Adakah anda berminat untuk mencari sedikit sebanyak pendapatan tambahan sempena Hari Raya yang bakal tiba? Mungkin ketika ini anda tercari-cari perniagaan apa yang sesuai dilakukan dalam masa yang singkat tapi mendatangkan untung yang agak lumayan. Dengan adanya keuntungan dari hasil jualan ini, anda berpeluang gunakannya bagi menampung perbelanjaan sakan di Hari Raya nanti.

Berikut adalah senarai 10 idea perniagaan yang anda boleh lakukan sepanjang bulan puasa sebelum menjelangnya Hari Raya. Kesemua idea perniagaan ini tidak memerlukan modal yang begitu besar dan boleh dilakukan secara kecil-kecilan.

Jika anda merupakan salah seorang dari beribu pelajar program Millionaire Marketing Mastery (MMM), ia pasti mudah bagi anda untuk mendapatkan keuntungan yang tinggi dalam masa yang singkat dengan hanya mengaplikasikan ilmu yang dipelajari. Terdapat beratus teknik pemasaran yang dikongsikan di seminar MMM, takkan satu pun tak mampu menarik pelanggan?

Cuba fikirkan, apakah keperluan pelanggan yang anda boleh sediakan atau produk yang dapat menyelesaikan masalah mereka menjelang bulan Ramadhan dan Raya ini?

#1 Makanan Berbuka & Sahur

Di bulan puasa ini, kebanyakan orang akan mengunjungi bazar Ramadhan bersama keluarga dan kawan-kawan untuk mencari juadah berbuka puasa.  Oleh itu, taktik anda untuk menjual makanan di bazar memainkan peranan yang penting. Pastikan anda menyusun dan menghias makanan anda agar nampak cantik, bersih dan paling penting menyelerakan. Walaupun ramai yang akan berniaga di bazar, cuba anda cari kelainan untuk menarik pelanggan datang ke gerai anda walaupun anda hanya berniaga kuih atau menjual air dengan harga RM1.

#2 Kuih dan Biskut Raya

Ramai di antara golongan ibu kini berkerjaya dan tiada masa atau berkesempatan untuk membuat kuih dan biskut raya sendiri. Mereka lebih suka untuk membeli biskut di kedai, secara online, melalui rakan-rakan sekerja, dari pasaraya atau bazaar Ramadhan. Ini membuka peluang yang amat besar kepada suri rumah dan peniaga yang mengusahakan biskut dan kuih raya.  Untuk memastikan jualan anda laris, pastikan anda memberi sampel untuk orang merasa keenakkan kuih dan biskut anda. Biskut yang sering menjadi kegemaran ramai biasanya biskut coklat dan kekacang rangup. Tapi ramai dari peniaga kini lebih kreatif dengan menghasil kuih dan biskut berbagai perisa, warna, corak dan memberikan penampilan yang sungguh indah untuk dimakan.

Satu lagi bonus adalah menjadi agen kuih Raya dan memasarkan biskut dan kuih Raya dengan mengambil tempahan awal.

#3 Tudung & Hijab

Tudung semakin hari menjadi idaman ramai wanita kerana gaya dan fesyen yang pelbagai di pasaran yang menampilkan wanita penuh dengan keayuan, keanggunan, kecantikkan dan bergaya dengan citarasa yang pelbagai. Sebagai peniaga tudung, anda boleh membeli secara borong dan menjualnya di Internet atau di tempat kerja, kepada saudara-mara atau jiran di kawasan sekitar taman anda.

#4 Baju Raya

Baju raya sudah menjadi sinonim setiap kali menjelang Hari Raya. Ada yang sanggup membeli sehingga 7 helai baju raya untuk dipakaikan sepanjang minggu pertama raya. Kononnya raya setahun sekali dan inilah masanya untuk menunjukkan ketampanan dan kecantikan masing-masing. Jika anda pandai menjahit, anda boleh mengambil tempahan di saat-saat terakhir ini kerana ada yang masih ingin menempah baju tetapi tukang jahitnya tidak lagi menerima tempahan. Tempahan bermula 3 ke 4 bulan awal sebelum bulan puasa. Selain itu, anda juga boleh menyulam manik atau mendekorasi baju dengan renda dan pelbagai jenis bahan jahitan yang dapat mencantikkan dan menyerlahkan keunikkan sesuatu baju dan pemakainya.

#5 Kad Raya

Di zaman Internet di hujung jari ini, ucapan raya boleh dihantar dalam masa beberapa saat sahaja dengan sms, mms dan juga emel. Namun, kad raya yang berbentuk fizikal lebih bermakna jika dihantar kerana penerima boleh menyimpannya atau menggantungnya sebagai hiasan di hari raya. Inilah masa untuk mencari pendapatan sampingan jika anda mempunyai skil grafik designer. Anda boleh memasarkan design anda dan mempromosi custom-design kad raya dengan mengambil tempahan daripada syarikat untuk dihantar kepada pelanggan mereka. Cuba dapatkan harga rendah terbaik dengan syarikat percetakan supaya anda dapat mark-up keuntungan anda.

#6 Sampul Duit Raya

Selain kad raya, sampul duit raya juga mendapat banyak permintaan. Dalam 2 – 3 tahun yang lepas, design sampul yang popular bergambar duit Ringgit Malaysia, Upin & Ipin selain design tradisional dengan unsur Islamik. Kini, ramai meminati design sampul raya yang custom design, elegan, eksklusif, bermotif moden seperti smartphone dan gameboy atau design yang akan memberi persepsi yang pemberinya nampak seperti seorang yang kaya di hari raya nanti.

#7 Hamper Raya

Bulan Ramadhan membuka ruang tempahan untuk Hamper Korporat Ramadhan dan Hari Raya. Anda boleh menawarkan pelbagai pilihan yang menarik mengikut bajet yang bersesuaian dengan pelanggan anda. Anda boleh juga menawarkan potongan harga bagi setiap tempahan dan perkhidmatan penghantaran percuma di kawasan yang berdekatan.

#8 Produk Kesihatan

Beberapa masalah yang biasa dihadapi ketika berpuasa di bulan Ramadhan melibatkan gangguan pencernaan (senak) serta rasa kembung, keletihan, lemah, kekurangan tenaga, pening kepala dan rasa pitam. Berbagai isu atau masalah kesihatan biasa dihadapi dan anda boleh mengatasinya dengan membantu orang untuk berpuasa dengan selesa dan menikmati sepenuhnya faedah kerohanian bulan Ramadhan. Anda boleh mengenalkan makanan tambahan (supplement food) kepada mereka untuk mengimbangi diet seharian mereka.

#9 Rawatan Kecantikan

Wanita dan lelaki hari ini juga tidak ketinggalan kerana sentiasa inginkan imej dan penonjolan diri yang segak dan cantik. Kita inginkan kulit yang halus, cerah dan bersih daripada sebarang bintik hitam dan jerawat terutamanya di bahagian muka. Kelebihannya jika rawatan atau produk kecantikkan itu dapat membantu kita tampil lebih muda. Anda boleh membuat promosi rawatan mencantikkan kulit muka, badan dan rambut untuk membantu pelanggan anda tampil lebih cantik, segak, sihat dan ceria menjelang Aidilfitri. Sekiranya perkhidmatan anda bagus, mereka pasti akan kembali walaupun lepas Raya.

#10 Dekorasi Rumah

Setiap kali sebelum tibanya musim perayaan, pastinya ada ramai di antara kita yang akan mula memperuntukkan bajet untuk menghias ruang kediaman dengan wajah serba baru. Ada yang ingin bertukar perabot baru, langsir baru dan kiranya semuanya mahu baru.

Jika anda pandai menghias dalaman rumah atau ada idea yang sesuai untuk digunakan dalam dekorasi kediaman ketika menjelang Raya, anda boleh memberikan khidmat nasihat atau mengerjakan kerja makeover yang tidak memerlukan belanja yang terlalu besar. Asalkan anda dapat membantu pelanggan anda menghias rumah dengan dekorasi khas Ramadhan yang sangat menyenangkan.

Banyak lagi perniagaan yang boleh dilakukan sepanjang bulan Ramadhan ini yang hanya memerlukan modal rendah untuk memulakannya. Semoga anda mencari peluang yang ada dengan membantu menyelesaikan masalah orang ramai atau memenuhi keperluan pelanggan.

Salam Ramadhan & Selamat Hari Raya

 

Comments

comments