Apakah kuasa sebuah potensi dalam diri seorang manusia?

Kita semua memiliki potensi diri yang menakjubkan. Jika diasah potensi ini secara berterusan, ia boleh menambah nilai yang lebih bermakna, tidak kira dari segi kekayaan harta, atau sebuah kehidupan yang lebih baik daripada sediakala.

Malangnya, ramai antara kita hanya sekadar sedar akan potensi diri masing-masing, namun tidak mengasahnya. Sehingga ia bertindak menambah kesan yang lebih baik kepada kehidupan.

Sikap ini dianggap sebagai sebuah pembaziran. Adakah Allah S.W.T sekadar memberikan bakat serta potensi kepada seseorang manusia untuk tidak berbuat apa-apa?

Alangkah ruginya seseorang manusia jika tidak meraikan bakat yang dikurniakan. Anda tidak perlu meragui diri anda sendiri, kerana anda hadir di dunia ini untuk menempa sebuah cerita. Kehidupan ini terlalu pendek untuk biarkan diri dihantui kerisauan & keraguan.

Disleksia & rabun jauh bukan penghalang.

Zaman kanak-kanak biasanya sukar ditempuh jika mempunyai penyakit & kurang keupayaan. Boris Veldhuijzen van Zanten ditakdirkan menempuh ujian ini sewaktu beliau di sekolah rendah.

Tambahan pula, perkara ini lambat disedari oleh Boris & keluarganya, menyebabkan proses pembelajaran beliau terganggu teruk. Beliau ketinggalan selama 3 tahun kebelakang semasa berumur 15 tahun di sekolah.

Boris merasa tidak puas hati & tidak gembira oleh perkara ini. Beliau buat keputusan untuk berhenti sekolah & meneruskan pelajaran di sekolah sarkis. Boris mempunyai bakat dalam ‘juggling’ & tindakan ini disokong 100% oleh keluarga beliau.

Namun, Boris tidak mempunyai kebolehan untuk belajar secara pantas seperti orang lain. Di sekolah sarkis, ramai guru bertukar tangan & berganding bahu, menjadi penyuntik semangat beliau agar meneruskan usaha, tanpa mengaku kalah.

Ketika ini, Boris belajar sesuatu yang penting dalam hidupnya. Beliau sedar bahawa kehidupan ini direka oleh dirinya sendiri. Jika selalu mengalah, sesiapa pun tidak akan berjaya. Beliau mula berubah menjadi seorang yang berani, kuat berusaha & tidak mudah berputus asa.

Pengajaran yang merubah kehidupan 360 darjah.

Boris mendapati kehidupan ini ditentukan 100% oleh diri sendiri. Terpulang kepada kita bagaimana hendak melukis & mewarnakannya. Ia menjadi sepenuh tanggungjawab seseorang manusia itu. Tiada sesiapa yang layak memaksa seseorang menjalani kehidupan yang tidak disukainya.

Perkara ini seperti memberikan petunjuk kepada Boris. Selepas beliau tamat persekolahan di sekolah sarkis, Boris meneruskan pengajian di akademi seni & tamat graduasi dengan kepujian. Kemudian, Boris menjalankan sebuah bisnes & menjualnya selepas 3 tahun.

Boris Veldhuijzen van Zanten merupakan pengasas The Next Web (http://thenextweb.com/), laman web yang dikenali dalam menyediakan informasi terkini mengenai media, teknologi & bisnes.

Apakah pengajaran kisah ini?

Jika Boris membiarkan kelemahan beliau memakan dirinya, mustahil untuk kita menjadi saksi kepada kejayaan yang beliau kecapi hari ini. Mungkin, kisah ini tidak ditulis & dijadikan sebagai perkongsian pengalaman berharga beliau kepada kita.

Anda sudah dicipta sebaik mungkin oleh-Nya. Jika sebelum ini, tiada seorang yang beritahu bahawa anda terlampau bagus untuk diri anda, izinkan saya menyatakannya untuk anda. Benar, anda dicipta cukup baik untuk mencapai kehidupan yang lebih berjaya.

Keraskan semangat & usaha sentiasa. Dengan izin-Nya, anda pasti berjaya mewarnai kehidupan. Setiap langkah kehadapan, walaupun sekecil langkah bayi, akan membawa anda menyelami misteri kehidupan yang pasti menarik buat diri anda.

Comments

comments