Para ekonomi dan pengurus kewangan dapat memberitahu bahawa seorang yang menjalani hidup yang sederhana tidak mempunyai wang simpanan yang mencukupi untuk menghadapi dunia persaraan dalam keadaan selesa.

Apabila anda mengambil kira faktor-faktor seperti kenaikan harga, cukai dan sebanyak mana seorang biasa membelanjakan wang mereka, hanya sebahagian kecil sahaja wang yang ada untuk dibelanja apabila bersara.

Walaupun seseorang itu bekerja dalam tempoh yang lama untuk membayar hutang-hutang mereka, namun mereka terpaksa menyimpan sebahagian daripada duit tersebut sebagai persiapan apabila bersara kelak.

Apa yang membimbangkan ialah seseorang itu terpaksa hidup dalam keadaan serba kekurangan walaupun tidak ada sebarang masalah dalam kehidupan mereka apabila mencapai usia tua.

Perkara-perkara asas dalam merancang persaraan

Walau apa juga perancangan anda, anda hendaklah mengetahui kedudukan anda sekarang:

1. Berapa banyak wang simpanan dan asset yang anda miliki sekarang?

2. Berapakah pendapatan bulanan anda?

3. Berapa peratus daripada gaji bulanan anda dicarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja atau sebarang dana persaraan?

4. Berapa peratuskah pulangan balik daripada pelaburan?

5. Berapa tahun yang anda ada sehingga mencapai usia persaraan untuk mengumpul

wang?

Selepas menganalisa aset dan tanggungan yang anda miliki sekarang, anggarkan berapa yang anda perlukan dan ubah suai berdasarkan kepada kadar inflasi sekarang. Kemudian anda perlu menetapkan usia persaraan anda – 45, 55, 60, atau 65?

Anda bolehlah mengira wang bulanan yang anda perlukan apabila persaraan nanti. Persiapan anda untuk bersara hendaklah meliputi pengurangan hutang, peruntukan perbelanjaan, pelbagaian pelaburan dan menjaga kesihatan tubuh badan dengan makanan yang seimbang serta aktiviti riadah.

Pada usia yang tua, kesihatan amat penting. Kos perubatan merupakan perbelanjaan utama yang boleh mengikis wang persaraan anda. Walaupun anda mempunyai insurans perubatan dan hayat yang boleh melindungi sebarang penyakit kritikal dan kecacatan, namun ia tidak meliputi sebarang proses dan preskripsi yang anda perlukan.

Kadangkala hanya sesetengah penyakit sahaja yang dilindungi oleh insurans. Oleh itu persiapan persaraan yang mencukupi amat perlu bagi memastikan seseorang dapat hidup dengan sejahtera.

Tempoh persaraan

1. Mendaftar dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada hari pertama anda bekerja. Walau bagaimanapun, disebabkan oleh faktor inflasi, wang simpanan dalam KWSP mungkin tidak mencukupi untuk             keperluan persaraan nanti. Wujudkan satu akaun simpanan persaraan di bank dan mulai menabung 10 peratus daripada gaji bulanan.

 2.  Apabila usia anda semakin meningkat, tambah wang simpanan anda dalam tabung simpanan persaraan sebanyak beberapa peratus daripada gaji bulanan setiap tahun. Misalnya, sekiranya anda bekerja dalam usia 25 tahun dengan simpanan sebanyak 10 peratus dan anda  menentukan untuk meningkatkan duit simpanan sebanyak satu peratus setiap tahun, pada usia 26 tahun, anda dapat menyimpan sebanyak 11 peratus daripada gaji dan pada usia 35 tahun, anda boleh menyimpan sehingga sehingga 20 peratus daripada pendapatan anda.

3. Peruntukan setiap kenaikan gaji bulanan atau bonus tahunan ke dalam simpanan untuk persaraan. Pastikan anda memperuntukkan sejumlah wang dalam perbelanjaan bulanan untuk simpanan untuk persaraan nanti. 

4. Di samping menyimpan wang untuk persaraan, buat penilaian terhadap pelaburan anda setiap tahun untuk memastikan bahawa wang anda sedang berkembang mengikut pelan persaraan kelak.

Tip-tip untuk bersara

1.  Mulai daripada awal

Lebih awal anda menyimpan duit, lebih banyak masa wang anda akan berkembang. Tetapkan masa yang diperlukan. Jadikan wang simpanan untuk persaraan sebagai keutamaan. Buat perancangan dan ikuti perancangan tersebut serta tetapkan matlamat untuk diri anda sendiri.

2.  Elak daripada mempunyai risiko yang tinggi terhadap wang persaraan

Beberapa jenis risiko yang biasa terjadi terhadap wang persaraan ialah:

a)    Defisit. Defisit boleh terjadi akibat tidak mempunyai tabungan yang mencukupi semasa bekerja atau terlalu konservatif dengan pelaburan anda. Apabila melabur dengan terlalu berhati-hati, anda mengalami risiko kekurangan duit apabila bersara nanti.

b) Risiko kehilangan pokok pelaburan.

Risiko tersebut disebabkan oleh perubahan atau kenaikan harga dalam tempoh tertentu.

3.  Rancang untuk keperluan jangka panjang

Anda perlu merancang untuk menghadapi “kerugian bukan pasaran”, yang disebabkan oleh faktor seperti penjagaan kesihatan dan penjagaan jangka panjang.

4. Jangkaan hayat anda

Perhatikan usia setiap orang yang meninggal dunia pada tempoh yang sewajarnya, tambahkan jumlah keseluruhan dan bahagikan dengan jumlah orang. Dengan itu anda dapat mengira jangka hayat kehidupan.

Pastikan keperluan anda akan meliputi walaupun sekiranya usia anda lebih panjang daripada apa yang anda jangkakan, berdasarkan jadual jangka hayat dan faktor kesihatan anda sendiri.

5. Belanjawan dalam persaraan nanti

Sesetengah perbelanjaan semasa persaraan mungkin lebih kurang daripada perbelanjaan sekarang. Cukai-cukai yang perlu dibayar seharusnya telah berkurangan. Pada umumnya, pinjaman dan gadai janji telah dilangsaikan supaya bayaran pinjaman rumah berkurangan.

Perbelanjaan berkaitan pekerjaan seperti pengangkutan, pakaian dan sebagainya juga telah berkurangan.

Bayaran bil utiliti, makanan, hadiah, sumbangan, kereta dan insurans harta benda akan meningkat selaras dengan sebarang kenaikan yang berlaku.

Perbelanjaan kesihatan dan insurans kesihatan akan meningkat. Kos untuk membuat perjalanan, bercuti dan berhibut akan meningkat kerana masa lapang yang banyak apabila bersara.

6. Meminjamkan wang

Jangan mudah meminjamkan wang kepada rakan dan keluarga. Katakan bahawa penasihat kewangan anda tidak membenarkan anda meminjamkan wang.

7. Anggarkan berapa banyak wang yang boleh anda keluarkan

Tetapkan kadar pengeluaran tahunan wang. Ini merupakan perkara penting dalam perancangan kewangan persaraan.

Berhati-hati agar tidak mengeluarkan jumlah peratusan yang sama dengan anggaran pulangan pelaburan.

8. Rancang kesan cukai dan inflasi

Inflasi boleh mengurangkan nilai pelaburan anda kerana cukai yang dikenakan terhadap pulangan pelaburan. Secara purata inflasi pada kadar 3 peratus setahun sejak beberapa dekad. Ini mungkin tidak terlalu banyak, namun cuba bayangkan jika nilai RM100,000 pada hari ini hanya bernilai RM74,000 dalam tempoh 10 tahun pada kadar inflasi 3 peratus setahun.

Dapatkan khidmat penasihat kewangan profesional atau perunding percukaian bagi mendapatkan nasihat yang khusus tentang kedudukan anda.

9. Cuba halang sebarang percubaan untuk menggugat akaun persaraan anda

Menurut perancang kewangan, dua daripada perkara buruk yang berlaku kepada perancangan persaraan adalah akses internet selama 24 jam kepada akaun dan harga harian.

10. Nilai pendapatan bulanan persaraan secara realistik

Punca pendapatan semasa persaraan adalah pencen, simpanan KWSP, faedah simpanan tetap, dividen daripada saham syarikat (atau unit amanah) dan jumlah wang yang diterima daripada polisi insurans yang telah matang.

11. Peraturan pertama tentang simpanan ialah membayar untuk diri anda sendiri

Oleh itu apabila anda menerima gaji setiap bulan, masukkan sebahagian wang dalam tabung persaraan anda, sebelum wang tersebut digunakan untuk perbelanjaan yang lain.

12. Wujudkan Tabung Kecemasan

Wujudkan tabung kecemasan yang tersedia wang di dalamnya, sekiranya anda memerlukan wang dengan segera. Ini bagi mengelak daripada anda mengambil wang daripada dana persaraan apabila berlaku keperluan yang mendesak.

13.  Fikirkan untuk berpindah ke rumah yang lebih kecil dan lebih rendah harganya, kerana anda tidak memerlukan ruangan yang besar kerana anak-anak anda telah tidak tinggal bersama.

Wang lebihan penjualan rumah lama dengan pembelian rumah yang baru ini boleh digunakan untuk keperluan yang lain.

14.  Sekiranya anda bercadang untuk bekerja selepas bersara, cuba buat hubungan dan mencari peluang ketika masih bekerja.

Comments

comments