Setiap usahawan punya pengalaman dalam meniti jalan kejayaan. Sudah pasti, ia tidak diisi dengan kisah suka semata-mata. Pahit getir juga menjadi pelengkap cerita.

Tanpa cerita suka & duka, pengalaman ini bagaikan tidak punya apa-apa makna, bagaikan tidak berharga.

Setiap kita ada potensi yang tersendiri. Namun, ia tertakluk 100% kepada kita. Sama ada mahu bazirkan potensi tersebut, atau meraikannya sebagai benih kejayaan untuk masa hadapan.

Ini adalah hakikat. Tiada siapa tahu anda akan sampai ke mana, kecuali diri anda sendiri.

Destinasi anda ditentukan oleh sejauh mana anda sanggup menguji diri & potensi anda. Rata-rata usahawan berjaya berkongsi ‘rempah’ penting ini. Mereka pilih untuk tidak putus asa. Ia disebabkan mereka sedar akan potensi diri sendiri.

“Saya bermula sewaktu tiada apa-apa.”

Ayat ini dipetik oleh Ali Brown, seorang guru dalam industri keusahawanan wanita di Amerika Syarikat.

Sewaktu tahun 1998, Ali merupakan seorang copywriter di bawah naungan agensi kecil. Situasi pada masa itu agak daif. Bayangkan, sebuah pejabat kecil di New York yang dikongsi oleh 10 pekerja lain. Mereka juga terpaksa berkongsi sebuah tandas yang tidak diselenggara dengan baik.

Ali berumur 27 tahun ketika itu. Beliau sedar akan potensi beliau membantu klien menyelesaikan masalah bisnes. Hari demi hari, Ali rasa bosan bekerja. Ini disebabkan oleh gaji yang tidak meningkat & melakukan kerja yang sama setiap hari.

Perhatian Ali terusik oleh beberapa orang ‘freelancer’ yang datang ke pejabat beliau. Ketika ini, Ali sedar beliau perlu melakukan sesuatu perubahan demi mengubah hidupnya.

Kebebasan masa ‘freelancer’ ini menjadi punca perubahan hatinya, disamping mereka juga buat duit yang lebih banyak.

Semangat kental sebagai jaminan menuju kejayaan.

Ali bermula dengan berkenalan dengan seorang ‘freelancer’ itu. Semasa makan tengahari, beliau bertindak mengorek segala informasi mengenai kerja tersebut. Selepas mendapatkan beberapa asas, beliau berhenti kerja di agensinya.

Pada permulaan, Ali tidak mempunyai walaupun seorang klien, mahupun duit yang mencukupi untuk menjalankan bisnes barunya. Ditambah pula dengan hutang kad kredit berjumlah US15,000, situasi ini menekan hidup beliau. Namun, beliau tidak memilih untuk berputus asa.

Dengan keadaan yang semakin sempit, Ali semakin tidak keruan. Beliau sudah tidak mempunyai duit untuk bayar kos sewa rumahnya & setiap hari berhadapan dengan mi segera. Akhirnya, kehidupan Ali berubah oleh sebuah panggilan daripada klein di syarikat lama beliau.

“Saya tiada sebab untuk guna servis syarikat itu jika awak tiada”, kata klien tersebut. Secara langsung, klien ini menjadi pelanggan pertama Ali.

Sejak itu, tiada apa yang boleh menghalang beliau menggapai kejayaan. Hari ini, Ali Brown merupakan tokoh terkemuka di Amerika Syarikat. Beliau adalah seorang guru keusahawanan wanita yang amat dihormati & menerima pelbagai anugerah yang berprestij.

Putus asa punca kejayaan binasa.

Bayangkan jika Ali berputus asa? Mungkin beliau tidak akan merasai kejayaan hari ini. Hakikatnya, kejayaan tidak pernah ada ‘shortcut’. Jika mahu berjaya, halangan yang tersedia harus ditempuh sepenuh jiwa raga.

Seekor gajah dihormati di dalam hutan oleh kerana kekuatannya. Jika jadi seekor gajah di sarkis, kekuatannya terbatas. Potensi gajah itu seperti dikurung & tidak terserlah. Akhirnya, jadilah ia gajah yang hanya mampu menghiburkan pengunjung sarkas.

Objektif anda, mahu jadi seperti gajah yang bebas di hutan, bukan?

Ayat daripada mendiang Maya Angelou ini menjelaskan segala-galanya:

“Nothing can dim the light which shines from within.”

Kenapa anda perlu menghalang potensi diri anda daripada berkembang mekar? Raikan potensi diri anda. Belum cuba, belum tahu. Berikan diri anda peluang sebelum mengalah. Ia mungkin perjalanan hidup yang tidak pernah anda sangkakan.

Mungkin hari ini, ia bakal jadi rezeki anda. Siapa tahu?

Comments

comments