Setinggi-tinggi kesyukuran dan pujian kepada yang Maha Esa, yang masih memberikan kita kesihatan dan masa lapang, nikmat yang jarang sekali manusia menyedarinya, serta membekalkan kita wahyu yang tidak mungkin boleh diubah, hanya memerlukan masa dan peluang untuk kita sama-sama mentadabburnya.

Kali ini saya ingin berkongsi dan mengajak para pembaca sekalian menyentuh tentang sesuatu yang menarik daripada Kalam Yang Maha Kaya iaitu tentang seekor serangga yang diberi nama lebah.

Dahulu saya pernah terfikir. Berkali-kali apabila membaca kalamNya yang suci, mengapa seringkali Allah menyebut tentang beberapa ekor binatang dan serangga di samping pengkhususan Al-Quran itu sendiri adalah untuk manusia, namun saya sangat percaya bahawa Allah tidak akan menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia dan mesti akan ada hikmah disebaliknya di atas setiap sesuatu yang Allah jadikan bersama kita hari ini.

Ada haiwan yang besar seperti gajah dan lembu, namun ada juga serangga yang kecil seperti lebah dan nyamuk. Bukti Maha Kuasa Allah menjadikan sesuatu tanpa ada sebarang alasan untuk kita tidak tunduk dan patuh pada segala arahan dan menjauhi segala larangannya.

Kembali kepada topik kita. Bagi mereka yang berkecimpung di dalam dunia madu, mungkin anda boleh mengambil beberapa faedah daripada tulisan ini. Sejujurnya, betapa besar kekuasaan Allah swt dalam penciptaan seekor lebah yang mampu hidup walupun di hutan belantara dan kawasan pergunungan, namun manfaatnya sampai pada manusia yang hidup di pekan yang serba kemewahan.

Sambil merenung dan membayangkan, kenapakah engkau wahai binatang yang kecil dan berbisa, Allah abadikan namamu di dalam KalamNya yang suci. Di samping haiwan-haiwan yang lain, ada yang lebih gagah dan perkasa seperti buaya, harimau, tapi engkau juga yang istimewa diltelakkan satu surah khas bersempena namamu di dalam kitab agung. Mari kita renung sejenak bermula dengan beberapa ayat di bawah.

Allah berkata di dalam Al-Quran:

Dan Tuhanmu memberi wahyu (ilham) kepada lebah: Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu. (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir. [68-69 : An-Nahl]

Ayat ini biasanya menjadi buah mulut ataupun ayat pelaris peniaga madu yang aktif di pasaran. Saya tidak cakap semua, tapi masing-masing mempromosikan madu hasil keluaran syarikat masing-masing dengan kelebihan isinya sendiri dan ditambah lagi dengan hujahan dari Al-Quran bagi menguatkan produk masing-masing. Ia tidaklah menjadi satu kesalahan muktamad memandangkan sudah ribuan tahun manusia menikmati kelebihan madu. Namun mengatakan ayat suci itu adalah untuk khusus untuk produk yang mereka pasarkan, saya rasa perkara tersebut perlu diambil serius dan lebih berhati-hati agar tidak menjadikan ayat-ayat suci Al-Quran satu barangan dagangan yang diniaga-niagakan bagi memuaskan kehendak sendiri.

Lihat kembali pada terjemahan di atas. Pada ayat yang ke 69, Allah akhirinya dengan meletakkan hikmah ciptaanNya khusus untuk “Kaum yang berfikir”. Suka atau tidak, selagimana akal yang dianugerah Tuhan ini masih berfungsi dengan baik, masih boleh digunakan untuk berfikir, semuanya dipanggil untuk duduk sekejap dan faham apa yang ingin diberitahu olehNya.

Sekali baca, kita mungkin hanya akan nampak ayat ini berkisar pada proses lebah dalam menghasilkan madu semata-mata. Namun apabila kita baca sambil berfikir, barulah kita sedar bahawa kita terlupa perihal serangga sekecil lebah ini sebenarnya melalui beberapa proses kehidupan yang sangat istimewa dan manfaatnya bukan pada dirinya sendiri, tapi untuk manusia yang masih mampu untuk berfikir.

Hidupnya adalah untuk “Add Value”  pada makhluk yang lain. Mampukah kita melihat bagaimana seekor serangga kecil, hidupnya mampu untuk menambah nilai dalam kehidupan manusia, sedangkan manusia yang besar pun belum tentu mampu untuk menambah nilai ke dalam kehidupan sendiri, apatah lagi ingin melakukannya pada manusia lain?

5 KUNCI UTAMA TADABBUR

  1. KEPATUHAN PADA WAHYU

Betapa agungnya ciptaan Yang Maha Kuasa pada diri yang digelar manusia. Agungnya manusia hari ini apabila kehidupannya berpandukan pada ‘Manual Book’ yang menjadi sumber rujukannya setiap masa. Sedangkan pembelian sebuah telefon bimbit pun perlu pada sebuah buku manual yang mengajar aturan cara mengaplikasikannya, kenapa sebaik-baik kejadian hari ini asyik lari dari buku yang mengajarkan segala benda yang bernama KEHIDUPAN.

Lebah bukanlah seekor makhluk yang mukallaf yang dipertanggungjawabkan untuk bersyariat seperti manusia. Akan tetapi mereka sangat patuh pada wahyu yang telah ditetapkan untuk mereka.

‘Knowledge’ akan membuatkan seseorang itu membina satu sistem kepercayaan di dalam dirinya. Bagaimana pengetahuan yang diterima, itulah kepercayaannya sehingga ke hari ini. Namun ia tidak terhenti di situ. Apabila dia percaya, maka ia semestinya akan membuahkan satu ‘Attitude’ ataupun ia dipanggail sebagai perangai dia. Dari perangai itu akan terhasilnya tindakan dan akhirnya akan membuahkan satu ‘result’ ataupun keputusan.

Sebagai contoh, pada hari pertama bekerja, Ahmad tahu bahawa kerja bermula pada jam 8:30 pagi. Setelah sebulan berlalu, suatu hari dia datang pada jam 8:45 pagi dan dia tidak dikenakan apa-apa tindakan ke atasnya. Maka sistem kepercayaannya akan mula berubah. Keesokan harinya dia akan datang pada jam 8:40 pagi dan masih tiada sebarang tindakan yang diambil.

Bila dia percaya bahawa tiada tindakan, maka perangainya akan turut menjadikan kepercayaannya itu pada banyak perkara. Sekiranya dia langsung tidak rasa bersalah apabila datang kerja lewat, dia juga turut tidak rasa bersalah jika solat lewat, masuk kelas lewat, bangun pagi lewat, berjanji dengan orang datang lewat dan sebagainya.

Maka apakah resultnya? Kerja akan banyak tak siap. Bos akan sentiasa marah. Balik rumah stres. Esok masih ulang perkara yang sama. Namun apakah yang berlaku sekiranya ‘Knowledge’ itu tadi diberi nafas baru? Dia akan menjadi seorang yang berdisiplin, kerja sentiasa siap, tiada stres, bahagia, terasa keberkatan pada gajinya dan keluarga juga akan damai dan harmoni.

Segalanya berpandukan pada ‘Knowledge’ yang diterima. Maka seharusnya ‘knowledge’ yang terbaik mestilah ‘knowledge’ yang datang daripada Yang Maha Aliim dan Yang Maha Bjiaksana. Kerana kita mahu semua result kehidupan hari ini dibawah rahmat dan redhaNya, mengapa mesti memilih knowledge selain Dia untuk dijadikan teras hidup hari ini?

Kembali pada knowledge yang telah diwahyukan Allah pada lebah. Hidupnya tanpa sebarang ingkar mahupun menentang satu pun daripada wahyuNya. Yang penting, manusia juga hidup berpandukan wahyu, cukuplah pada berfikir tentang erti seekor lebah yang comel.

  1. KESEMPURNAAN PADA KEDIAMAN

Lebah tidak akan membina kediaman mereka di atas tanah lantaran makhluk lain boleh memijaknya. Mereka juga tidak membina kediaman mereka di tempat yang rapuh dan tidak kukuh. Jika mengikut apa yang dikatakan, mereka memilih tempat yang sangat strategik bermula dengan:-

  1. Gunung ganang
  2. Pokok-pokok kayu
  3. Bangunan yang didirikan oleh manusia

Susunan tersebut melambangkan hasil dan kualiti madu yang diproses oleh mereka. Contoh seperti madu Hadramawt Yaman, lebah-lebah di sana lebih gemar memilih untuk tinggal di kawasan pergunungan yang jauh daripada sebarang aktiviti kemanusiaan. Hidup mereka bebas dari apa sahaja sisa-sisa yang tidak sihat seperti asap-asap pembakaran dan pencemaran bunyi yang tidak menyihatkan.

Pemilihan tempat seperti itu sudah tentu hasil madu yang dikeluarkan kualitinya adalah yang terbaik di dunia. Makanan-makanan yang terdiri daripda ladang bunga dan buah-buahan juga di kawasan yang belum pernah dicemari oleh tangan-tangan manusia menambahkan lagi kredit kepada madu tersebut menjadikannya madu yang tinggi nilai kebaikannya dan harganya.

Kedua mereka akan memilih pohonan seperti pohon bidara ataupun pohon-pohon yang lain. Ini kerana kelebihan berada di tempat yang lebih tinggi melambangkan tingginya tahap kualiti madu yang tersimpan rapi di kediaman mereka. Namun masih belum boleh menandingi kualiti sepertimana madu yang diambil dari kawasan pergunungan.

Dan akhirnya ialah lebah yang membina sarang mereka dicelahan rumah-rumah manusia. Ini apa yang biasa kita perhatikan dan madu yang ada pada sarang tersebut sudah tentu kualtinya langsung tidak akan sama seperti yang diambil dari sarang pohonan, apatah lagi kalau diambil dari lebah gunung?

Manusia juga begitu. Saya bukanlah berniat untuk merendahkan sesiapa, namun hakikatnya kita semua boleh lihat, fikir sejenak dan belajar menginsafi, bagaimana kualiti hidup kita hari ini adalah ditentukan sejauh manakah kediaman atau persekitaran kita pada hari ini. Siapa setuju?

Ada orang yang tinggal di flat, mereka tidak akan rasa bagaimana kehidupan di sebuah apartment. Mereka yang tinggal di apartment, akan ada jauh di sudut hati mereka inginkan sebuah kediaman yang tidak perlu memanjat tangga yang tinggi pada hari lift semuanya rosak dan penduduk tidak mahu membayar untuk penyelenggaraan. Begitulah seterusnya pada sesiapa yang tinggal di teres, semi-D mahupun di bungalow ataupun sebuah istana. Ia melambangkan nilai seseorang hari ini bergantung kepada nilai persekitarannya.

Salah satu doa yang pernah diajar oleh Rasulullah saw adalah memohon pada keluasan kediaman kerana dari kediaman akan terbitnya kedamaian. Kediaman yang bagus membenihkan suasana yang baik dan harmoni.

Lebah memilih tempat yang terbaik untuk hasilkan yang terbaik, mengapa manusia tidak boleh luaskan minda dan berfikir bagaimana untuk menjadi seorang yang terbaik dengan memilih tempat yang terbaik. Jangan tunggu untuk Allah nak ubah kita, sebaliknya kita yang perlu ubah diri sendiri, kemudian minta padaNya, dan selebihnya serahlah kepada Dia Yang Maha Berkuasa ke atas sesuatu.

  1. KEBAIKAN PADA SUMBER MAKANAN

Apa yang dimasukkan ke dalam perut seseorang itu adalah hasil daripada tindakannya yang membolehkan proses tersebut berlaku. Namun tindakan memasukkan sesuatu itu mestilah didasari oleh pengetahuan tentang apakah yang ingin dimasukkan. Samada sumber yang terhidang itu daripada yang betul mahupun tidak, akal akan memainkan peranan dalam menjustifikasikan dan hati akan meletakkan hukum sejauh manakah benda tersebut boleh dipindahkan dari hidangan ke dasar lautan perut manusia.

Sama seperti lebah, mereka tidak akan memilih bunga-bunga atau buah-buahan yang buruk untuk diambil faedahnya. Mereka sangat mementingkan kualiti makanan kerana hasil yang bakal mereka sumbangkan juga mesti berada pada tahap yang lebih berkualliti. Kita boleh lihat bagaimana madu berperanan menjadi penawar berbagai penyakit. Sudah semestinya kebaikan yang mampu akan mengatasi kesakitan.

Andai makanan sang lebah berpunca dari pohonan yang tidak bagus, hasilnya juga akan tidak bagus dan tidak boleh dijadikan penyembuh kepada sebarang kesakitan. Lalu, jangan asyik fikir pasal apa yang lebah makan, fikirkan apa yang kita makan. Adakah kita juga hari ini sangat protokal dalam berhati-hati pada apa sahaja yang bakal disuap ke dalam mulut kita semua.

Jangan terlalu fokus pada unsur makanan yang mengandungi ‘babi’ sahaja sedangkan memakan harta dengan jalan yang salah juga adalah haram. Rasuah itu haram. Judi itu haram. Menipu juga haram. Menindas orang lain demi memuaskan nafsu sendiri pun haram hukumnya. Mengapa masih ada manusia yang sanggup mengisi perut-perut mereka daripada sumber-sumber rezeki yang haram, sedangkan doa mereka langsung tidak akan didengari oleh Tuhan. Kalau di dunia hidupnya jauh dari pandangan Tuhan, di akhirat jangan harap tiba-tiba ada satu belas ehsan merayu untuk berbaik dengan Tuhan

Tanya pada diri, apa yang dimakan pada hari ini, sejauh manakah kesuciannya? Apakah yang diberi makan pada anak-anak dan keluarga kita?

Lebah memakan sumber yang baik-baik sahaja demi memastikan madunya juga menjadi kebaikan untuk manusia, maka di manakah susahnya seorang manusia untuk mecari kebaikan di dalam makanan hanya untuk memanfaat dirinya sendiri? Ini belum tanya bagaimana jika ingin memanfaatkan orang lain?

  1. KEBAHAGIAAN PADA JALAN YANG BENAR

Sebelum berbicara tentang kebahagiaan, pernahkah anda bertanya kepada diri anda, adakah hidup aku hari ini bahagia? Adakah aku hari ini mampu membahagiakan orang lain dengan kehidupan aku hari ini?

Andai hidup sendiri tidak bahagia, bagaimana mampu untuk membahagiakan orang lain? Pegang kata-kata ini.

Oleh yang demikian, kebahagiaan adalah satu perkara yang sangat dan perlu dicari-cari oleh setiap insan. Pada melakukan sesuatu, hasilnya di penghujung metilah berunsurkan kebahagiaan. Bahagia bila memberi, bahagia bila menerima, bahagia bila bersama dan bahagia bila beragama. Makanan cukup belum tentu hidupnya hari ini bahagia. Harta yang cukup belum tentu hidupnya kini mengecapi kebahagiaan.

Maka segalanya mesti kembali pada jalan yang telah disediakan oleh Tuhan. Sebagaimana lebah, hidupnya bermasyarakat, damai dan saling bersatu pada waktu senang dan sulit. Segalanya adalah mereka “On track” pada jalan yang benar. Mereka patuh pada yang satu. Mereka tidak memakan benda-benda yang tidak mendatangkan kebaikan pada sistem tubuh badan mereka. Mereka tinggal pada tempat yang diwahyukan kepada mereka dan mereka mengamalkan dasar MEMBERI dengan madu yang bukan untuk mereka, tapi untuk makhluk yang bukan di kalangan mereka iaitu manusia.

Di dalam solat, setiap hari kita akan memohon kepada Allah agar dikurniakan hidayah untuk terus berada di atas landasan kebenaran, tetapi sejauh manakah landasan kebenaran yang kita mohon itu diaplikasikan di luar solat. Kita bersujud dan kita rukuk di dalam solat namun sejauh manakah ia menjadikan kita sujud dan rukuk di luar solat? Kita berzakat untuk menyucikan harta, tetapi sejauh manakah kesucian itu kekal pada sumber-sumber rezeki yang lain yang kita makan dan diberi pula makan pada anak-anak dan isteri?

Kita ke Mekah untuk menunaikan ibadah Haji dan Umrah, mencari ruang untuk memohon taubat dan pengampunan dariNya, tetapi sejauh manakah perjalanan dan proses ‘Submission’ itu kesannya kekal setelah pulang ke kediaman masing-masing? Ibadah itu mempunyai rohnya yang tersendiri. Jangan sampai segala ibadah kita hari ini hilang akan rohnya. Sesungguhnya, manusia yang dikeluarkan roh adalah manusia yang mati. Begitu juga dengan ibadah. Roh ibadah hanya akan bersatu dengan jasad yang mempunyai roh ketika mendirikannya.

Ibadah yang dilakukan oleh orang yang rohnya berkeliaran merata-rata akan menjadi upacara semata-mata. Apabila ditanya kenapa kamu solat? Saya terpaksa solat sebab bos saya suruh solat. Kenapa kamu berzakat? Saya nak tolak cukai pendapatan. Kenapa kamu ke Mekah menunaikan Haji dan Umrah? Saya tak nak orang cakap belakang sebab duit banyak tapi Mekah belum pergi.

Maka semakin jelaslah apa yang telah diperkatakan oleh baginda SAW, berapa ramai manusia hari ini berpuasa, akan tetapi dia hanyalah memperolehi lapar dan dahaga. Andai lebah pun mampu untuk menyelusuri perjalanan yang diaturkan Tuhan, rasailah walaupun sedikit malu pada kehidupan seekor lebah jika hidup hari ini seringkali alpa dan tergelincir daripada ‘Track’ Tuhan.

  1. KENIKMATAN PADA HASIL KETAATAN

Segalanya berkesudahan apabila terhasilnya sebuah madu walaupun berlainan pada warnanya, namun ia mampu untuk menyembuhkan pelbagai penyakit manusia. Betapa hebat nikmat yang dimiliki oleh sang lebah apabila bunga dan buah menjadi hidangannya, maka madu yang dihasilkannya.

Ulat sutera juga memakan buah tapi ia mengeluarkan benang untuk dibuat pakaian. Cacing juga memakan buah tapi ia hanya mengeluarkan najis. Manusia juga memakan buah. Ada yang makan seorang diri dan ada yang mahu orang lain juga turut makan bersamanya. Anda boleh lihat bagaimana seekor lebah yang sangat patuh pada wahyu, ia menjadikan hidupnya bermanfaat pada yang lain.

Ada orang hanya memilih untuk memanfaat dirinya sahaja. Ada orang memilih untuk memanfaatkan ahli keluarganya sahaja. Ada orang yang lebih baik, manfaatnya satu dunia dapat merasa. Pilihan kini terletak di tangan anda. Mungkin ada yang bertanya, “Untuk apa hidup aku nak memberi manfaat pada orang lain? Biarlah orang lain mencari dan memanfaatkan diri mereka sendiri, tak perlu nak sibuk-sibuk untuk tunjuk baik sangat”. Inilah ucapan seorang yang gagal.

Pernahkah sesiapa bertanya pada diri sendiri, kenapakah Allah lahirkan kita di kelilingi manusia lain sedangkan Allah boleh sahaja lahirkan kita di sebuah pulau jauh dari sebarang kehidupan manusia mahupun haiwan. Kerana Allah mahu untuk kita beri dan beri lebih banyak manfaat diri ini kepada orang lain di sekeliling. Bagaimana lebah yang tinggalnya di kawasan pergunungan, sunyi, sepi, menjalankan kehidupan mereka seperti biasa namun manfaatnya tidak mampu ditandingi dengan mana-mana ubatan moden yang berada di klinik mahupun hospital terhebat di dunia.

KESIMPULAN

Lebah, walaupun sengatannya sangat berbisa, tetapi apa yang ada dalam perutnya adalah sebuah sumbangan pada insan yang sering leka dan alpa dalam meletakkan wahyu sebagai kompas kehidupan. Mereka bukanlah makhluk yang ditaklifkan untuk beribadat dan bersyariat, tapi mereka sangat patuh pada Penciptanya dalam segenap aspek kehidupan. Manusia yang sewenang-wenangnya mengambil manfaat madu mereka, tidak pernahkah berasa ingin membalasnya dengan sebuah kesyukuran di atas nikmat tersebut?

Pembaca yang dirahmati sekalian, renungi sejenak di manakah kedudukan kita sekarang? Masihkah kita mahu bongkak dan besar diri dengan memalingkan diri dari panduan wahyu? Tidak mahukah kita akan satu amalan yang mana pada hari kita tinggalkan dunia ini, kesannya masih kita boleh bawa ke akhirat kelak? Tidakkah kita mahukan sebuah kehidupan yang ber”Manfaat” pada manusia yang lain?

Ayat ini hanyalah tamsilan bagi mereka yang bernama manusia yang masih belum mampu untuk mentadabbur akan kekuatan sebuah wahyu. Anda mahu hidup kaya, berjaya, diberkati dan dirahmati selalu, maka inilah jalannya yang Allah turunkan pada kita dan apa yang Rasul tinggalkan untuk kita. Jadilah seperti lebah, sentiasa berjemaah, memakan makanan yang baik, tinggal di tempat yang bagus, patuh pada arahan Tuhannya dan ‘result’ mereka adalah hadiah sumbangan manfaat pada makhluk yang bernama insan.

Comments

comments