KESIHATAN ADALAH KEKAYAAN JUTAWAN

Ramai orang sibuk bekerja 24 jam sehari tanpa henti demi mengejar kejayaan dan kekayaan di dunia. Tanpa menghiraukan gaya kehidupan yang seimbang, seseorang itu mungkin akan mengalami pelbagai rintangan kehidupan seperti gangguan emosi, kecelaruan perhubungan diri dan keluarga, serta masalah kesihatan tubuh badan. Hari ini saya akan berkongsi ilmu dengan anda tentang bagaimana menjaga kesihatan tubuh badan melalui pemakanan yang sihat.

Tahukah anda bahawa salah satu tip gaya kehidupan seorang jutawan adalah mengamalkan pemakanan yang sihat. Para jutawan mengetahui satu rahsia yang jarang diketahui oleh orang ramai iaitu “ kesihatan merupakan salah satu kekayaan kepada kehidupan seorang jutawan.” Tanpa memiliki kesihatan yang maksima, seseorang itu akan mengalami satu keadaan yang dipanggil “situasi kerugian”. Antara situasi kerugian yang akan dihadapi oleh anda ialah;

Rugi 1 : Dengan tubuh badan yang kurang sihat, anda tidak akan dapat bekerja dengan prestasi yang bagus.

Rugi 2 : Kadang kala jika anda betul-betul tidak sihat, anda langsung tidak dapat bekerja.

Rugi 3 : Bila badan tidak sihat, kemampuan minda untuk menghasilkan idea-idea yang bernas akan mula merudum. Minda menjadi letih!

Rugi 4 : Proses membuat keputusan dalam sesuatu perkara mula menjadi tidak menentu akibat dari keletihan minda. Jika salah membuat keputusan, anda akan menghadapi masalah besar di masa hadapan kelak.

Rugi 5 : Pengembangan dalam prestasi kerja dan perniagaan terpaksa dihentikan seketika akibat anda tidak sihat. Anda akan rugi.

Bagaimana? Masih ingin mengabaikan kesihatan tubuh badan? Jangan risau, selagi anda menghargai tubuh badan serta memahami bagaimana untuk membelainya, anda akan OK!

Pemakanan atau diet seimbang merupakan perkara utama di dalam penjagaan kesihatan tubuh badan anda. Demi mencapai diet seimbang seseorang itu perlu menjaga pengambilan makanan yang berkalori setiap hari.

Secara purata, kaum lelaki memerlukan dalam lingkungan 2500 kalori sehari, manakala bagi kaum wanita pula dalam lingkungan 2000 kalori sehari. Pengambilan kalori yang berlebihan dalam sehari boleh membawa kepada pertambahan berat badan serta menjejaskan tahap kesihatan badan. Nutrien yang mencukupi juga memainkan peranan yang penting di sini. Anda digalakkan untuk memakan makananan dari pelbagai sumber semulajadi yang memberi nutrien berlainan yang diperlukan oleh tubuh badan. Bagi mendapat diet yang seimbang, saya akan kongsikan 7 tip-tip mudah yang dapat dipratik serta merta dalam pemilihan makanan anda kelak.

1. Makanan Berkanji

Kelebihan makanan berkanji ialah mempunyai serat yang tinggi dan boleh membuat anda berasa kenyang dengan lebih lama. Anda tidak perlu mengambil makanan berkanji dalam jumlah yang banyak, cukup sekadar satu pertiga (1/3) daripada pemakanan harian anda. Makanan berkanji meliputi kentang, bijirin, pasta, nasi dan roti.

2. Makan Sayuran & Buah-buahan

Makan seberapa banyak yang boleh sayuran dan buah-buahan, lagi banyak lagi bagus. Sayuran dan buah-buahan mempunyai pelbagai sumber nutrient yang diperlukan oleh tubuh badan.

3. Makan Ikan

Ikan merupakan sumber protein yang bagus, ia juga mengandungi vitamin serta mineral yang tinggi. Salah satu nutrien yang terkandung di dalam ikan ialah Omega-3, yang dapat membantu mencegah masalah penyakit jantung. Terdapat 3 jenis pilihan dalam pembelian ikan iaitu ikan segar, beku atau tin, tetapi ingat ikan di dalam tin mempunyai garam tinggi dan mungkin terdapat bahan pengawet di dalamnya.

4. Kurangkan Gula

Penyakit kencing manis atau obesiti telah menjadi antara penyakit paling popular di negara Malaysia. Gula merupakan salah satu penyebab kuat penyakit kencing manis berleluasa dengan mudah di negara ini. Tubuh badan memerlukan manis gula sebagai penambah tenaga badan tetapi jika gula yang diambilmelebihi dari jumlah keperluan badan, ia akan memudaratkan kesihatan anda. Jika inginkan manis, cuba beralih ke penggunaan gula stevia, gula perang atau apa-apa jenis gula yang memberi kesihatan kepada diri kita.

5. Kurangkan Garam

Tanpa garam, masakan tidak akan sempurna. Garam digunakan sebagai penambah rasa di dalam makanan. Garam juga penyumbang utama kepada penyakit darah tinggi. Kurangkan penggunaan garam di dalam makanan demi menjaga kesihatan tubuh badan.

6. Jangan Kehausan

Kita memerlukan sekurang-kurangnya 1.2 liter air minuman sehari bagi mengelakkan dari dehidrasi (kekeringan) badan. Ketika cuaca panas atau anda aktif bersukan, anda disarankan minum lebih banyak air dari keadaan biasa bagi menampung air yang telah dihidrasi dari tubuh badan.

7. Sarapan Pagi

Ini merupakan perkara pertama yang anda perlu lakukan setiap hari selepas bangun dari tidur iaitu sarapan pagi. Jika anda perasan, kebanyakkan orang yang tidak bersarapan akan mudah letih berbanding dengan yang bersarapan pagi. Ini kerana, sarapan pagi merupakan sumber tenaga pertama yang akan dihadam oleh tubuh badan. Pastikan sarapan pagi anda dilengkapi dengan diet pemakanan yang sihat. Jangan tinggalkan sarapan pagi! Selain dari pemakanan, kecergasan tubuh badan juga dapat dijaga dengan melakukan aktiviti-aktiviti fizikal seperti berlari, berenang, berbasikal, bersukan atau apa-apa sahaja yang boleh mengeluarkan peluh anda. Dengan menjadi aktif, anda akan mempercepatkan lagi proses penghadaman perut dan secara langsung tubuh badan akan menerima nutrient dari apa yang anda makan dengan segera. Mudahkan untuk menjadi sihat. Semua bergantung kepada kesedaran diri serta tindakan proaktif yang berani diambil oleh anda. Jom sihatkan badan!

“Kesihatan merupakan salah satu kekayaan kepada kehidupan seorang jutawan.”

Banner Muat Turun

Comments

comments