Alhamdulillah, setinggi kesyukuran yang tidak terhingga dirafa’kan untukNya di atas nikmat yang tidak terhitung, selawat serta salam tanda penghargaan buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W atas perjuangan yang tidak pernah mengenal penat dan lelah semata-mata menjaga agama Tuhan ini untuk kita, para pejuang pencinta agama, serta pendokong dan penyokong AO Tribe moga anda kaya dan berjaya selalu.

Kami tidak bercadang untuk membicarakan perkara yang berat. Kami percaya, rata-rata pembaca AO Tribe adalah mereka yang sangat positif dan sangat berjaya. Cuma kebelakangan ini, timbul kembali  satu sindrom yang sebenarnya sudah lama berlaku tetapi masih ada segelintir manusia yang terikut-ikut mungkin sebab tidak tahu, tidak mahu tahu atau mungkin sengaja seronok dengan perbuatan tersebut. Ribuan tahun yang lalu, ketika gajet dan internet atau media sosial belum diwujudkan, sindrom suka menunjuk-nunjuk harta peribadi ini telah pun dibuat oleh seorang manusia yang bernama Qarun.

Menunjuknya Qarun akan hartanya dengan penuh kezaliman dan kesombongan bahawa kesemuanya itu adalah hasil dari idea dia sendiri sedangkan dia tidak tahu, segala idea dan rezeki ini hanyalah mutlak milik Allah yang Maha Kaya. Lalu Allah berfirman dalam Surah Al-Qasas ayat 76-82:

“Sesungguhnya Qarun adalah dia dari kaum Nabi Musa, kemudian dia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Dia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah (seperti lagakmu itu). (76) Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan. (77) Qarun menjawab (dengan sombongnya): Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku. (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah dia mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan ? Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya). (78) Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. (Pada saat itu) berkatalah orang-orang yang semata-mata inginkan kesenangan kehidupan dunia: Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun! Sesungguhnya dia adalah seorang yang bernasib baik. (79) Dan berkata pula orang-orang yang diberi ilmu (di antara mereka): Janganlah kamu berkata demikian, pahala dari Allah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh dan tidak akan dapat menerima (pahala yang demikian) itu melainkan orang-orang yang sabar. (80) Lalu Kami timbuskan dia bersama-sama dengan rumahnya di dalam tanah, maka tidaklah dia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya dari azab Allah dan dia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri. (81) Dan orang-orang yang pada masa dahulu bercita-cita mendapat kekayaan seperti Qarun mulai sedar sambil berkata: Wah! Sesungguhnya Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya dan Dialah juga yang menyempitkannya kalau tidak kerana Allah memberi pertolongan kepada kita tentulah kita akan dibinasakan dengan tertimbus di dalam tanah (seperti Qarun). Aduhai! Sesungguhnya orang-orang yang kufurkan nikmat Allah itu tidak akan berjaya! (82)”

Anda boleh baca balik dan fahami makna sebalik apa yang Allah cuba sampaikan ini. Mungkin agak panjang tapi cukuplah dengan ayat di atas sebagai kata kunci kesedaran buat kita semua bahawa Allah sungguh tidak gemar dan benci kepada orang yang suka menunjuk-nunjuk harta sendiri. Bagi saya, menunjuk dengan erti kata ingin memotivasikan orang lain supaya perlunya kaya dan berjaya untuk mendekatkan lagi diri kepada Pencipta sebenarnya  tidak menyalahi tuntutan Tuhan. Pada ayat yang ke-77, Allah menyuruh kita mencari dunia dalam masa yang sama tidak melupakan akhirat sekaligus gunakan dunia itu untuk manfaatkan pada orang lain. Tapi kalau menunjuk seperti Qarun, sombong, berlagak, ego dan kufur pada nikmat yang selama ini diberi secara percuma oleh Allah.

Hari ini, ramai yang sudah mula mahu untuk motivasi orang ramai tentang pentingnya kesedaran ada duit yang banyak, tapi saya tidak nampak apakah tujuan memeluk duit yang berkepuk-kepuk atau baring atas tilam duit itu mampu memotivasikan orang lain. Saya percaya, multi-billionaire di Malaysia khususnya atau dunia umumnya juga tidak membuat perangai demikian. Pernahkah anda terjumpa mana-mana gambar Tan Sri Syed Mokhtar bergambar begitu? Ananda Krishnan? Atau mentor kesayangan kita semua bergambar sambil meletakkan kesemua duitnya atas meja sambil ‘thumb up’ untuk anda semua? Ketahuilah ini bukan amalan orang-orang yang berjaya. Sebab itulah, sebelum menulis atau berkongsi gambar di laman sosial akan kemewahan sendiri, tanya pada diri apakah tujuan untuk berbuat demikian. Satu dunia akan melihatnya dan adakah kita mahu persepsi yang positif atau negatif dari orang ramai?

Pada ayat ke-82, dengan tegas Allah berpesan kepada sesiapa sahaja yang ingin berjaya. Dia tidak pernah memilih dan menghadkan kekayaan untuk hambaNya akan tetapi orang yang kufur nikmat memang tidak akan berjaya. Ini janji Tuhan yang Esa. Kisah Qarun yang kunci gedungnya hanya boleh diangkat oleh lelaki kuat pun dengan mudahnya Allah tenggelamkannya di dalam lautan kekufuran, hartanya dimusnahkan sekelip mata, apalah sangat dengan harta yang kita miliki pada hari ini. Faham ke faham?

Kita semua puak kaya dan berjaya, sepentingnya kita mengambil pengajaran dari ayat di atas supaya kita semua tidak terbabas sehingga mendapat kemurkaan Tuhan. Kita mahu Tuhan sentiasa redha dengan apa jua tindakan, cakap, rasa dan apa yang kita fikirkan. Moga dengan kekayaan dan kejayaan yang Allah kurniakan untuk kita semua hari ini dapat dimanfaatkan kepada orang lain. Berkorban, bersedekah, berzakat, memberi makan dan lain-lain kebaikan adalah dituntut kerana inilah kunci-kunci dan jalan ke Syurga.

Paksikan hidup untuk memberi, kita pasti diberkati.

Comments

comments