Kalau difikirkan akal logik biasa, mungkin kita tidak akan terlintas untuk mengayuh basikal dari London ke Malaysia tetapi itulah yang dilakukan oleh Badrul Hisham Burhanuddin dalam memenuhi impiannya.

‘Impian gila’ ini bermula di Sheffield, United Kingdom tempatnya menghabiskan ijazah pertama di dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal.

Selepas 15 hari graduasi, selepas tiga hari Aidilfitri atau tepatnya pada 1 Ogos 2014, Badrul Hisham memulakan kayuhan bersama Hafidz, Adeeb dan Azrul.

Persediaan fizikal dan mental sudah lengkap, tinggal untuk bertindak sahaja. Tawakal pada Allah!

Bayangkan sebelum ini dia tidak pernah tahu untuk baiki basikal tetapi demi merealisasikan impian ‘gilanya’ itu, Badrul Hisham lakukan apa sahaja termasuk persediaan stamina, masuk gimnasium, latihan berkayuh. Dan bayangkan juga tubuh kecilnya dengan ketinggian 160 sentimeter dan berat 55 kilogram!

Takut? Cuak? Kadang-kadang menghantuinya. Tapi katanya: “Lebih baik gagal di tengah jalan daripada takut keluar rumah.”

Impian mengayuh basikal yang dihadiahkan oleh seorang rakan sekolej dari Abu Dhabi semakin membuak kerana dia mempunyai matlamat untuk melihat dunia dan mendekati budaya lain dengan kepala dan mata sendiri.

Sepanjang belajar di University of Sheffield, dia bersama teman-teman pernah mengembara mengelilingi Eropah, main ski di Poland, ke Brazil, Romania, Cyprus serta Mesir. Semuanya dalam bajet terikat sebagai pelajar.

“Pada 2011, saya dan tiga lagi kawan keliling 10 negara Eropah dengan keretapi selama 15 hari. Bajet RM4,000 seorang. Hotel jimat sikit sebab kebanyakannya kami tidur di dalam keretapi.

“Memang menarik pengalaman dengan keretapi itu sebab ia membawa kami ke kawasan pedalaman ‘country side’ Eropah,” katanya.

Apabila tamat pengajian, hati kembali melonjak untuk membawa kaki berjalan lagi. Makin ketagih katanya walaupun angka di dalam akaun bank tidak seberapa ada.

“Saya terfikir untuk guna basikal balik Malaysia sebab nak jimat belanja dan dalam masa yang sama, dan lebih penting dapat tengok tempat orang dengan lebih dekat.

“Dengan basikal, kita akan tentukan sendiri jalan mana nak diikut. Lagipun saya nak lebih lama dalam perjalanan,” kata adik tengah daripada tiga beradik ini.

Teman-teman sekolej berbagi rasa. Negatif dan positif. Negatif bukan menghalang tetapi kata Badrul Hisham sebab mereka sayangkannya, bimbang akan keselamatannya. Yang positif pula sangat menggalakkan hingga ada yang membuat sumbangan kecil menabung bajet sedia ada.

Sememangnya dari London ke Malaysia, Badrul Hisham yang kemudian berpecah daripada kumpulan empat sahabat itu mengambil masa lima bulan dengan menjelajah 18 negara sepanjang 11,000 kilometer.

Kalau mengikut perkiraan awal, dia akan mengayuh 15,000 kilometer tetapi dek beberapa halangan termasuk keracunan makanan di Oman, Badrul Hisham redha dengan ketentuanNya. Malah bersyukur diberi kekuatan untuk menggapai impian Berbasikal Dari London Ke Malaya.

“Perasaan takut memang tidak dapat disembunyikan tetapi impian saya terlalu besar hingga mengatasi ketakutan itu. Kalau tidak dicita, kita tidak tahu kan?

“Paling takut ialah kena langgar tetapi alhamdulillah, semuanya berjalan baik. Kecuali pengalaman dirompak di Turki! Nasib baik dia tak ambil laptop atau kamera. Cuma terbang RM300 sahaja!” katanya yang kini mengumpulkan pengalaman tersebut di dalam buku Advantura Pulang Ke Malaya.

Katanya: “Di dalam hidup ini, kita boleh melakukan apa sahaja asalkan ada impian dan yang penting kena cuba dan terus mencuba yang terbaik.”

Comments

comments