Sejak tiga dekad yang lalu, Anthony Robbins telah berkhidmat sebagai penasihat kepada para pemimpin di serata dunia. Beliau terkenal dan diiktiraf di dalam bidang psikologi kepimpinan, perundingan, perubah haluan organisasi dan pencetus prestasi. Beliau telah diberi penghormatan bagi strategi kebijaksanaan dan usaha di dalam bantuan kemanusiaan.

Anthony Robbins Foundation merupakan sebuah yayasan yang telah dibina oleh beliau bagi menyediakan bantuan kepada belia di bandar, warga emas dan juga masyarakat yang tidak mempunyai tempat tinggal. Yayasan ini juga telah memberi sumbangan makanan kepada lebih dari 3 juta orang di 56 buah negara setiap tahun melalui percutian ‘Basket Brigade’.

Lebih dari 5 juta orang dari 100 buah negara seluruh dunia telah menerima impak perubahan hidup secara langsung oleh Anthony Robbins melalui penulisan buku-buku paling laris beliau, produk multimedia, produk kesihatan, ceramah umum serta acara-acara secara langsung. Di sini kami kongsikan beberapa fakta berkenaan Anthony Robbins yang mungkin berguna dijadikan sebagai rujukan dan inspirasi hidup.

#Awal Kehidupan

Anthony Robbins dilahirkan di North Hollywood, California pada 29hb Febuari 1960. Robbins kemudian berpindah dari tempat asalnya ke Azusa, California dan mengikuti pembelajaran di Glendora High School. Beliau tidak pernah berpeluang untuk menyambung pelajaran ke peringkat kolej. Menurut keratan artikel di dalam majalah Playboy, Robbins telah dibesarkan di dalam keadaan yang penuh duka di mana ibunya merupakan seorang penagih dadah dan kaki minum. Pada umur 17 tahun, Robbins telah dihalau keluar dari rumah oleh ibunya. Dengan usia yang masih muda, Robbins mula bekerja sebagai seorang tukang dari rumah ke rumah.

#Jejak Perniagaan

Robbins memulakan karier hidup dengan membuat promosi seminar yang dikendalikan oleh Jim Rohn. Dalam waktu yang sama, Robbins mengambil peluang mempelajari ilmu dari Jim. Menurut Robbins, Jim pernah memberitahu sesuatu yang penuh bermakna kepadanya, “Kebahagiaan dan kejayaan hidup bukan boleh diukur dari apa yang kita miliki, tetapi diukur dari cara bagaimana kita pilih untuk melalui hidup ini. Apa yang kita dapat lakukan dari apa yang kita miliki, memberi kesan perubahan yang besar ke atas kualiti hidup ini”. Masa berlalu dengan pantas dan Robbins mula mengadakan seminar pembangunan yang dikelola oleh dirinya sendiri. Beliau juga mengajar Neurolinguistic Programming (NLP) dan Ericksonian Hypnosis yang dipelajari dari mentornya John Grinder.

Pada tahun 1977, Robbins menganjurkan Leadership Academy seminar. Di dalam seminar ini, para peserta akan mempelajari cara membina identiti diri yang hebat bagi membantu orang lain mencapai kejayaan tidak kira apa cabaran yang menimpa mereka. Kejayaan demi kejayaan Robbins berjaya membina, sehingga beliau menjadi seorang jutawan terkenal pada usia 24 tahun.

Kejayaan Tony Robbins

#Perunding Keamanan & Bantuan Kemanusiaan

Robbins telah dipilih sebagai Naib Pengerusi Kesihatan, Pendidikan dan Sains bagi Pusat Penyelidikan Bangsa-bangsa Bersatu untuk ‘International Council for Caring Communities (ICCC) NGO’. Beliau juga bekerja bersama ‘Organization of American States’, ‘Carter States’ dan ‘United States Agency for International Development (USAID)’. Robbins merupakan salah satu ahli pasukan perunding keamanan dan penyelesaian pilihan raya kepada perselisihan serta konflik yang telah menghancurkan rakyat Venezuela dan ekonomi rakyat tersebut.

Dengan menggunakan strategi beliau iaitu ‘Leadership in Times of Crisis’ dan sistem ‘Indirect Negotiations’, teknik rundingan Robbins ini berjaya memecahkan corak kekerasan dan meredakan ia dari retorik yang membawa kepada kekerasan ini.

#Penasihat Strategi Kepada Pemimpin Dunia

Robbins telah bertemu, berkonsultasi atau memberi pandangan nasihat kepada pemimpin antarabangsa seperti Nelson Mandela, Mikhail Gorbachev, Margaret Thatcher, Francois Mitterrand, Puteri Diana dan Ibu Teresa (Mother Teresa). Beliau telah memberi khidmat konsultasi kepada dua anggota keluarga diraja, ahli-ahli kongres Amerika Syarikat, Tentera Amerika Syarikat, Tentera Laut Amerika Syarikat dan juga Bill Clinton.

Robbins memiliki kelebihan unik bagi mengenal pasti corak dan model  strategi asas yang menjana hasil konsisten bagi beberapa individu yang paling berjaya di dunia.

#Usahawan Berjaya & Kepujiaan Strategi Bisnes

Robbins merupakan seorang usahawan yang berjaya. Beliau berkhidmat sebagai Pengerusi kepada 7 buah syarikat persendirian di dalam bidang industri hospitaliti, pendidikan, produksi media, perkhidmatan perniagaan dan Neutraseutikal. Para pemimpin yang telah berada di puncak kejayaan di dalam bidang masing-masing akan menyeru Robbins menjadi penasihat strategi apabila mereka menghadapi keputusan kritikal yang memerlukan pendapat kreatif dan penilaian secara kebarangkalian dan kesannya. American Express telah membuat satu tinjauan ke atas pelanggan usahawan mereka. Jika harga bayaran tidak menjadi isu, siapakah yang akan dipilih oleh mereka di dunia secara peribadi untuk membimbing dan membawa perniagaan mereka ke tahap seterusnya? Robbins telah dipilih bersama-sama Bill Gates, Donald Trump, Warren Buffet, Lee Lacocca dan Ross Perot.

#Dermawan

Hampir 30 tahun lalu, bermula dengan usaha membantu secara peribadi kepada dua buah keluarga yang tiada tempat tinggal, kini beliau berjaya mengembangkan bantuan ini menjadi sebuah percutian antarabangsa Yayasan Tony Robbins ‘Basket Brigade’. Percutian ini telah membantu memberi sumbangan makanan kepada lebih dari 3 juta orang di 56 buah negara seluruh dunia setiap tahun. Yayasan beliau juga telah menyediakan bantuan sokongan bagi pencetus program-program di lebih 2,000 buah sekolah, 700 buah penjara dan 100,000 organisasi dan pusat perlindungan. Hampir 20 tahun, Robbins secara peribadi menaja kelas darjah lima bagi orang kurang bernasib baik di Houston, Texas dengan menjadi mentor peribadi dan penaja pendidikan kolej mereka.

#Pemenang Anugerah Penceramah

Selain dari usaha beliau sebagai fasilitator kepimpinan, keamanan dan dermawan di peringkat antarabangsa, Robbins juga merupakan seorang pemenang anugerah penceramah kepada pelbagai lapisan masyarakat. Antara yang mengikuti ceramahnya seperti Parlimen British, Harvard Business School, Gorbachev Foundation’s Cold War Forum, President’s Summit for America’s Future, State of the World Forum, Vice President Al-Gore’s Putting Customers First Conference dan World Economic Forum.

Pada tahun 2006, beliau telah dijemput memberi ucapan di majlis berprestij Technology Entertainment and Design (TED) Conference yang dihadiri oleh pemikir dan pemimpin-pemimpin berpengaruh di dunia termasuk pengasas Google dan Naib President Al Gore. Video Ucapan Robbins adalah salah satu daripada sepuluh teratas yang paling banyak dilihat dalam sejarah TED dengan lebih daripada dua juta views. Toastmasters International juga telah mengiktiraf Robbins sebagai salah satu penceramah yang terunggul di dunia dengan menganugerahkan beliau Golden Gavel Award, satu penghormatan Toastmasters paling berprestij. Lebih daripada empat juta orang dari lebih 100 negara telah menghadiri seminar Tony Robbins secara langsung, di majlis jemputan atau di sesi program latihannya.

#Penulis Buku Paling Laris Di Peringkat Antarabangsa

Robbins adalah salah seorang penulis buku paling laris di dunia. Lima buah buku beliau telah diterbitkan dalam 14 bahasa antaranya ‘Unlimited Power’ dan ‘Awaken the Giant Within’. Beliau telah mencipta fenomena luar biasa di dalam pembangunan diri dan profesional sepanjang masa. Personal Power merupakan pita audio yang telah terjual lebih daripada 40 juta pita di seluruh dunia. Robbins juga berjaya mewujudkan satu sistem lengkap terhadap pendidikan, strategi dan momentum melalui perubahan yang boleh diukur serta berkekalan.

#Keluarga

Robbins sangat berkomitmen untuk mewujudkan satu legasi yang bertahan selamanya bagi memberi kesan baik kepada dunia. Komitmen ini hanya akan berjaya melalui semangat keluarga sebagai seorang bapa yang berdedikasi terhadap empat orang anak serta seorang suami yang penyayang terhadap isterinya. Robbins pernah bercerai dan berkahwin semula. Pengalaman peribadi Robbins dalam membina dan menjalin perhubungan mesra dengan isteri dan anak-anak memberi kematangan kepada Robbins dalam memahami isu delicate ini. Robbins juga menganjurkan program untuk mengajar orang ramai cara membina perhubungan yang luar biasa melalui program Ultimate Relationships dan Crazy Love Making.

Comments

comments