akan membazir masa dengan orang yang suka gosip, fitnah, borak kosong, membuat perkara yang tidak berfaedah dan lain-lain. Mereka tahu bahawa dengan siapa mereka berkawan dan berborak akan memberi kesan besar ke atas pemikiran dan tindakan mereka.

Kesimpulannya, berkawan dengan orang pemikiran negatif akan memberi kesan negatif kepada diri kita. Manakala berkawan dengan orang positif akan memberi inspirasi dan pemikiran positif kepada diri kita.

#15: Berdamping Dengan Jutawan

Untuk menjadi jutawan, perkara paling mudah ialah dengan berdamping dengan para-para jutawan. Satu kajian mengatakan bahawa, untuk mengetahui tahap mana wang serta kejayaan individu itu adalah dengan melihat siapa kawan sekelilingnya.

Jadi jangan buang masa, mula mencari kenalan-kenalan yang sudah berjaya membina kekayaan dan mula berdamping dengan mereka.

#16: Aktif Di Dalam Bidang Pelaburan

Salah satu cara menggandakan wang adalah melalui pelaburan. Terdapat banyak jenis instrumen pelaburan yang boleh menjana pendapat secara pasif bagi kita. Antara pelaburan yang boleh kita ceburi ialah hartanah, saham, emas atau perak. Pastikan pelaburan ini sah dari segi undang-undang.

Ramai jutawan yang menggunakan pelaburan sebagai mesin buat wang secara automatik, di mana ia akan menjana wang tambahan tanpa perlu mereka bersusah payah mengusahakannya.

#17: Tukar Masalah Kepada Keuntungan

Ramai orang yang merungut apabila masalah menimpa diri mereka. Bagi seorang jutawan, masalah adalah punca kepada keuntungan diri dan perniagaan. Mereka menggunakan masalah dan mencari jalan penyelesaiannya. Kemudian, pasarkan jalan penyelesaian kepada orang yang memerlukannya.

Sebagai contoh, ramai di antara kita mempunyai masalah kulit seperti jerawat, jeragat hitam, dan gatal kulit. Jika orang biasa, mereka akan mula merungut dan mengadu masalah ini kepada orang lain.

Pemikiran seorang jutawan amat berbeza, mereka akan menggunakan masalah ini dan mencari jawapan baginya. Seperti mengeluarkan produk yang dapat memperbaiki masalah kulit ini dan mengaut keuntungan besar darinya.

#18: Berani Meneroka Cabaran Baru

Ramai orang terkandas dalam membina kekayaan kerana mereka takut untuk keluar dari zon selesa sedia ada. Bagi jutawan, zon selesa merupakan satu perkara yang mesti dihindarkan dengan cara mencuba sesuatu yang baru bagi menambah ilmu dan pengalaman hidup. Bagaimana kita hendak berjaya jika kita masih lagi berada di posisi hidup yang sama. Keluar dari kepompong ini dan terokai cabaran baru.

#19: Tidak Takut Kegagalan

Seorang jutawan tidak akan rasa takut kegagalan yang menjelma. Malah mereka mengundangnya dan meraikannya dengan rasa syukur dan gembira. Melalui kegagalan, kita dapat memperbaiki lagi jalan penyelesaian sehingga menemui kejayaan.

Kita juga dapat membantu orang lain dengan memberi panduan kejayaan yang tidak lagi memerlukan kegagalan seperti kita lalui kepada orang ramai. Ini akan membantu dan menambah nilai kehidupan orang lain.

#20: Menambah Nilai Kehidupan Orang Lain

Menambah nilai kehidupan orang lain kepada yang lebih baik lagi merupakan misi utama seorang jutawan. Terdapat banyak cara untuk kita menambah nilai antaranya melalui;

a) Kewangan: miskin daif, OKU, ibu tunggal, anak yatim, warga emas, badan-badan kebajikan, NGO, tabung bencana alam, hidupan lain dan banyak lagi.

b) Pendidikan : golongan buta huruf, mengeluarkan buku, seminar, kursus, kelas atau menjadi mentor.

Kita juga boleh menambah nilai dari segi perlindungan, kasih sayang, perhatian dan banyak lagi kepada manusia dan hidupan lain.

# 21: Bersyukur

Dengan bersyukur, kita dapat membersihkan sedikit jiwa kita yang berkarat ini. Orang jutawan tahu bahawa jika mereka kurang bersyukur mereka akan menghadapi masalah konflik diri.

Bersyukur setiap hari merupakan amalan yang dilakukan oleh mereka. Setiap kali kita bersyukur, ia akan mengingatkan kita betapa bertuahnya diri ini kerana masih boleh menagih sedikit kekayaan dunia dan mungkin boleh membawa sedikit keberkatan darinya ke akhirat.

Kita boleh mula bersyukur dengan nafas yang diberi setiap saat tanpa henti oleh Allah swt. Tanpa nafas, kita mungkin tiada lagi di dunia ini. Bersyukur dengan tubuh badan yang masih sihat dan kuat. Dengan tubuh ini, kita dapat meraih rezeki setiap hari tanpa henti.

Setiap kali kita rajin bersyukur, kita akan cuba melakukan sesuatu perkara dengan lebih bersungguh-sungguh bagi menghargai pemberian yang diberi dari-NYA.

Comments

comments