“Bagaimana anda boleh memuaskan nafsu lapar anda sedangkan jiran anda menghabiskan malam mereka dalam keadaan kelaparan?”

Pada bulan Mei 2011, Sulaiman Al Rajhi telah melemparkan soalan ini kepada sekumpulan ahli perniagaan di hadapannya. Pada bulan yang sama juga, dunia telah digemparkan dengan pengumuman beliau untuk memindahkan sebahagian besar harta kekayaannya yang dianggarkan Forbes bernilai USD 7.7 bilion itu kepada anak-anak beliau dan sebahagian besar yang lain kepada badan-badan amal dan kebajikan serta wakaf.

Dengan bantuan agensi-agensi yang berkaitan, pengagihan harta perniagaannya termasuklah saham dan hartanah miliknya telah berjaya dilakukan dan seterusnya menjadikan beliau insan yang ‘miskin’ semula dan hanya tinggal ‘sehelai sepinggang’. Kata Sulaiman Al Rajhi, jalan yang dipilihnya ini, telah membuatkan jiwanya menjadi lebih tenang dan gembira.  Beliau menganggap dirinya hanyalah penjaga bagi seluruh harta kekayaannya, yang mana pemilik kekal adalah Allah S.W.T.

Dengan melakukan pengagihan hartanya, beliau juga dapat mengelakkan perebutan harta dan seterusnya permusuhan dalam kalangan anak-anaknya sekiranya beliau pergi meninggalkan dunia tanpa mengagihkan hartanya terlebih dahulu. Sesuatu yang tidak diingininya adalah melihat perpecahan antara anak-anaknya sendiri, seperti yang kerap berlaku dalam masyarakat sekarang yang seterusnya pada fikirannya akan merugikan keluarga, masyarakat dan negara.

Pengagihan harta ini juga dibuat agar beliau boleh memastikan pewarisnya boleh menguruskan perniagaan dan pelaburan yang telah dibuatnya.  Dengan cara ini juga, beliau berpeluang untuk memberi tunjuk ajar kepada anak-anaknya yang seramai 23 orang, sekiranya mereka menghadapi masalah dalam mentadbir perniagaan yang diwarisi.

Sulaiman Al Rajhi juga berharap dengan mewariskan sebahagian besar daripada hartanya ke jalan Allah, beliau telah dapat menunaikan tanggungjawab menjaga saudara-saudara Islam yang lain dan seterusnya menjadi bekalan pahala untuk dirinya di akhirat kelak.

PROFIL

Sheikh Sulaiman bin Abdul Aziz Al Rajhi – Daripada Padang Pasir Akhirnya Ke Persada Dunia

Sulaiman Al Rajhi lahir pada tahun 1920, di sebuah kampung yang dinamakan Al-Bukairiyah di daerah Qassim, Arab Saudi. Beliau merupakan seorang tokoh korporat dan bilionwan berbangsa Arab Saudi.  Beliau menerima pendidikan terakhirnya daripada Universiti King Abdul Aziz di Arab Saudi.  Beliau merupakan Pengerusi kepada Bank Al Rajhi, salah satu syarikat terbesar di Arab Saudi dan bank Islam yang terbesar di seluruh dunia.

Pada tahun 2011, Forbes telah menyenaraikan beliau sebagai seorang yang berpengaruh dan merupakan orang yang ke 120 terkaya di dunia.  Dengan anggaran harta beliau bernilai 7.7 bilion USD, beliau merupakan antara 10 orang yang terkaya di Arab Saudi.

Sulaiman Al Rajhi bukanlah seorang yang lahir dalam keluarga yang berada dan bukan juga seorang yang berketurunan diraja.  Beliau membesar di padang pasir Nejd dan bersama-sama saudara kandungnya, Saleh Al Rajhi telah memulakan perniagaan menukar wang untuk pengembara yang merentasi padang pasir ke Bandar Mekah dan Madinah.

KEKAYAAN SULAIMAN AL RAJHI

Bank Al Rajhi – Perbankan Secara Islam

Di kala usia mudanya, beliau berpengalaman dalam aktiviti penukaran mata wang. Pengalaman yang dikutipnya ini dijadikan asas dan panduannya untuk menubuhkan Bank Al Rajhi, dan seterusnya menjadikannya pemegang saham terbesar untuk syarikat itu. Abang beliau iaitu Sheikh Saleh Bin Abdul Aziz Al Rajhi juga turut menjadi tulang belakangnya dalam merancang penubuhan serta menguruskan Bank Al Rajhi.

Sulaiman Al Rajhi adalah seorang yang bijak mentadbir dan menjalankan urusan perniagaannya sehingga Bank Al Rajhi dilaporkan mencatat keuntungan yang paling tinggi jika dibandingkan dengan bank-bank lain di Arab Saudi.

Menceritakan semula detik permulaan perbankan secara Islam, melalui satu wawancara media yang dibuat oleh Muhammad Al-Harbi daripada Al-Eqtisadiah Business Daily, Sulaiman Al Rajhi telah menceritakan bagaimana pada lebih 30 tahun dahulu, beliau telah mengambil keputusan untuk berjumpa dengan Pengurus Bank of England untuk berbincang mengenai perbankan secara Islam. Beliau menegaskan bahawa sistem bayaran ‘faedah’ adalah riba yang haram bagi kedua-dua agama Islam dan Kristian, dan mengesyorkan perbankan secara Islam sebagai penyelesaian yang terbaik bagi menaikkan taraf ekonomi dunia.

Setelah idea dan fakta-fakta yang dibincangkan ini diterima, beliau kemudiannya telah merantau ke serata dunia untuk berjumpa dengan ketua-ketua bank negara dan memberitahu mereka bagaimana ciri-ciri yang terdapat dalam dunia ekonomi Islam. Akhirnya, perbankan secara Islam ini telah mendapat sokongan mufti besar, Sheikh Abdul Aziz Bin Baz dan kemudiannya mula diterima di mata dunia seterusnya dilaksanakan di negara Arab dan juga di kota London.

Terkini, Bank Al Rajhi telah mempunyai sebanyak 570 cawangan di seluruh dunia. Pada Oktober 2006, Bank Al Rajhi telah membuka cawangannya di Malaysia dan sebanyak 24 cawangan banknya sudah dibuka sehingga kini, 15 di Lembah Klang serta satu cawangan di setiap negeri seperti di Johor Bahru, Melaka, Penang, Ipoh, Kota Bharu, Kuantan, Kuching, Sg. Petani dan Kota Kinabalu. Bank Al Rajhi juga telah dianugerahkan beberapa anugerah di peringkat antarabangsa.

Pusat Penternakan Ayam Al-Watania

Sebagai seorang Muslim yang teguh keimanannya, Sulaiman Al Rajhi juga seorang yang amat sensitif dalam etika penternakan haiwan ternakan. Ketika beliau mengadakan lawatan ke ladang ternakan di luar negara, beliau telah melihat dengan matanya sendiri proses penternakan yang ada. Beliau merasakan proses yang dilakukan pada ketika itu adalah salah dari segi syariah.

Beliau kemudiannya memutuskan untuk menceburi bidang ternakan dengan menubuhkan Pusat Penternakan Ayam al-Watania yang terletak di Bandar Qassim, Arab Saudi. Ayam-ayam di ladang ternakannya ini diternak dengan baik, diberi makan dengan sempurna dan disembelih secara halal mengikut undang-undang syariah. Kini, syarikat ini telah berjaya mengeluarkan setengah juta ayam dan satu juta telur setiap hari dan menguasai hampir 40% pasaran di Arab Saudi dan merupakan ladang binatang ternakan yang terbesar di Timur Tengah.

Pusat Pertanian Al-Watania

Sulaiman Al Rajhi juga telah melabur lebih USD 250 juta dalam pertanian secara organik untuk memastikan masyarakat tempatan mendapat makanan yang bebas daripada bahan kimia berbahaya.  Syarikat Pertanian Al-Watania yang ditubuhkan pada tahun 1982 kini telah menjadi salah satu syarikat pertanian terkemuka di Arab Saudi. Syarikat ini telah banyak melakukan penyelidikan terhadap tanaman secara organik dan berbangga dengan produk pertaniannya yang menggunakan baja organik sepenuhnya. Terdapat beribu pejabat pusat pertanian ini di kota Riyadh. Syarikat ini mempunyai ladang yang terletak di utara, tengah dan selatan Arab Saudi.

Universiti dan Kolej Sulaiman Al Rajhi

Selain itu, Sulaiman Al Rajhi juga telah menubuhkan sebuah Universiti dan Kolej Sulaiman Al Rajhi yang fokus utamanya adalah untuk melahirkan pelajar-pelajar dalam pelbagai bidang, antaranya kesihatan dan perbankan Islam. Sesuai dengan misi beliau ingin melahirkan lebih ramai cendikiawan-cendikiawan dan Muslim profesional di masa hadapan. Kelahiran pelajar daripada universiti dan kolej yang terletak di daerah Qassim, Arab Saudi ini juga dilihat dapat memenuhi keperluan tenaga kerja yang diperlukan oleh negara Arab Saudi dan juga negara-negara Islam yang lain.

Keperibadian Sulaiman Al Rajhi

Kejayaan sentiasa berpihak kepada Sulaiman Al Rajhi, tak kira apa jua bidang yang diceburinya. Namun, beliau juga tidak pernah terlepas daripada dugaan Allah S.W.T., antaranya apabila kilang ternakan beliau hangus terbakar dijilat api. Peristiwa ini berlaku bukan sekali tetapi dua kali kilang yang berlainan menghadapi masalah kebakaran. Apabila diberitahu perihal kejadian itu oleh kakitangan syarikatnya, beliau tampak sabar dan tabah dan hanya mengucapkan ‘Alhamdulillah’. Beliau kemudiannya meminta agar pengurusan syarikat kilangnya itu berpindah ke tempat lain dan membersihkan segala kerosakan yang dialami sehingga semuanya dapat dibaiki.

Sulaiman Al Rajhi bersifat suka merendah diri dan turut memiliki pegangan saham syarikat penerbangan namun tidak berminat untuk memiliki jet peribadi. Katanya, beliau lebih suka menaiki penerbangan kelas ekonomi. Baginya Allah tidak memberikannya harta untuk ditunjuk-tunjuk kepada orang ramai. Beliau juga seorang yang sangat suka bersedekah dan baru-baru ini telah membuat amal dengan memberi makan kepada hampir 3 juta jemaah haji yang mengerjakan wuquf di Arafah. Sulaiman Al Rajhi tidak hanya menyediakan wang dan mengupah orang memasak hidangan itu, tetapi beliau sendiri telah ‘turun padang’ dan terlibat secara aktif bersama-sama lebih daripada 800 tukang masak yang diupah untuk penyediaan hidangan itu.

Sesuatu yang dipelajarinya pada awal pembabitannya dalam urusan perniagaan ialah untuk menepati masa. Pernah katanya, temu janjinya untuk berjumpa dengan seorang pegawai di Eropah dibatalkan hanya kerana beliau terlewat beberapa minit untuk temu janji itu. Sejak daripada peristiwa itu, beliau telah mendisiplinkan dirinya untuk lebih menepati masa. Beliau juga sering membawa buku nota kecil untuk mencatatkan aktiviti harian beliau dan akan sentiasa merujuk buku notanya untuk memastikan beliau tidak lupa apa-apa aktiviti atau temu janji yang telah dijadualkan.

Ketegasannya dengan prinsip Islam amat digeruni. Pernah beliau keluar daripada satu majlis makan malam apabila mengetahui terdapat program hiburan di majlis makan malam itu. Setelah pembatalan program hiburan tersebut dan setelah dijemput semula oleh menteri yang terbabit barulah beliau menyertai semula majlis makan malam itu.

Kerajaan Arab Saudi juga telah menganugerahkan beliau Anugerah Antarabangsa Raja Faisal 2012 dalam satu acara gilang gemilang yang telah diadakan di Riyadh. Beliau telah dipilih untuk menerima anugerah ini atas jasa dan peranan besar beliau dalam mewujudkan perbankan Islam yang terbesar selaras dengan ajaran Syariah. Beliau juga diiktiraf atas segala jasa beliau seperti sokongan kewangan yang diberikan, mencetak ratusan ribu salinan Al-Quran dan mengedarkannya secara percuma ke seluruh dunia terutamanya di Afrika, pembinaan masjid dan sumbangan tak terkira beliau dalam pembangunan sosio-ekonomi.

Semoga jasa dan bakti yang telah beliau taburkan diingati selalu. Marilah kita sama-sama berdoa agar usianya dipanjangkan dan hidupnya diberkati Allah dunia dan akhirat.

Tip Kejayaan Membina Empayar Perniagaan

Bertindak! Bukan sekadar komplen

1. Beliau menyedari pada zamannya tidak wujud bank Islam, maka dengan usaha keras, beliau bermula dari bawah.

2. Beliau melihat proses sembelihan yang tidak sempurna, lalu beliau menubuhkan syarikat yang mengatasi hal berkenaan; Al-Watania Poultry. Kini, syarikat ini menguasai 40% pasaran di Arab Saudi.

3. Beliau juga sedar terlalu banyak bahan kimia dalam makanan, maka Al-Watania Agricultural terlibat pula menanam sayur secara organik untuk memastikan lebih ramai yang makan makanan yang bebas bahan kimia berbahaya.

10 Prinsip Hidup Sulaiman Al Rajhi

1. Menurunkan ilmu dan pengalamannya. Memastikan anak-anak pandai menguruskan bisnes dan pelaburan sendiri seperti anak-anak perlu ‘bekerja’ untuk mendapatkan duit. Tiada istilah dapat duit ‘in exchange of nothing’. Walaupun beliau telahpun mewariskan kekayaannya kepada anak-anaknya, tapi duit itu akan habis kalau ia tidak diwariskan bersama ilmu perniagaan yang betul dan sifat rendah diri kepada Allah.

2. Menjadi mentor terbaik untuk semua anak-anaknya. Sebagai seorang yang berjaya, beliau juga mahu anak-anaknya juga turut berjaya. Dan kejayaan itu tidak akan datang bergolek melainkan seseorang itu perlu gigih berusaha di samping memerlukan seorang guru untuk meringkaskan proses kejatuhan banyak kali seperti yang dihadapi oleh usahawan-usahawan lain. Beliau pernah jatuh beberapa kali dan ditimpa ujian sepanjang menjalankan perniagaan, maka beliau juga tidak mahu anak-anaknya mengalami proses yang sama dan dia menjadi mentor kepada anak-anaknya sendiri.

3. Cekap membahagi masa. Sesibuk mana pun menguruskan bisnes dan pelaburan, pastikan persaudaraan sesama keluarga dijaga dan juga kehidupan di akhirat. Benarlah janji Allah yang memberikan rezekiNya pada hamba-hambaNya yang Dia mahu, supaya mereka turut mengagihkan rezeki tersebut kepada orang sekeliling dalam proses menambah keimanan dan ketakwaan.

4. Tidak suka membazir. Antara perkara menarik tentang beliau adalah beliau sering mengingatkan pekerjanya kenapa perlu pasang langsir tebal dan memasang lampu sedangkan Allah swt telah beri cahaya pada siang hari secara percuma?

5. Bisnes vs Peribadi. Beliau tidak suka mencampurkan urusan peribadi dan urusan bisnesnya. Walaupun beliau memiliki ekuiti syarikat penerbangannya sendiri tetapi beliau masih membayar untuk tiketnya sekiranya perjalanan itu melibatkan urusan-urusan peribadi.

6. Merendah diri. Ke mana sahaja beliau pergi, beliau lebih selesa dengan menaiki penerbangan kelas ekonomi. Bukan beliau tidak faham bahawa nikmat itu perlu ditunjuk, tapi beliau memilih untuk tidak menunjuk-nunjuk dan ia tidak bercanggah dengan mana-mana fahaman.

7. Menepati waktu. Beliau mempelajari kepentingan menepati waktu pada awal permulaan bisnesnya kerana beliau pernah terlewat beberapa minit untuk menghadiri temujanji dengan seorang pegawai syarikat terkemuka di Eropah dan pegawai tersebut enggan berjumpanya kerana kelewatan tersebut.

8. Tegas dengan prinsip Islam. Beliau dijemput menghadiri satu jamuan makan malam tetapi beliau keluar dari jamuan tersebut selepas menyedari ada program hiburan yang menyalahi syariat. Menteri bertanggungjawab akhirnya membatalkan program tersebut bagi membolehkan beliau berada dalam majlis tersebut. Itulah teladan orang kaya yang beriman. Beliau hidup dengan berpegang kuat pada prinsip Islam.

9. Sentiasa bersangka baik. Alhamdulillah. Itulah ucapan dari mulut beliau apabila mendengar kilang-kilangnya terbakar. Bukan sekali kejadian itu berlaku, tetapi pada kali keduanya ia berlaku, beliau tetap mengucap Alhamdulillah juga.

10. Semuanya Allah punya. Kita cuma pemegang amanah di muka bumi ini. Semuanya adalah milik Allah yang memberikan segala kurniaannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Dia jualah yang mampu menarik kembali daripada sesiapa yang dikehendakiNya.

(Sumber rujukan: http://www.usahawan.com/tokoh-perniagaan/sulaiman-al-rajhi-jutawan-islam-yang-kaya-dunia-dan-akhirat.html)

Comments

comments