Pernahkah anda memikirkan apakah perubahan yang dapat anda bawa kepada dunia, hari ini?

Begitu pun, berapa ramai pula yang mempunyai keberanian untuk melakukan perubahan?

Jika tidak, sanggupkah anda hidup dengan penyesalan di kemudian hari kerana tidak pernah mahu mencuba?

Manusia berjiwa besar akan sentiasa berusaha membawa perubahan. Setiap hari. Ini kerana, matlamat mereka jelas dan mereka  akan berusaha untuk mencapai apa yang diimpikannya.

“Orang yang tidak ada cukup keberanian untuk mengambil risiko tidak akan mencapai apa-apa di dalam hidupnya.” – Muhammad Ali, petinju legenda.

Berani ambil risiko, bukan semberono, bermakna membebaskan diri daripada dibelenggu ketakutan dan berani gagal. Ertinya, menguasai kegagalan untuk dijadikan pendorong bagi merealisasikan impian.

P Ramlee. Bagaimana anda ingin menterjemah perjalanan seorang genius yang disifatkan Tan Sri Ahmad Sarji, mantan Ketua Setiausaha Negara yang juga peminatnya, sebagai “pemberian Tuhan kepada kita”?

Untuk bertanya adakah anda kenal siapa P Ramlee, itu adalah satu penghinaan. Dia adalah manusia berjiwa besar yang telah membawa perubahan menerusi karya-karyanya dalam membantu pengembangan industri filem Melayu yang bertapak di Singapura, seawal tahun 50an.

“Dia tampak menarik pada pandangan orang muda. Peminat menyikat rambut seperti dia, berjalan seperti dia. Mereka malah pernah cuba untuk berfikir sepertinya.” – Profesor Khoo Kay Kim, ahli sejarahwan.

Bermula dengan watak kecil di dalam filem Chinta pada 1948, dia terus relevan walaupun selepas 42 tahun pemergiannya. Diakui sebagai ikon negara yang melangkaui keupayaan pemimpin dan para politikus dalam menyatukan pelbagai bangsa dan agama menerusi filem-filem arahan dan lakonannya, juga lagu-lagu yang banyak dicipta dan dinyanyikannya.

Tapi, berapa ramai P Ramlee di antara kita?

Jika anda termasuk di antara golongan yang dibelenggu rasa ketakutan untuk berdepan dengan kegagalan, hidup trauma walaupun hanya selepas sekali gagal atau langsung enggan mencuba kerana fobia dengan kegagalan orang lain, tanya pada diri: sampai bila mahu hidup biasa-biasa?

“Jangan jadi seperti gajah sarkis. Mahukah kita terus hidup seperti gajah sarkis yang dirantai kaki

 atau kita mahu hidup luar biasa? Manusia lupa kita bukan seperti gajah. Kita ada akal dan potensi diri untuk mengatasi cabaran.” – Dr Azizan Osman, Jurulatih Kejayaan No.1 Asia.

Takut akan melakukan kesilapan, menurut Elbert Hubbard, merupakan kesilapan paling besar yang seseorang boleh lakukan di dalam hidupnya.

Bisnes beg mewah datuk yang diwarisi Miuccia Prada pada akhir 70an sedang merundum ketika diterimanya. Dibesarkan dalam keluarga konservatif, dengan datuk yang tidak percaya akan kebolehan perempuan mengendalikan bisnes, menguatkan lagi tekadnya yang  ingin “selalu jadi nombor satu.”

Teguh pada prinsip “selalu ingin jadi berbeza daripada orang lain”, dia berhasil membangunkan jenama Prada menjadi sebuah empayar bisnes dengan kekayaan bernilai AS$4.4 bilion (RM16.3 bilion) yang meletaknya dalam senarai ke-9 Forbes, Orang Terkaya Itali pada 2015.

Begitu juga kita, tanpa melepaskan bendera ‘berani gagal’ itu, akan naik juga ke podium kemenangan dan ketika itu, ulangilah kata hikmah mantan bintang bola keranjang, Michael Jordan, sesungguhnya “Saya pernah gagal dan gagal dan gagal di dalam hidup saya. Dan, kerana itu saya berjaya.”

 

 

Comments

comments