Brazil merupakan nama yang tidak asing di dunia bola sepak dan telah berjaya menjadi penganjur sukan terulung iaitu Piala Dunia FIFA 2014. Dengan adanya penganjuran program terbesar dan persiapan menjadi penganjur bagi sukan Olympics 2016, banyak jenama-jenama (brands) baru sudah mula menerokai peluang untuk memasuki pasaran di negara Brazil ini. Berdasarkan penyelidikan Daniel Buarque, MA King’s College Institute Brazil bersama bekas wartawan serta editor di Brazil, telah menyatakan bahawa terdapat dua bahagian yang akan memberi kesan besar terhadap jenama ini iaitu dari segi sosio ekonomi dan tren budaya hidup masyarakat Brazil.

Brazil merupakan satu negara yang hampir dimonopoli oleh golongan belia dimana secara purata umur rakyat mereka dalam lingkungan 31 tahun. 51% peratus rakyat negara ini berumur di bawah 30 tahun. Dengan fakta ini, rakyat Brazil merupakan salah satu pengguna terbesar dunia bagi penggunaan media sosial di internet dan ini memberi banyak peluang keemasan bagi jenama menerokai pasaran Brazil melalui media sosial.

Fakta:

• 8 dari 10 golongan belia Brazil mempunyai akaun di Facebook
• 67 juta rakyat Brazil menggunakan teknologi internet mudah alih (mobile internet)
• 59.5% rakyat Brazil akan menggunakan internet menjelang tahun 2017

Majoriti rakyat Brazil menggunakan media sosial sebagai tempat asas untuk berbincang pendapat serta berkongsi pengalaman. Secara tidak langsung ini memberi peluang yang amat besar bagi jenama untuk membina pengaruh dan minat melalui media sosial ini. Bukan itu sahaja, terdapat 124 bilionwan dan hampir 194,000 jutawan yang menduduki negara ini. Brazil telah dinobatkan tempat ke-12 kumpulan jutawan paling besar di dunia. Negara ini juga menganggarkan bahawa setiap hari 46 orang jutawan baru akan terhasil pada tahun 2014.

Terdapat banyak syarikat-syarikat baru yang berkembang dengan pantas, terutamanya dalam perniagaan runcit, penjagaan kesihatan, hartanah, pembinaan dan industri asas. Ini adalah kerana kadar penggunaan (consumption) penduduk Brazil terus berkembang dengan kuat serta meningkatkan nasib peruncit, bank-bank dan pelbagai jenis industri untuk memenuhi permintaan lebih 202 juta penduduk. Apabila perniagaan ini berkembang, begitu juga kekayaan pemiliknya.

Keinginan Kemewahan

Di Brazil, terdapat peningkatan tinggi permintaan bagi produk-produk yang berjenama antarabangsa seperti Tiffany & Co., Prada, Bentley, Hermes dan Ferrari yang berjaya membuka cawangan di negara ini pada tahun-tahun yang lalu. Selain itu, satu simbol kunci kekayaan yang semakin meningkat adalah pasaran pesawat helikopter bandar yang kian berkembang di São Paulo dan merupakan bandar terbesar di dunia dengan armada helikopter.

Pelanggan Peka

Golongan pertengahan mempunyai kuasa membeli yang tinggi. Golongan ini mempunyai populasi hampir sama dengan saiz populasi di UK. Golongan ini inginkan servis yang berkualiti, produk yang bagus dan harga yang berpatutan. Mereka juga begitu berhati-hati dalam membeli sesuatu barang atau servis. Mereka akan mengambil sedikit masa untuk melakukan penyelidikan bagi mendapatkan kepastian sama ada barang yang hendak dibeli itu memberi manfaat kepada diri ataupun tidak. Kebanyakan dari golongan pertengahan ini lebih suka berbelanja di pasaran online. Kajian mendapati bahawa 81% penduduk Brazil mempercayai berbelanja secara bijak adalah lebih penting dari mencari wang lebih.

Sentimen Tempatan

Rakyat Brazil sangat bangga dengan negaranya. Kekuatan semangat patriotisma terhadap negara memberi kekuatan kepada setiap warga tempatan menjadi satu entiti yang makmur. Kajian secara rawak dilakukan ke atas 10 orang warga tempatan dan keputusan mendapati 8 darinya mempercayai dan memilih produk jenama keluaran tempatan berbanding jenama luar negara.

Jika jenama antarabangsa ingin menerokai Brazil, mereka perlu mendapat kepercayaan penduduk tempatan terlebih dahulu dengan cara adaptasi produk mengikut citarasa warga tempatan. Teknik adaptasi pemasaran ini telah di lakukan oleh McDonald’s jenama terkemuka dunia dan terbukti berjaya. McDonald’s telah menambah menu makanan mengikut selera tempatan dengan menyediakan nasi dan kekacang.

Kesimpulan

Dengan kebangkitan pembangunan di Brazil, sedikit sebanyak telah memberi ruang kepada jenama antarabangsa untuk memasarkan produk di negara ini. Rakyat Brazil juga amat cenderung dan peka dengan maklumat yang disebarkan melalui media sosial. Ini akan memberi kelebihan kepada jenama antarabangsa untuk menggunakan medium ini sebagai penyebaran maklumat produk. Penduduk Brazil juga sudah mula menunjukkan tanda-tanda keinginan menggunakan produk keluaran antarabangsa yang dapat memberi kualiti yang tinggi dari segi produk dan servis.

Comments

comments