Alhamdulillah, rombongan Richwell ke Kelantan untuk membantu mangsa banjir berjalan lancar. Bantuan kemanusiaan ini adalah hasil dari sumbangan orang ramai dan Alumni Dr Azizan. Kami sungguh tersentuh hati dengan segala sumbangan prihatin yang telah diberikan oleh para penyumbang dan para penderma selama beberapa hari ini yang datang tanpa henti-henti semata-mata untuk contribute pada Bencana Banjir ini.

Ada juga penyumbang yang datang dari jauh dan dekat sehingga lewat malam hanya untuk membantu dan menghantar makanan dan barangan. Tidak ada perkataan yang mampu kami ungkapkan  melainkan ucapan seikhlas-ikhlas terima kasih atas segala sokongan dan bantuan yang diterima selama beberapa hari ini dan kami berdoa dan memohon daripada Yang Maha Esa untuk anda semua agar dibalas segala-galanya, diberi rahmat dan rezeki yang melimpah ruah.

Rombongan kali kedua kami ke kawasan pendalaman Kelantan di Kampung Kajang Sebidang, Tumpat agar mencabar. Macam waterworld dah! Air dah surut sikit. Adventure gak jalannya.

Kami berjumpa dengan mangsa banjir yang kehilangan sanak saudara, kehilangan tempat tinggal, kemusnahan harta benda dan pelbagai lagi ujian yang melanda. Kini mereka kembali untuk memulakan hidup yang baru. Segala pujian bagi Allah, bersama-sama dengan kami, sangat ramai yang menyumbang dan membantu. Sokongan moral dan sosial sangat-sangat mereka perlukan buat masa ini untuk membina balik hidup mereka. Bagi anda yang berkelapangan, saya seru untuk anda datang sendiri, membantu dan melihat bagaimana keadaan mereka hari ini.

Sambil memberi bantuan dan sokongan, tidak salah kiranya saya ingin berkongsi sedikit dengan anda untuk difikir-fikirkan. Bagaimana situasi musibah yang melanda Negara hari ini, betul-betul memanggil setiap daripada hambaNya untuk kembali insaf dan bertaubat. Betapa bersyukurnya bila berada di situasi memberi dan betapa rahmatnya mereka yang menerima. Tampak masing-masing dengan kegirangan wajah walaupun jauh di sudut hati mereka, hanya Allah sahaja yang tahu.

Di program Intensif Magnet Kekayaan & Kejayaan (IMKK), saya mendidik semua anak murid saya tentang ‘memberi untuk menerima’ dan ramai daripada mereka yang mempraktikkan ilmu ini telah dapat merubah hidup mereka, mencapai kejayaan, meningkatkan kewangan, sentiasa bahagia di sisi keluarga serta ramai anak murid saya kini menambah nilai dan membantu hidup ramai orang lain agar lebih sempurna dan berjaya.

Bagi anda yang memiliki bisnes sendiri, anda mempunyai tanggungjawab sepenuhnya terhadap kelancaran keseluruhan operasinya. Percaya atau tidak, semakin banyak anda memberi semakin cepat dan mudah anda mencapai segala impian-impian anda. Tapi masih ada golongan di luar sana yang tidak yakin dengan idea ini. Malah, kebanyakan ahli bisnes masih hidup di kelilingi oleh mitos atau kepercayaan ‘miskin’ sepanjang hidup mereka.

Sebenarnya, mitos ini tidak betul sama sekali.

Di sini saya ingin berkongsi dengan anda 10 sebab kenapa kita semua perlu sangat memberi dan menyumbang dalam kehidupan kita. InsyaAllah segala rujukan adalah berpandukan daripada Al-Quran dan Hadis.

Sebab 1: Ciri-Ciri Orang Yang Beriman Dan Bertaqwa

Allah berfirman di dalam Surah Al-Baqarah ayat 2-3: “Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa. Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka”.

Siapalah kita untuk mendakwa rezeki yang kita miliki hari ini milik kita. Semuanya adalah milik Dia. Dia tidak mahukan rezeki kita, tapi Dia hanya mahu kita belanjakan untuk jalannya. Moga makin kita belanja, makin kuat keimanan dan ketaqwaan kita.

Sebab 2: Cita-Cita Orang Sudah Mati Dunia Ingin Kembali Ke Dunia

Allah berfirman di dalam Surah Al-Munafiquun ayat 10: “Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh”.

Ya Allah, orang yang mati minta untuk kembali ke dunia untuk bersedekah. Kenapa kami yang masih hidup ini tak mahu bersedekah? Astagfirullahal Azim.

Sebab 3: Sedekah Menyucikan Hati

Allah berfirman di dalam Al-Quran: “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. [At-Taubah:103]

Saya bukanlah pakar untuk menghukum setiap hati manusia samada akhlaknya baik atau buruk. Tapi saya pasti bagi mereka yang merasakan akhlak tidak berapa baik, suka fitnah sana sini, tiada sehari pun hidup melainkan untuk mengeji manusia lain, saya cadangkan supaya anda bersedekah. InsyaAllah, saya yakin dengan ayat ini, masing-masing boleh experience bagaimana dengan bersedekah, ia menyucikan hati. Hanya diri kita sahaja yang tahu akhlak kita baik atau buruk. Betul ke betul?

Sebab 4: Mendapat Payungan Di Hari Tiada Payungan Melainkan PayunganNya

Ketika kita semua di akhirat, matahari akan berada sejengkal di atas kepala. Masing-masing akan kepanasan sementara menunggu setiap amalan untuk dihisab. Tapi ada 7  kelompok manusia yang mendapat lindungan dan teduhan dari tuhan. Salah satunya mereka yang bersedekah dengan tangan kanan, dia menyembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui.

Saya yakin anda semua pernah terbaca akan hadis lengkap tentang perkara tersebut. Tapi bersedekah adalah antara perkara yang sangat mudah untuk dibuat oleh semua orang. Bagaimana nak buat supaya tidak ingat-ingat atau berkira bila bersedekah? Sedekah banyak-banyak. InsyaAllah, anda tak akan ingat berapa banyak yang telah anda sumbangkan.

Sebab 5: Sedekah Boleh Menghindarkan Diri Dari Bala & Bencana

Allah berfirman di dalam surah An-Nisa ayat 39, “Apakah kemudaratannya bagi mereka, kalau mereka beriman kepada Allah dan hari kemudian dan menafkahkan sebahagian rezeki yang telah diberikan Allah kepada mereka? Dan adalah Allah Maha Mengetahui keadaan mereka”.

Bala dan bencana merupakan kemudaratan kepada manusia. Sebagai hambaNya yang dhaif, kita memang tidak mampu untuk menggunakan kudrat hanya sebagai manusia untuk menolak kemudaratan atau apa sahaja malapetaka yang menimpa. Akan tetapi, Allah yang Maha Pengasih itu mengatur sesuatu aturan yang terbaik untuk hambaNya. Melalui sedekah, InsyaAllah, kita yakin pada kalamullah, malapetaka akan dapat dielakkan. Terlalu banyak hadis dan athar dari sahabat tentang sedekah boleh menolak bala. Ketahuilah, sekalipun seseorang itu banyak dosanya dengan tuhannya, sedekah mampu menjadi penyebab turunnya rahmat Allah swt dan tertolaknya bencana Allah swt.

Sebab 6: Penyebab Untuk Membanyakkan Lagi Harta

Di dalam Al-Quran Allah ada menyebut, “Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya dan Dia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya dan Dialah jua sebaik-baik Pemberi rezeki”. [Saba:39]

Hanya kuasa Allah memewahkan dan menyempitkan sesiapapun di kalangan hambaNya. Namun Dia langsung tidak pernah menzalimi hambaNya. Maka diberikan rezeki untuk setiap hambaNya. Dan Dia juga mahu tambahkan lagi rezeki tersebut, tapi dengan syarat hambaNya itu menderma. Bukan saya yang cakap, tapi ini kata Tuhan sendiri. Makin bersyukur, makin ditambah. Tapi kalau kufur, pedih azabnya wahai sahabat.

Sebab 7: Mendapat Kasih Sayang Allah SWT

Kata Rasulullah saw, “Sesungguhnya sedekah yang sembunyi dapat memadamkan kemarahan Tuhan.”

Memang tidak dinafikan, apabila seseorang itu menggembirakan makhlukNya yang lain, bukankah dia juga layak untuk mendapat kasih sayang dari Penciptanya. Maka tidak perlu hairan kenapa sedekah mampu untuk menidakkan kemarahan Allah. Dalam masa yang sama, bersedekah lah dengan seikhlas hati, agar semuanya diberkati.

Sebab 8: Penyembuh Penyakit

Kata Rasulullah saw, “Sembuhkan penyakit kalian dengan bersedekah”. Suatu hari seorang lelaki berjumpa dengan Ibnu Mubarak dan mengadu bahawa sudah 7 tahun dia menderita mengalami kesakitan di lututnya. Sesungguhnya dia telah mencuba pelbagai rawatan dan ubatan namun tiada satu pun yang berjaya dan berhasil.

Tabib-tabib juga sudah tidak bermanfaat lagi baginya. Maka Ibnu Mubarak berkata padanya, “Pergilah kamu mencari kawasan yang manusia perlukan air, aku berharap penyakit mu akan beransur pulih.” Maka lelaki tersebut mengikut akan nasihat itu dan dia sembuh!

Sebab 9: Mendapat Perhatian Daripada Malaikat

Setiap pagi, akan datang dua malaikat yang mendoakan kita semua. Kata Nabi seperti mana yang pernah diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, “Doa Malaikat setiap pagi ialah: Ya Allah, Engkau berikanlah kepada penyumbang itu gantian, dan Engkau berikanlah kepada orang yang kedekut itu kemusnahan.”

Alangkah istimewanya kehidupan para penyumbang. Mendapat doa yang bagus dari malaikat yang merupakan makhluk yang sentiasa bersama Allah. Tapi ingat, orang yang bakhil pun ada doanya. Moga harta kita semua tidak dimusnahkan oleh Allah disebabkan kebakhilan kita.

Sebab 10: Ketenteraman Hati

“Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma) dan dia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya. [Al-Baqarah: 268]

Ramai yang takut miskin bila bersedekah. Tahukah anda yang menakutkan kita semua tentang kemiskinan itu adalah syaitan? Lebih keji dari itu, selain melarang manusia bersedekah, mengajak pula ke arah kejahatan dan menjadi seorang yang bakhil. Ingatlah, ketenteraman hati itu apabila kita sentiasa mengingati Allah.

Oleh itu, saya tak perlu untuk memanjangkan bicara. Teruskan menyumbang dan kami mengalu-alukan lebih banyak bantuan dan sumbangan untuk membantu mereka menghadapi pasca banjir semampu kita Insya Allah. Bantu kami untuk bantu lebih ramai. Insya Allah ianya sampai terus ke tangan penerima. Tak kisahlah anda sumbang direct ke, atau melalui sesiapa pun, janji kita buat sesuatu.

Bagi anda yang masih ingin menyumbang tenaga, makanan dan barangan keperluan kepada mangsa banjir melalui saluran kami, sila hubungi Team Richwell di 012-2696492. Bantuan kewangan Tabung Bencana Banjir masih boleh disalurkan ke Akaun Richwell: MAYBANK 5541 2951 7126 atau CIMB 8602 1515 90.

Salam hormat,

Dr Hj Azizan Osman

Jurulatih Kejayaan & Pakar Pemasaran No.1 Asia

Comments

comments