Pada 1 April 2015, Malaysia menyertai 160 negara lain didunia untuk melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan kadar permulaan sebanyak 6%. Impaknya merangkumi banyak benda termasuk kos pelaburan saham dan hartanah.

“Apa kesannya kepada saya sebagai pelabur?” anda akan bertanya. Metro mengajukan soalan itu kepada mentor pelaburan saham nombor satu di Malaysia, Haji Mohd Asri Ahmad. Jawapan beliau pendek dan mudah. “Setiap pelabur akan menerima kesannya, tetapi bagi ramai di antara kita, impaknya sedikit sahaja”.

Haji Asri yang telah berkongsi ilmu pelaburan saham kepada lebih 7,000 peserta di dalam seminar-seminar pelaburannya, menjelaskan bahawa bagi pelabur dan pedagang runcit, keuntungan daripada penjualan saham, pendapatan dividen yang diterima, nilai belian dan jualan saham secara langsung daripada pasaran saham atau melalui unit amanah tidak tertakluk kepada GST.

Yang dikenakan GST hanyalah ke atas yuran pembrokeran dan penjelasan bagi transaksi belian dan jualan saham tersebut, dan juga yuran yang dikenakan oleh pengurus dana unit amanah. Jadi jumlah caj GSTnya kecil sebab GST dikenakan ke atas yuran sahaja. Sebagai contoh, seorang pelabur membeli saham Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjumlah RM14,000 dan dikenakan yuran pembrokeran dan penjelasan sebanyak katakanlah, 0.5% atau RM70. GST yang perlu dibayar untuk yuran RM70 itu adalah sebanyak 6% atau RM4.20. Maka jumlah yuran pembrokeran dan penjelasan termasuk GST adalah RM74.20. Jadi kesan GST kepada pelabur dan pedagang runcit adalah sedikit sahaja.

Pelabur dan pedagang runcit menyumbang lebih daripada 26% aktiviti perdagangan saham di Bursa Malaysia tahun lepas, manakala institusi tempatan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) kira-kira 40% manakala penyertaan asing sebanyak 24%.

Menurut Haji Asri lagi, sebaliknya, kesan GST akan dirasai oleh pelabur logam berharga yang berdagang produk fizikal seperti emas, perak, syiling, barang kemas dan koleksi lain kerana GST dikenakan ke atas nilai produk fizikal yang diniagakan. Sebagai contoh, jongkong emas yang didagangkan pada harga RM10,000 akan tertakluk kepada 6% GST atas nilai dagangan atau RM600. Walaubagaimanapun, pelabur yang berdagang emas melalui akaun pelaburan emas tidak tertakluk kepada GST.

Sebagai pelabur, akan ada juga kos sampingan seperti caj pemindahan dana antara bank, yuran penjelasan cek, pertukaran mata wang asing yang juga tertakluk kepada GST apabila pelabur berurusan dengan bank-bank bagi pemindahan dana untuk pelaburan. Memang tidak dinafikan bahawa semua ini menambah kepada kos pelaburan, tetapi bayaran-bayaran ini adalah sangat kecil. Sebagai contoh, jika caj yang dikenakan adalah RM5, GST ke atasnya adalah 30 sen sahaja.

Bagi pelabur hartanah, samaada GST ada atau tidak, harga hartanah akan meningkat dengan kenaikan keseluruhan kos bahan binaan. Satu fakta yang melegakan ialah kos tanah, yang merangkumi sebahagian besar dari kos hartanah, tidak tertakluk kepada GST. Apapun, kenaikan harga ini mungkin tidak secara mendadak memandangkan sektor hartanah yang lesu masa kini dan sikap tunggu dan lihat para pelabur.

“Walaupun nilai Ringgit di kadar yang rendah dan sentimen ekonomi keseluruhan agak lemah, masih terdapat banyak peluang bagi pelabur Malaysia. Indeks pasaran saham di Amerika Syarikat, seperti Dow Jones dan Nasdaq, yang menjadi kayu pengukur pasaran saham dunia dan tempatan berada di tahap tertinggi. Peluang terbuka bagi pelabur dan pedagang runcit yang bijak untuk meraih pulangan yang baik dari pasaran saham.

Setiap masalah pastinya membuka banyak peluang yang lain bagi mereka yang peka. Yang penting perlulah mempunyai sikap peduli dan ambil tahu tentang perkembangan ekonomi di sekeliling dan carilah peluang-peluang untuk meningkatkan pendapatan antaranya seperti melalui pelaburan saham bagi menampung kesan peningkatan kos sara hidup dewasa ini”, kata Haji Asri.

Comments

comments