Kenapakah sistem sangat penting?

Ketahuilah bahawa semua yang ada di alam ini berjalan dan bergerak dengan bersistem. Matahari dengan sistemnya, bulan dengan sistemnya, bumi berputar dengan sistemnya dan pertukaran malam dan siang juga dengan penuh sistem yang kesemuanya menjadi milik Yang Maha Bersistem, itulah Allah, tuhan sekalian alam ini. Dia tidak menjadikan makhluk-makhluknya ini hanya main-main atau sekadar di pinggiran, kerana andaikata bumi bergerak seminit lebih pantas dari biasa, pertukaran malam dan siang seperti menutup suis lampu. Saya rasa tak perlu dipanggil Ketua Pengarah JPJ untuk buat analisa statistik berapa jumlah kemalangan setiap hari. Tapi Maha Suci Allah, semuanya dijadikan dengan bersistem demi memastikan ia mudah dan selesa untuk hambaNya. Tidakkah kita berasa perlunya bersyukur di atas apa yang Dia lakukan untuk kita?

Bersempena dengan bulan hijrah ini, rata-rata di kalangan kita dihidangkan dengan peristiwa tersebut termasuklah negara juga menyambut satu acara khusus meraikan tahun baru hijrah. Pelbagai tema dicipta, pelbagai anugerah diberikan dan tak kurang juga para penceramah di serata daerah mengumandangkan kisah hijrah yang agung. Tidak salah andai saya bawakan kisah itu kembali ke sini memandangkan kita masih di bulan hijrah untuk kita kaitkan peristiwa agung tersebut dengan kehidupan kita. Soalannya, apa ada pada hijrah tersebut?

Secara keseluruhannya, ingin saya jelaskan bahawa betapa hebatnya sistem yang telah diatur oleh Allah SWT untuk kekasihNya yang mulia. Pada malam Isra’ dan Mikraj, Allah hantarkan seekor binatang bernama Buroq untuk membawanya Isra’ dari Masjidil Haram sepantas kilat ke Masjdil Aqsa. Seharusnya, Allah Maha berkuasa di atas sesuatu, tersangat mampu untuk mengulangi proses yang sama dengan mengirimkan Buroq untuk menjemput Rasulullah yang berada di Makkah pada malam hijrah tersebut untuk ke Madinah yang jaraknya adalah jauh lebih dekat berbanding dengan Masjidil Aqsa di Palestin. Akan tetapi Allah tidak melakukan perkara demikian.

Kerana hijrah itu adalah satu peristiwa yang agung, peristiwa yang mengubah setiap dimensi dan persepsi seluruh masyarakat arab ketika itu. Dan lebih besar adalah kesan segalanya bukan sahaja ke atas para sahabat dan kaum kafir jahiliyyah, bahkan peristiwa itu sangat menyentuh setiap peradaban manusia sehingga ke hari ini walaupun hijrah itu kini tiada lagi. 1436 tahun yang lalu telah pun menjadi saksi, perjuangan dan pengorbanannya masih segar dan membakar sehingga ke detik ini.

Kesemua proses tersebut diatur dengan sistem yang rapi. Saidina Ali diminta untuk menggantikan tempat tidur baginda yang mulia. Membuktikan kejayaan itu harus ditempuh dengan keberanian. Saidina Abu Bakar, seorang sahabat yang sangat setia dipilih untuk menemani Rasulullah sepanjang proses hijrah tersebut. Ini menunjukkan bahawa kejayaan itu kadang-kala tidak boleh dicapai bersendirian. Mesti bersama atau berjemaah kerana kekuatan hanya datang apabila kita semua bersatu.

Terlalu banyak proses hijrah tersebut andai nak diceritakan kembali di sini, dan saya percaya, pembaca yang budiman acap kali mendengar dan mempelajarinya dari mana-mana. Tapi percayalah, kesemua proses yang baginda lakukan itu demi memastikan hijrah itu berjaya dan kesan kejayaannya bukan hanya dilihat setakat tibanya baginda ke Kota Madinah, bahkan kejayaan terbesarnya ialah apabila azam, kekuatan dan aqidah disatukan untuk kembali ke kampung halaman iaitu Makkah Al-Mukarramah. Pulangnya baginda dengan para sahabat dengan kejayaan dan kebebasan, membebaskan penghambaan daripada menghambakan diri untuk hamba kepada menghambakan diri kepada Yang Maha Esa. Memaafkan sagala kesilapan dan kesalahan orang lain yang suatu masa dahulu pernah menyakiti dan menzalimi baginda dan para sahabat, kini mereka pulang pada persitiwa pembukaan kota Makkah seperti mana yang termaktub di dalam surah An-Nasr.

Inilah kelebihan sebuah sistem. Andai semua itu berlaku hanya dengan Rasulullah menunggu, menunggu dan terus menunggu di rumah baginda, ataupun baginda berfikir, berfikir dan terus berfikir, tanpa sebarang tindakan atau perubahan, saya percaya tiada apa yang boleh dicapai hanya dengan menunggu dan berfikir. So, daripada peristiwa di atas, saya ingin mengajak anda semua mari kita lihat dan renung sejenak serba sedikit dengan apa yang kita dah buat dan lakukan saban hari ini. Adakah kita seorang yang bersistem ataupun kesemua benda kita hanya buat ikut suka hati.

Bolehkah seorang peniaga restoran hari ini buka kedai pukul 7 pagi, esok buka pukul 10 pagi, lusa buka tengahari, tulat buka lepas maghrib, minggu depan tak payah buka, minggu satu lagi ulang seperti minggu pertama, agak-agak masih adakah orang nak datang ke kedainya? Masaklah sedap macam mana pun, persepsi manusia tidak mungkin akan berubah andai manusia tidak boleh aplikasikan sistem di dalam kehidupan. Sebab itulah mentor yang kita sayangi sangat menitik beratkan sistem di dalam perniagaan, supaya perniagaan kita bukan sahaja dapat membantu menyelesaikan masalah orang lain, bahkan ia bertahan lama dan orang makin suka untuk mendapatkannya.

Semua kita tahu ada satu air berkarbonat yang boleh dibuat untuk mencuci tandas ataupun meracun rumput, adakah ia sudah lupus di pasaran? Adakah iklannya sudah lagi tidak kelihatan di mana-mana? Ataupun adakah sebilangan besar daripada kita sudah tidak memerlukannya lagi untuk dijadikan minuman harian atau pada hari-hari kebesaran? Tidak bahkan sesekali tidak. Walaupun 100 tahun lamanya mereka menguasai pasaran, mereka hanya tumpukan kepada satu perkara sahaja demi memastikan jutaan ummat manusia tidak lupa dan terus menerus menikmatinya dengan sistemnya.

Orang yang berjaya dan sangat berjaya adalah orang yang mengamalkan sistem dalam kehidupan mereka. Tidak kiralah siapa sahaja samada peniaga, pekerja, pelajar, imam masjid, dan semua orang perlu ada sistem dalam setiap hari kehidupannya. Islam itu indah dan berjaya kerana mengamalkan sistem yang sangat teratur dan sempurna. Allah yang Maha Sempurna menjadikan segalanya dengan bersistem, maka nikmat Tuhanmu yang manakah lagi yang mahu kita dustakan dan ubahnya kepada tanpa sistem yang sudah tersedia?

So, berapa ramai yang mulai hari ini atau tahun ini ingin berhijrah untuk melakukan sesuatu dengan lebih terbaik dan bersistem?

Apabila kehidupan kembali bersistem, segalanya akan mula teratur dan tersusun. Segala strategi mahupun formula-formula yang kita pelajari akan mula menampakkan dan membuahkan hasil kejayaan. Dan ingatlah, rentetan peristiwa hijrah bersistem itu yang membawa kepada pembukaan kota Makkah, ingin saya kongsikan untuk anda semua sebelum saya tamatkan tulisan saya pada kali ini.

Allah berfirman:

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah). Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat. (Terlebih utama di atas segala kejayaan tersebut, Allah SWT yang Maha Mengasihi hambaNya) [An-Nasr: 1-3]

Kerana kejayaan itu hanya daripada Allah dan apabila kehidupan atau perniagaan kita sudah pun mencapai target, dalam erti kata yang lain perniagaan kita sudah berjaya disebabkan sistem yang kita bina dan aturkan, maka janganlah pula kita lupa pada Yang Maha Berkuasa yang hanya dengan izinNya kita berjaya. Tanpa izinNya, buatlah dan binalah sistem sehebat Mark Zuckerberg atau Bill Gates pun, pasti tidak akan berhasil.

Lantas ucapkan tasbih memujiNya yang Maha Esa, selalulah mohon pengampunan dariNya agar segala apa yang kita bina selama ini bertahan lama, sepertimana bertahannya Kota Makkah dari kuffar jahiliyyah dan kekal sebagai tempat yang tidak pernah putus-putus manusia datang dari segenap pelusuk dunia.

Siapa di sini suka kalau orang tak putus-putus datang ke kedainya dan beli produknya? Semuanya kembali kepada sistem dan selalulah menjaga hubungan denganNya.

Salam hormat.

Comments

comments