Bersyukur juga kepada Allah kerana pengalaman kali ini bersama hampir 3,000 peserta di Menara PGRM, Cheras amat mengujakan. IMKK ini merupakan satu program yang sangat unik yang tidak mampu untuk diterangkan dengan mudah kerana ia sesuatu yang tidak ada di mana-mana Insya-Allah. Ia sebuah program yang Richworks telah anjurkan sejak tahun 2010 lagi. Ia bukan sekadar “kursus” yang makan minum sampai 6 kali sehari, tapi ia sarat dengan ilmu potensi diri, kehidupan dan kerohanian.

Untuk pengetahuan anda, IMKK telah pun dihadiri hampir 50,000 peserta yang majoritinya anak bangsa Melayu selama 5 tahun memasuki tahun ke-6 ini. Kami percaya bahawa setiap mereka yang hadir betul-betul inginkan satu titik perubahan di dalam hidup mereka. Andai hidup sekadar hidup, kera di hutan juga hidup. Apapun, jutaan tahniah kepada mereka yang hadir.

Penulisan kali ini mungkin agak sedikit panjang, tapi saya percaya, rata-rata peminat setia AO Tribe adalah seorang yang tidak pernah jemu menuntut ilmu, apatah lagi kalau ilmu yang diberikan kali ini berkait secara langsung tentang ketuhanan dan tanggungjawab kita sebagai hamba. Lapangkan fikiran anda, tenangkan jiwa dan ambil nafas dalam-dalam dan teruskan membaca.

Sambil bernafas, cuba anda fikirkan, apabila Allah masih berikan kita nafas dan kehidupan, itu maknanya Allah masih berikan kita peluang. Peluang perbaiki hubungan denganNya, peluang untuk perbaiki hubungan dengan sekeliling dan peluang untuk menaik tarafkan kehidupan ke tahap yang lebih baik ataupun luar biasa. Salah satu aspek yang terbesar di dalam membuat perubahan untuk melunaskan peluang tersebut adalah dengan adanya ILMU.

Kenapa pentingnya sebuah ilmu? Izinkan saya untuk membawa anda merentas masa kepada  satu kisah yang agung yang pernah dilalui oleh seorang hamba bernama Ibrahim Alahissalam supaya dapat kita faham dan berfikir, adakah ilmu hari ini hanya sekadar kehendak ataupun ianya adalah keperluan tanpa mengira siapa dan di mana kita hari ini.

Di dalam Al-Quran, Allah pernah berkata: “Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati? Allah berfirman: Adakah engkau belum percaya (kepada kekuasaanku)? Nabi Ibrahim menjawab: Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya). Allah berfirman: (Jika demikian), ambillah empat ekor burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah semuanya). Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. Kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”. (Al-Baqarah:260)

Ibrahim Alaihissalam, siapa yang mampu untuk menjustifikasikan akan keimanannya? Pernah dibakar hidup-hidup, berdebat dengan bapanya selaku penyembah berhala, konfrontasi dengan Raja Namrud yang mengaku sebagai Tuhan, diuji lagi dengan peristiwa penyembelihan anak kesayangannya Ismail dan berapa banyak kisah hidupnya yang membuktikan keimanannya yang teguh kepada Allah.

Namun jauh di sudut hatinya, ada sesuatu kekurangan yang dialami olehnya apabila dia hanya diberikan ilmul yaqin. Persoalan yang dilontarkan bukanlah untuk mencabar akan tetapi bagi menenangkan hatinya tentang proses bagaimana sesuatu yang telah mati boleh dihidupkan kembali oleh Allah. Lantas Allah ‘seminarkan’ Ibrahim dengan sebuah perjalanan bagaimana untuk mendapatkan ainul yaqin, haqqul yaqin dengan seterusnya kepada kamalul yaqin.

MENCARI BURUNG

Proses bermula apabila Allah meminta kepadanya untuk mencari 4 ekor burung. Kenapa burung? Kenapa tidak lembu atau kambing? Kenapa tidak semut, nyamuk atau lalat?

Burung merupakan sejenis binatang yang terbang di angkasa. Jauh terbangnya sehingga Ibrahim perlukan sesuatu untuk menangkapnya. Oleh kerana permintaannya adalah 4 ekor burung yang berbeza, Ibrahim perlu menyediakan 4 peralatan tangkapan yang berlainan.

Kenapa semua ini berlaku? Jika diteliti, itulah yang berlaku betapa pentingnya alat pembelajaran di dalam proses menuntut ilmu. Pelik dan sangat pelik jika ada orang yang datang nak belajar sesuatu, tapi pen dan kertas pun tidak dibawa, bolehkah anda fikirkan bagaimana ilmu tersebut akan lekat ke dalam hatinya untuk membuat sesuatu perubahan?

Dipilih burung bukan nyamuk walaupun kedua-duanya adalah binatang yang mampu terbang, bererti di dalam proses menuntut ilmu, ia bukan sejenis perkara yang datang kepada kita bahkan kita perlu pergi kepadanya. Nyamuk dan lalat biasanya akan datang kepada manusia manakala burung, manusia perlu dapatkannya jika dia berkehendak.

Sebab itu, tidakkah anda kagum dengan mentor kita Dr Azizan Osman? Beliau sanggup habiskan masa berjam-jam perjalanan untuk sampai ke satu destinasi semata-mata untuk menimba ilmu. Kalau nak diikutkan dengan kemampuannya, beliau mampu untuk menjemput mentor-mentor hebat dunia untuk datang ke Malaysia khususnya, tetapi sebagai adab penuntut ilmu, beliau pergi ke sana untuk mengadap. Kita? Apa yang selalu kita tanya?

Antara soalan yang sering kedengaran seperti, “Kenapa tak buat program ini di belakang rumah saya? Kenapa tak buat program ini di kawasan kampung saya?” Ingat, jika alasan demi alasan dikemukakan, ia menunjukkan bahawa ilmu akan menjadi kehendak dan bukan lagi keperluan.

Kita sambung kembali. Jumlah burung sebanyak 4 ekor menunjukkan bahawa menuntut ilmu biarlah pelbagai. Jangan terlalu taksub kepada sesuatu ilmu sehingga tidak dapat menerima ilmu yang lain. Dah belajar tentang kerohanian, kini masanya untuk belajar bagaimana untuk menjalankan perniagaan. Dah belajar tentang pengisian ilmu, kini perlu belajar bagaimana untuk menyampaikan ilmu tersebut supaya orang mudah faham dan berkesan jiwanya apabila ilmu itu disampaikan.

Jumlah 4 juga seperti kata ulama di dalam beberapa buah kitab tafsir, ia adalah kekuatan dan kemampuan seorang lelaki untuk menampung jumlah tersebut. Kalau lebih dari itu, dia tidak akan dapat fokus dengan baik. Contoh yang paling hampir adalah seorang lelaki hanya boleh berkahwin 4 sahaja.

Kemudian, lantas Ibrahim perlu menggunakan qudrat dan kebijaksanaannya bagaimana untuk menjerat dan menangkap burung-burung tersebut. Berapa lama masa yang diperlukan olehnya? Terpulang kepada kekuatan alatan dan cara penangkapan.

Seterusnya apabila dah diperolehi, terus dimasukkan ke dalam sangkar supaya burung tersebut tidak terlepas dan perlu masa lain untuk menangkap kembali. Betapa ilmu yang diperolehi hasil daripada menggunakan peralatan atau dengan erti yang mudah, ilmu yang ditulis adalah ilmu yang pasti akan lekat dan tahan lebih lama berbanding dengan ilmu yang hanya didengar dan dipandang sahaja.

MENCINCANG BURUNG

Tidak cukup dengan tangkapan, lantas sesi kedua menampilkan proses penyembelihan kesemua hasil tangkapan dan dicincang kecil kemudian digaul rata sehingga segala anggota 4 ekor burung tersebut bersatu di dalam sebuah bekas. Maka tiba masanya bahawa 4 ekor burung itu tidak hidup di dalam sangkar bahkan kini mereka dikeluarkan dalam keadaan mati dan tidak bergerak lagi.

Ia menunjukkan bahawa ilmu yang ingin dikongsi, ia perlu melalui proses kefahaman terlebih dahulu. Nak keluarkan burung (ilmu) dari sangkar, kalau ia hidup, nescaya ia akan terbang lari dan bebas. Tapi keluarnya sebagai mati, ia (ilmu) menjadi sebati di dalam diri dan mudah untuk dikongsi tanpa sebarang kecelaruan lagi.

Masalah yang melanda hari ini ialah, ramai yang teruja untuk bercakap dan berkongsi kononnya ilmu penuh di dada, tapi bukan semua faham dengan ilmunya sendiri dan bagaimana untuk fahamkan orang lain walaupun ilmu setinggi angkasa. Contoh yang terbaik adalah, sejak dari dahulu kita semua tahu tentang kelebihan bersedekah, tapi tak pernah rasa nak buat. Kalau buat pun pilih waktu dan ketika ada, baru bersedekah. Waktu tiada, sedekah turut tiada.

Setelah menghadiri IMKK, Alhamdulillah, kita rata-ratanya hari-hari bersedekah tanpa mengira waktu samada ada mahupun tiada. Kenapa? Tanya mereka yang sudah hadir IMKK.

PENDAKIAN GUNUNG

Sesi seterusnya diteruskan lagi dengan arahan mentor kepada segala mentor iaitu perletakan setiap 1 daripada 4 bahagian cincangan burung itu tadi ke atas 4 buah gunung. Lantas Ibrahim melakukannya.

Sebelum itu, mari kita kaji satu persatu kenapa gunung yang menjadi pilihan Allah untuk capai ilmu yang didahagakan oleh Ibrahim. Kenapa tidak diletaknya sahaja di atas bumbung rumahnya? Kemudian bumbung jiran-jirannya? Kenapa tidak daripada bekas sahaja sudah mampu Allah cantumkan kembali burung-burung tersebut?

Inilah yang dinamakan proses dan kegigihan dalam menuntut ilmu. Untuk mendaki sebuah gunung, sejauh manakah persiapan yang dibuat oleh seseorang sebelum mendaki? Persiapan mental, persiapan fizikal, bekalan makanan dan alatan untuk mendaki. Lebih mencabar apabila gunung tersebut tidak pernah diteroka oleh mana-mana manusia bagi memudahkan jalan Ibrahim untuk terus mendaki. Maka Ibrahim perlu lebih kuat dan berhati-hati semasa mendaki.

Maka, berapa lamakah masa yang perlu diambil oleh seseorang untuk mendaki? Barangkali keperluan untuk bermalam di celahan gunung itu sudah menjadi pasti. Kita anggarkan proses pendakian adalah selama 3 hari. Kemudian perlu diambil kira juga proses turun dari gunung.

Kesimpulan yang boleh dicapai adalah dengan anggaran seminggu untuk proses naik turun sebuah gunung. Masihkah kita ingat, kita ada lagi 3 buah gunung yang belum didaki. Tidakkah seseorang itu perlu berehat terlebih dahulu dari sebarang kepenatan dan kembali mengumpul tenaga untuk meneruskan misi untuk mendaki gunung kedua?

Begitulah proses tarbiyyah dari Allah untuk seorang hambaNya yang merupakan seorang Nabi. Ibrahim bukannya seperti orang lain pada tahap darjatnya. Oleh kerana Allah ingin mengangkat lagi akan darjatnya, perjalanan baginda tersebut kalau nak ditulis satu persatu apakah yang diaturkan oleh Allah, nescaya kita sebagai hamba yang biasa ini tidak akan mampu untuk mencapainya. Kita hari ini mungkin mengukur apa yang kita belajar tapi sejauh manakah apa yang dipelajari itu benar-benar menjadi ilmu yang sebati di dalam diri?

Jika Ibrahim tidak memandang ilmu itu satu keperluan, baginda tidak akan bersusah payah melakukan segala arahan kerana, hasil selepas baginda meletakkan hasil cincangan  1 per 4 di atas 4 buah gunung adalah dengan kesemua burung-burung tersebut kembali padanya dengan sekelip mata lantaran Ibrahim memanggil kesemuanya. Kemuncak kepada segalanya adalah apabila baginda perolehi ainul yaqin, haqqul yaqin dan kamalul yaqin.

Walaupun ia berlaku dalam sekelip mata selepas berhari-hari gigih berusaha, tetapi ‘result’ yang Allah janjikan untuk Ibrahim sangat luar biasa. Inilah proses menuntut ilmu yang sebenar yang telah dilalui oleh seorang Khalilullah. Barangkali ada yang berfikir, Ibrahim seorang Nabi, mesti dia akan dapat ilmu apa sahaja dengan mudah sebab dia adalah kekasih Allah. Tidak bahkan sekali-kali tidak.

Seorang Nabi itu adalah seorang Nabi. Namun mereka juga perlu melalui proses-proses bagi menunjukkan kepada kita semua bahawa tiada jalan pintas untuk mendapatkan sesuatu perkara. Andai semua dalam agama ini bergantung kepada ‘Short Cut’, nescaya Nabi Muhammad saw juga akan meminta daripada Allah agar mengirimkan Buroq untuk membawanya ke Madinah pada malam Hijrah. Baginda juga sepatutnya boleh menerima tawaran-tawaran hebat pembesar Makkah iaitu wanita, pangkat dan harta tapi perlu meninggalkan usaha dakwah dari diteruskan.

Kalau difikirkan, ambil sahajalah pangkat dan apabila berkuasa, lancarkan gerila dakwah Islam kepada masyarakat. Tapi bukan itu prinsip seorang insan yang bernama Muhammad saw.

Sesungguhnya proses menuntut ilmu tersebut tidak terhad kepada sesiapa. Bahkan ia tidak pernah menghalang sesiapa pun untuk mendapatkannya. Baginda Ibrahim tidak menggunakan keistimewaannya sebagai seorang Nabi untuk bermalas-malasan sambil disuap sentiasa.

Hari ini, wujud segelintir masyakarat yang bukan sahaja mahu disuap, bahkan minta tolong kunyahkan pula. Siapalah kita untuk mendabik dada tidak perlu lagi kepada menuntut ilmu. Ilmu akan merubah seseorang kepada hidupnya yang lebih baik dari semalam. Mahu dunia perlu berilmu, mahu akhirat pun perlu berilmu. Mahukan kedua-duanya juga haruslah berilmu. Tuntutlah ilmu seawal di dalam buaian sehinggalah ke liang lahad.

Tiada istilah kehendak sebenarnya di dalam proses menuntut ilmu. Selagi ada usia, selagi itulah ilmu menjadi keperluan setiap insan untuk mendapatkannya. Siapa yang ada ilmu, dia akan terkehadapan berbanding seorang yang tiada ilmu walaupun usia membezakan mereka berdua.

Malang dan sangat sedih andai seseorang yang memiliki tubuh badan yang berumur 50 tahun, tapi ilmunya berusia 17 tahun sama seperti remaja yang baru menamatkan peperiksaan SPM. Ia tidak ubah seperti mengurung seorang kanak-kanak kecil di dalam tubuh seorang yang sudah dewasa.

Isu ini dilontarkan memandangkan ramai manusia hari ini seolah-olah sangat gersang dari proses menuntut ilmu. Takut untuk belajar sebab nanti takut berubah menjadi lebih baik. Takut belajar sebab nanti takut menjadi kaya dan riak.

Kisah di atas bukanlah dipetik dari kitab hikayat mana-mana merong atau purba kala. Ia adalah dari Kalam Tuhan yang suci. Satu kisah benar yang Allah tidak jadikan sesuatu itu sia-sia.

Menuntut ilmu itu memerlukan kesabaran. Ia memerlukan kepada kekuatan mental dan fizikal. Menuntut ilmu juga akan mengambil masa yang agak lama. Menuntut ilmu akan mengangkat darjat semua manusia.

Orang yang luar biasa mahu berubah, mereka akan berusaha sedaya upaya menuntut ilmu. Apalah sangat dengan sebuah pelaburan membayar yuran kebijaksaan demi pulangan keuntungan yang lebih besar berbanding terpaksa melebur untuk membayar cukai kebodohan berkali-kali akibat ego dan enggan terbuka hati kepada menerima ilmu.

Semoga kita semua dirahmati dan dimasukkan ke dalam syurga kerana ILMU.

Comments

comments