How To Get Others To ‘Shut Up’?

Bunyinya agak pelik, mana mungkin untuk kita buatkan orang tidak bercakap tentang kita. Dari dulu sampai sekarang adalah perkara yang sangat mustahil untuk buatkan orang lain diam dan tidak bercakap mengenai kita. Ini kerana bak kata pepatah, “Lidah tidak bertulang, ia senang dilentur dalam apa jua keadaan samada seseorang itu ingin menggunakannya ke arah kebaikan atau juga keburukan”.

Betapa beratnya soal lisan ini sehingga Rasul yang mulia seringkali mengingatkan ummatnya agar tidak mudah terpesong dan tergelincir jatuh ke lembah kebinasaan hanya dengan anggota yang tersembunyi di dalam mulut seseorang. Antara hikmah anggota itu tidak dizahirkan supaya ia lebih tersimpan kemas di dalam mulut dan dan dipagari pula oleh gigi-gigi yang keras supaya ia hanya dikeluarkan demi tujuan kebaikan dan bukan untuk menyakiti.

Sesungguhnya manusia itu bekerja dengan tangan dan berkomunikasi dengan lisan. Dengan tangan kita boleh merubah dunia samada untuk tujuan kebaikan ataupun kehancuran, manakala dengan lisan kita juga boleh menyuarakan kebaikan mahupun kemusnahan. Kedua-duanya adalah anggota yang sangat unik ciptaan Tuhan buat hambaNya untuk memastikan manusia itu sentiasa bertindak untuk merubah hidupnya. Malang bagi seorang hamba itu apabila hanya tahu menggunakan kedua anggota bernilainya itu hanya ke arah yang tidak boleh memberi apa-apa manfaat pada insan yang lain.

Seringkali baginda yang mulia mengingatkan, “Seorang Muslim itu adalah seorang yang selamat lisannya dan juga tangannya (dari kejahatan)”. Hadis riwayat Al-Bukhari. Betapa tingginya nilaian seorang Muslim sehingga kaitannya itu berpunca daripada tangan dan lisannya. Oleh yang demikian, berapa tinggi keberanian seseorang itu mendakwa dirinya Muslim kalau dia masih belum mampu untuk menyelamatkan saudara Islamnya yang lain dengan tangan dan lisannya? Maha suci Allah, bersyukurnya kami diutuskan seorang Rasul yang sentiasa mengingatkan peranan lisan dan tangan ini.

Dunia akhir zaman, peranan lisan itu sedikit demi sedikit makin kurang tugasannya. Ini kerana peredaran zaman yang pantas, dunia teknologi hari ini telah mengubah ketamadunan manusia daripada berkomunikasi dengan lisan kepada berkomunikasi dengan tangan. Maka peranan tangan mengambil alih tugasan lisan tanpa mengira peringkat umur mahupun pangkat dan rupa.

Hampir semua orang hari ini bercakap dengan tangannya. Samada kegunaannya itu menabur kecelakaan ataupun mengajak manusia ke arah kedamaian dan kesejahteraan. Lihat sahajalah sebuah keluarga yang makan di kedai, masing-masing ada mulutnya, tapi suaranya ghaib mengalir melalui tangannya. Bagi mereka yang biasa melalui kesesakan ketika pulang dari pekerjaan, ketika waktu malam, majoriti pemandu dan penumpangnya memiliki wajah yang bercahaya.

Sebab itulah baginda yang agung sentiasa mengingatkan kita akan pentingnya menyelamatkan orang lain dengan lisan dan tangannya demi menjaga hakikat bahawa seseorang itu benar-benar Muslim yang sejati. Dan ingatlah, apabila peranan lisan itu diambil alih oleh tangan, kemampuannya adalah berganda-ganda kuatnya berbanding apabila bercakap dengan lisan. Kalau dahulu nak bercakap pandang-pandang, kini semua boleh mengomen dan mengutuk sesuka hati. Dahulu kalau nak mengumpat, ianya akan tamat apabila masing-masing berpisah. Kini tulisan umpatan itu kekal dan boleh ditadarus setiap hari selagi ianya tidak dihapuskan dari alam ini.

Oleh yang demikian, peluang untuk orang yang suka dan gemar bercakap dengan lisan, kini lebih ghairah bercakap dengan tangannya. Sehingga kadang kalanya tidak sabar mahu memberi salam usai solat demi untuk melihat siapa lagi yang sedang meng‘update’ statusnya di alam maya. Maka tidak hairanlah budaya suka bercakap perihal orang lain itu kini lebih hebat dan hanya boleh dilakukan walaupun bersendirian di dalam hutan yang gelap. Bercakap dengan lisan pun banyak terbabas dan terpesong, apatah lagi apabila mula bercakap dengan tangan? Yang lebih nyata zahirnya dan lebih kuat tulangnya berbanding yang tidak bertulang?

Adakah kita mampu untuk buatkan mereka diam? Jawapannya adalah tidak. Manusia itu fitrahnya pejuang apa sahaja yang menjadi kepercayaannya. Samada kebenaran atau tidak, itu bukanlah tahapnya di tempat yang utama. Biarlah menyakiti saudara Muslimnya yang lain, namun kepetahan tanpa henti ingin bercakap perihal orang lain tidak mungkin boleh disekat lagi selagi nyawa itu masih belum berpisah dengan empunya diri.

Oleh yang demikian, sebagai manusia biasa, bahkan Nabi sekalipun tidak mampu untuk buatkan orang tidak bercakap mengenai dia. Apa yang kita mampu adalah mengingatkan pesanan wahyu agar jangan terlalu ghairah dan lancang dalam menutur kata tambahan lagi apabila mulutnya dijelmakan kepada tangannya.

Apa yang pasti, mereka yang suka bercakap perihal orang lain adalah orang gagal sebenarnya. Sepatutnya mereka yang tidak mendapat kasih sayang ketika waktu membesar, akan menjadi seorang pendiam dan kurang bercakap dan akhirnya menyendiri bersama dunianya. Tapi itu mungkin dahulu dan tidak lagi sekarang.

Kata Nabi lagi, antara kecantikan seorang Muslim itu adalah meninggalkan perkara yang tidak ada kaitannya dengan dirinya. Namun berapa ramai yang boleh kekalkan kecantikan tersebut apabila tangan mula menjalar dengan rakus menyebar celaka dan fitnah ke sana ke mari?

Kata Allah di dalam Surah Al-Hijr, “Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa engkau (Muhammad) bersusah hati dengan sebab apa yang mereka katakan. Oleh itu, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu, serta jadilah dari orang-orang yang sujud. Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu keyakinan (kematian)”.  [Al-Hijr:96-99]

Siapa yang tidak susah hati apabila setiap hari ada orang yang bercakap mengenai kita. Andai cakapnya itu elok pun, pastinya ia akan diekori dengan perkara yang tidak elok. Sedangkan seorang kekasih Allah juga ada bunyian-bunyian sumbang tentang dirinya, masakan kita yang jauh berbanding dia mahu bebas dari segala percakapan manusia. Bahkan sekali-kali tidak.

Apa yang kita boleh lakukan adalah, teruskan dengan usaha murni yang kita sedia lakukan ini tanpa menghiraukan suara-suara gagal itu yang setiap hari berada di dalam kegagalan tanpa ada usaha ingin menjadi Muslim yang terbaik.

Sebagai Muslim yang baik, apa yang boleh kita beri, berikanlah yang terbaik. Banyakkanlah menyumbang demi pelaburan kepada saham-saham akhirat yang tidak pernah akan rugi. Kemuliaan itu terletak kepada banyak mana kita memberi. Mereka yang hanya suka menerima, kadang kala mereka itulah kurang menghargai. Maka jadilah seorang pemberi yang budiman.

Di samping itu juga, jangan lupa untuk doakan mereka yang sentiasa tidak pernah jemu berbicara perihal kita itu dengan doa yang terbaik. Kalau mampu untuk bangun di tengah malam untuk bersujud, selitkanlah nama mereka antara tahajjud kita semua. Tunjukkan bahawa kita menyayangi mereka dan mahu mereka juga menjadi seorang Muslim yang indah kemuslimannya.

Dan yang terakhir, perkara yang paling susah untuk kita lakukan adalah memaafkan mereka. Di antara hikmah kenapa Rasulullah S.A.W dijumpakan dengan Nabi Yusuf A.S ketika malam mi’raj, adalah menjadikan Nabi Yusuf sebagai inspirasi bagaimana baginda memaafkan saudara-saudaranya yang memisahkannya dengan ayahanda kesayangannya di waktu kecilnya sehingga dia mengalami proses kehidupan yang sangat memeritkan. Lantas kemuliaan hatinya seorang Nabi yang bernama Yusuf memaafkan segala-galanya.

Baginda Rasulullah juga di hari pembukaan Kota Makkah, memaafkan Quraisy yang dahulu menyeksa baginda dan menyakiti sahabat-sahabat baginda. Kenapa kita juga perlu menjadikan Rasulullah itu sebagai inspirasi dalam hal ini? Kerana dendam itu tidak akan boleh dibawa ke mati. Memaafkan itu melapangkan dada dan menyucikan kolam jiwa yang ingin menarik lebih banyak kebahagiaan dan keberkatan.

Lebih cemerlang apabila kejayaan dan kekayaan juga turut sama datang mengisi kekosongan kolam tersebut. Banyakkanlah bertasbih, memuji Allah dalam apa jua keadaan dan sentiasalah bersujud sehingga kita semua dijemput pulang dengan hati yang damai dan sejahtera.

Adakah kita lebih bersedia untuk berdiam diri dan bercakap untuk tujuan yang baik-baik sahaja?

 

Comments

comments