Lawatan kami ke Wad Sakit Jiwa Hospital Besar Kuala Lumpur pada Khamis 19/3/2015 yang lalu sangat memberikan kesan yang mendalam. Ketika kami tiba di Hospital Besar Kuala Lumpur, jam menunjukkan pukul 10.30 pagi dan sebagai permulaan, kami diberi taklimat oleh beberapa orang pegawai termasuk Dr. Hajjah Salina bt Abdul Aziz, Ketua Jabatan Psikiatri & Kesihatan Mental Hospital Kuala Lumpur yang bertugas sebagai tonggak utama dalam memberi perhatian kepada setiap pesakit di sini. Alhamdulillah, selesai sesi taklimat, kami mula dibawa oleh pegawai yang bertugas melawat setiap pesakit-pesakit yang diberi rawatan di situ.

Sebelum kami pergi lebih jauh, ketika di dalam sesi taklimat, Saudara Khairul Saleh selaku Pegawai Kerja Sosial Perubatan di situ seringkali memberi perhatian terhadap sumbangan untuk penambahbaikan dari segi prasarana dan juga kemudahan ubat-ubatan pesakit. Apa yang jelas bermain di fikiran kami adalah, takkanlah hospital kerajaan pun perlukan bantuan orang awam?

Apa yang kami tidak ketahui ialah sehingga ke hari ini, sudah berapa banyak NGO yang tak jemu-jemu membantu memandangkan sesuatu yang diminta secara rasmi adakalanya tidak berlaku dengan pantas. Masakan pesakit dan sakit datang dengan pantas. Maka kami mula faham kenapa perlunya mereka kepada bantuan dan tenaga daripada pihak luar untuk sama-sama meringankan beban mereka walaupun mereka berada di dalam sebuah bangunan lama, kita di luar apa yang tahu.

Ketika berjalan menghampiri wad, Dr Salinabanyak berpesan kepada kami agar jangan takut dengan mereka. Mereka hanya mengalami masalah mental dan kemungkinan mereka bertindak ganas adalah sebuah kes yang sangat terpencil. Kami dibawa melawat ke wad 1 terlebih dahulu kerana wad 1 menempat pesakit yang mentalnya berada di tahap satu iaitu tahap yang paling rendah. Sebahagian daripada kami mula menyampaikan beg-beg yang berisi beberapa jenis makanan yang dibenarkan sahaja oleh pegawai hospital sebagai sumbangan kepada setiap pesakit.

Kelihatan mereka mula beratur panjang di dalam satu barisan seperti kanak-kanak di zaman persekolahan dahulu. Lebih menyayat hati apabila ada di antara mereka bukannya umur sekitar 30-40an, bahkan sebaya ayah-ayah kita pun ada di sini. Dengan berbaju hijau, mereka mengambil bahagian masing-masing sambil mengucapkan terima kasih dan terus duduk untuk makan. Sambil memerhatikan mereka makan, kami sempat bertanyakan kepada Dr Salina tentang beberapa perkara mengenai pesakit dan hospital ini.

Beliau mula berkongsi beberapa isu tentang pesakitnya. Setiap bulan, jumlah pesakit yang akan masuk ke sini adalah seramai 150 orang secara puratanya dan jumlah katil di situ hanyalah 79 buah sahaja, termasuk lelaki dan perempuan. Tercengang kami dibuatnya, masing-masing bertanya bagaimana mereka tidur? Kami dibawa masuk ke dalam bilik dan ternyata, ada yang tidur di atas lantai. Bukan untuk merendah-rendahkan keupayaan mereka tapi kesesakan dan kurangnya peralatan yang menyebabkan berlaku sedemikian. Mengalir lagi air mata kami. Bila kami cek dan lihat betul-betul pakaian mereka, ada yang koyak, kotor dan tidak sesuai lagi untuk dipakai. Namun apakan daya hanya itu yang mereka ada.

Barulah kami sedar, apabila Dr Salina menyambung lagi perbualan, sebenarnya punca sakit mental yang diwarisi oleh keturunan hanyalah 44% sahaja. Lagi 56% adalah berpunca daripada faktor sekeliling. Berkaitan dengan jumlah pesakit mengikut bangsa pula ialah kaum Melayu sebanyak 70%, 20% adalah kaum India dan bakinya adalah kaum Cina. Kenapalah kaum Melayu asyik menjadi juara benda-benda begini di mana-mana.

Sejauh manakah kita kisah dan peka kepada penyakit ini? Hari ini hari mereka. Mungkin esok lusa adalah hari kita. Memang kita tidak minta, tapi apa yang turut diberitahu oleh Dr Salina adalah mereka yang tinggal di sini kami terpaksa ‘off’kan rekod-rekod mereka. Ada VVIP, ada orang yang berjawatan besar, ada orang kaya, ada yang stres bekerja, ada yang cinta tak kesampaian, ada yang bermasalah punca daripada keluarga dan pelbagai 1001 masalah luaran lain. Tentang keturunan, rupa-rupanya bukan semua akan mewarisi sakit mental daripada ibu dan ayah sekalipun mereka berdua mengalami masalah tersebut tapi persekitaran adalah faktor utama yang membuatkan seseorang itu mudah dan terkena akan penyakit ini.

Antara nasihat yang diberikan kepada kami ialah tentang penjagaan diri daripada tekanan yang melampau. Bermula di peringkat kanak-kanak lagi, ibubapa dan penjaga sebenarnya tidak bagus kalau sentiasa membanding-bandingkan pencapaian seseorang anak itu dengan pencapaian di kalangan adik-beradik, ahli keluarga atau orang lain kerana minda anak-anak senang mengingati sesuatu yang baik mahupun buruk. Jika kita didik mereka tentang kejayaan, mereka akan berusaha ke arah kejayaan, jika kita didik mereka tentang kegagalan, mereka akan rasa diri mereka ada kekurangan dan ini menyebabkan mereka berasa tertekan dan kurang berkeyakinan hingga dewasa.

Walaupun ada yang bertujuan untuk berdaya saing, tapi lama kelamaan mereka akan berasa terbuang dan terasing sepi sambil memendam rasa yang tidak sihat jika mereka tidak diajar berdaya saing dengan cara yang betul dan sihat. Bagi golongan yang bercinta, letaklah tahap kecintaan tersebut pada hadnya yang betul. Jangan sampai berlaku konflik cinta maka hilanglah segalanya. Kembali kepada di manakah kita letak nilai hidup kita. Andai nilai itu pada cinta, apabila cinta pergi, nilai diri turut pergi bersama. Apabila nilai dirinya diletakkan pada harta dan kedudukan, tatkala diuji Tuhan dengan kehilangan, maka dirinya turut ditelan kehilangan. Berlakulah apa yang berlaku di hadapan mata kami hari ini jika emosi ini tidak dikawal dengan sebaiknya.

Sebagai menghormati setiap pesakit, kami tidak dibenarkan mengambil gambar mereka. Untuk pengetahuan anda, wad lelaki dan perempuan diasingkan bagi tujuan keselamatan dan kemudahan. Lelaki tidak berjumpa pun dengan wanita dan begitulah sebaliknya. Squad kami sempat membawakan sesuatu yang mampu membuatkan mereka gembira dan syukur Alhamdulillah terpancar kegembiraan di wajah mereka ketika kami menjamu “dessert buah cocktail” kepada mereka. Ada yang minta lagi, ada yang berterima kasih banyak kali sehingga air mata kami tidak mampu lagi untuk dikawal. Doa mereka kepada kami tak putus-putus kedengaran dan kami faham walaupun keadaan mereka begitu, mereka berdoa dengan seikhlas hati. Moga Allah berikan yang terbaik untuk mereka

Kelihatan ahli keluarga mula datang untuk melawat dan jam ditangan menunjukkan waktu melawat pesakit telah bermula. Dari jauh mereka melompat-lompat gembira dengan kehadiran ahli keluarga yang mereka kenali. Ada sebahagian yang masih bersama beberapa orang pegawai bantuan yang membantu memulihkan kesihatan mereka. Paling cepat mereka berada di situ adalah selama 3 hari, paling lama mungkin sebulan atau lebih bergantung kepada tahap kesihatan mereka dan bagi yang sakit berlanjutan akan dihantar ke Hospital Bahagia di Tanjung Rambutan, Perak atau Tampoi, Johor.

Tambah Dr Salina lagi, hari ini dah ramai orang buka pusat rawatan psikiatri secara swasta. Orang yang berduit, mereka akan dapatkan rawatan di sana sebelum lebih parah. Ini menunjukkan bahawa golongan pesakit mental hari ini sebenarnya ramai. Dr Salina juga menasihati agar dapatkan rawatan segera sekiranya terdapat simptom-simptom anda mengalami tekanan dan rawatan yang terbaik bagi umat Islam khususnya adalah sebuah kitab yang hari ini wajib ada di dalam rumah mereka. Itulah penenang jiwa sebenar yang diperlukan oleh semua makhlukNya.

InsyaAllah kami akan merancang lebih banyak lawatan ke wad-wad yang kurang mendapat kunjungan dari masyarakat umum. Semoga dengan usaha kecil kami ini dapat menggembirakan pesakit-pesakit tadi dan pesakit-pesakit yang akan datang. Jika anda ingin turut sama menyumbang, boleh layari www.richwell.org.

Comments

comments