Alhamdulillah, Ramadhan sudah tiba. Berapa ramai yang sudah bersedia untuk Ramadhan tahun ini? Berapa ramai yang betul-betul sudah bersedia?

Sebelum itu, adakah anda sudah pun capai apa yang nak dicapai pada Ramadhan yang lalu? Kalau ada sepuluh matlamat yang nak dicapai pada Ramadhan yang lalu, adakah anda capai 10 atau 5 atau 1 atau mungkin pencapaian terbaik setakat ini adalah kembali seperti sediakala iaitu seperti tahun-tahun sebelumnya tanpa ada apa-apa perubahan.

Pembaca sekalian,

Tulisan ini tidak akan mampu untuk menjadi ‘Jerung’ mengejar anda untuk bertindak. Ia juga bukan sebuah ‘Tukul’ untuk mengetuk berkali-kali agar paku tersebut mampat ke dalam sebatang kayu. Tapi tulisan ini hanyalah sebuah alat seruan, yang mengembalikan segala urusan menyampaikannya itu hanyalah kepada Tuhan. Kerana urusan hati itu adalah mutlak milikNya dan urusan perubahan itu adalah tertakluk kepada pemandunya iaitu kita sendiri. Kami percaya, setiap titik kebenaran itu tidak akan ditemui oleh sesiapa sehinggalah pemilik kebenaran itu menyampaikannya dengan tujuan apa sekalipun tanpa duduk membatu dan diam membisu.

Bila tiba musim Ramadhan, manusia akan menjadi ganjil. Masakan tidak, kalau di luar musim Ramadhan, berapa ramai sahaja yang datang bersolat Jemaah di surau atau di masjid? Satu saf? Dua saf? Subuh? Zohor? Mana semua orang ni untuk bersolat fardhu? Tapi cuba tengok apa terjadi bila tiba waktu untuk berterawih. Setiap tahun pengerusi surau atau masjid akan pening kepala memikirkan ruangan solat yang tidak mencukupi, tempat letak kereta yang bertindih-tindih dan makanan moreh yang selalu kehabisan awal. Solat sunat sahaja, tetapi mengapa begitu ramai mengalahkan solat yang Fardhu? Sungguh, sungguh ganjil.

Bila tiba musim Ramadhan, yang tidak suka menutup aurat lantas menutup aurat. Yang tidak pernah ada bajet untuk menyumbang, terus tahu jalan ke sekolah anak yatim yang berhampiran. Ia tidak pelik jika semuanya berlaku secara berterusan, tapi kalau lagi 11 bulan anak yatim itu kembali yatim, itulah yang dinamakan pelik. Maka di sini perlunya seseorang itu pada Istiqamah ataupun konsisten. Bertindak sudah bagus, namun untuk konsisten bukan semua orang mampu untuk melakukannya.

Sesungguhnya konsisten atau istiqamah itu amat membebankan apabila perubahan itu sangat mendadak. Lama-kelamaan ia akan terhenti dan tak nak buat lagi. Lebih teruk apabila kita mengungkit pula atas segala apa yang telah dikorbankan dan dibelanjakan ketika waktu semangat dahulu. Kerana itulah baginda Nabi saw menekankan konsep biar sedikit asalkan ia berterusan. Bertindak secara melampau sangat pun tidak bagus kerana akhirnya dia akan tewas dengan setiap perbuatannya dan kecewa atas segalanya.

Di sini, kami cuba untuk berkongsi dengan anda, 9 silibus utama bagi membantu kepada perubahan yang positif di bulan Ramadhan kali ini. Moga perkongsian ini boleh dimanfaati bersama dan juga orang lain.

SILIBUS 1: RAMADHAN MENGAJAR KITA MENJADI SEORANG YANG AMANAH

Seorang yang sedang berpuasa, walaupun dia berada di dalam rumah seorang diri, sedangkan rumah tersebut ada pelbagai makanan yang boleh dimakan, namun dia memilih untuk menahan diri daripada itu. Kenapa boleh jadi begitu? Sedangkan tiada siapa pun nampak mahupun pegawai agama yang membawa van jenazah pun tidak nampak. Ini kerana rasa amanah yang ada pada dirinya. Berbekalkan ilmu yang dipelajarinya di sekolah ataupun di masjid, ditambah pula dengan didikan keluarga yang faham tentang puasa, lantas membuatkan individu tersebut sangat amanah dengan puasanya. Alhamdulillah. Cuba renungkan sejenak. Kalau dalam puasa seseorang itu boleh begitu amanah, kenapa dalam hal-hal lain yang berkaitan duniawi, manusia seringkali tewas dengan konsep amanah tersebut?

Amanah sebagai seorang bapa adalah memastikan keluarganya sentiasa dalam keadaan baik, memperolehi perkara-perkara yang baik dan menjamin keselamatan dan kesejahteraan keluarganya sekalipun dia tiada lagi untuk bersama. Wahai ayah, adakah dirimu kini betul-betul memikul tanggungawab amanah ini sebagai ayah?

Amanah seorang suami adalah memastikan isteri sentiasa mendapat apa sahaja yang dipertanggungjawabkan ke atas seorang suami. Samada dari sudut nafkah dan sebagainya, dia juga memegang amanah yang besar untuk memastikan isterinya adalah betul-betul pasangan hidupnya dan bukannya pasangan hidup orang lain. Wahai sang suami, sudahkah anda benar-benar memikul amanah ini?

Pemimpin, rakyat, majikan, pekerja, guru, pelajar, sesiapa sahaja semuanya ada amanah yang dipertanggungjawabkan. Maka sejauh manakah amanah berpuasa diimplimentasikan ke dalam semua amanah kehidupan kita?

Sesungguhnya, amanah ketika berada di dalam kelompok yang ramai itu bermula dengan amanah ketika berada keseorangan.

SILIBUS 2: RAMADHAN MENGAJAR KITA MENJADI SEORANG YANG MENGAWAL PERASAAN

Kata Rasulullah saw, orang yang kuat itu bukanlah orang yang menang bergusti, malah orang yang kuat adalah mereka yang mampu menahan marahnya. Betapa tinggi nilai yang diterapkan oleh baginda nabi sehinggakan di dalam waktu kita berpuasa, andai kita dihina dan dilemparkan kata nista atau diajak untuk bertumbuk, maka katakanlah, “Aku sedang berpuasa”. Nabi mengajar kita untuk beralah tapi bukan semestinya kalah. Namun impak kawalan perasaan ini akan meletakkan seseorang di satu tahap yang tertinggi di dalam hidupnya.

Kawalan perasaan juga datang ketika seseorang itu berbuka. Lihat apa hidangan berbuka kita pada Ramadhan lalu? Berapa banyak di kalangan kita sanggup menjadi saudara syaitan apabila membuang makanan dan membazir ketika membeli belah di bazar Ramadhan. Ketika berpuasa, tidak dinafikan semuanya nampak sedap belaka. Tapi takkanlah sampai semua jenis air bancuhan untuk kita kumpul koleksi kesemuanya ketika berbuka?

Membeli belah di bazar Ramadhan tiada halangannya. Mungkin ada yang pulang lewat tak sempat memasak atau mereka yang inginkan kelainan ketika berbuka supaya dapat membeli apa yang diingini. Namun berhati-hati dan kawal perasaan anda ketika membeli. Walaupun syaitan sedang tertambat di neraka, tidak salah untuk melahirkan saudara-saudaranya di dunia dan menunggu untuk mendapat pengiktirafan sebagai saudara usai Ramadhan nanti.

SILIBUS 3: RAMADHAN MENGAJAR KITA MENJADI SEORANG YANG SIHAT

Benar, berpuasa adalah salah satu cara yang mudah untuk mengelakkan sebarang penyakit. Masakan tidak, selama 11 bulan kita memasukkan semua benda ke dalam tangki utama iaitu perut, dan makanan-makanan yang kita masukkan kebanyakannya ramai yang kurang peduli tentang apa yang dimakannya. Akibatnya, makanan tersebut akan menjadi racun yang boleh mendatangkan pelbagai penyakit kepada tuannya. Kami ada berkongsi dengan pembaca  bahawa pentingnya seseorang itu makan makanan mengikut kumpulan darah bagi mengelakkan makanan tersebut menjadi racun diam di dalam badannya. Bagi yang berpuasa, tangki proses makanan dapat direhatkan seketika bagi menjamin proses kemaskini yang lebih kondusif. Bekerja seharian pun perlu kepada rehat, begitu juga dengan tubuh badan, lebih-lebih lagi perut kita sendiri, ia juga perlukan rehat yang baik.

Perlu diingatkan juga, bagi mereka yang sudah pun berazam untuk ‘berdiet dan kurus’ apabila musim Ramadhan, harus dihentikan niat ini. Sesungguhnya puasa adalah lebih daripada apa yang diniatkan itu. Ia adalah ibadah yang dipenuhi dengan roh tarbiyyah yang membawa seseorang itu mempraktikkan manifestasi perhambaan kepadaNya. Betul, berpuasa mampu untuk mengurangkan berat badan, tapi itu bukan tujuan asal berpuasa yang telah difardhukan ke atas sekalian mukmin. Betulkan kembali ‘mind setting’ tersebut agar kesemua amalan kita hari ini samada sedar atau tidak, kita mahu ianya adalah ibadah hanya untuk Allah swt.

SILIBUS 4: RAMADHAN MENGAJAR KITA MENJADI SEORANG YANG PATUH

Terlalu banyak kepatuhan ketika berpuasa di bulan Ramadhan. Seringkali baginda yang agung akan mengingatkan sahabat-sahabatnya berkaitan dengan kepatuhan supaya individu mesti sentiasa berada pada level ‘peak state’ untuk menghabiskan puasa yang hampir 14 jam lamanya. Seorang yang berpuasa, dia tidak dibenarkan untuk berkata-kata kesat, menipu dan bercakap pada perkara yang tidak membawa sebarang faedah hatta untuk dirinya sendiri.

Kesemuanya itu adalah antagonis kepada puasa itu sendiri yang lebih bersifat damai, menahan diri daripada maksiat mulut, telinga dan mata. Begitu juga perihal sahur dan berbuka. Baginda sangat menekankan pada pentingnya bersahur lewat dan berbuka awal bagi membezakan puasa kita berbanding puasa orang-orang yahudi dan nasrani. Sekali pandang mungkin kita hanya menganggap puasa sahaja yang perlu dibezakan dengan mereka, tetapi konsep yang nak dibawa oleh baginda adalah lebih besar daripada itu.

Segalanya apa yang dimiliki Islam pada hari ini perlu dieksklusifkan dengan cara tindakan kita mesti tidak patuh pada setiap tindak tanduk mereka. Sesungguhnya jarum yang disuntik oleh mereka sangat halus yang lama kelamaan mesti kita turut mengikut jejak langkah mereka andai kepatuhan kita bukan pada Allah dan Rasul dengan sepenuh hati. Maka ia bermula dengan kepatuhan yang kita akan sama-sama pelajari sepanjang Ramadhan ini. Belajar untuk patuh pada perkara-perkara yang mungkin kita anggap ianya remeh, lama-kelamaan kita akan lebih mudah untuk patuh pada perkara-perkara yang lebih berat dan luar biasa.

SILIBUS 5: RAMADHAN MENGAJAR KITA MENJADI SEORANG YANG KUAT

Pernah satu ketika seorang Presiden Pertama Tunisia iaitu Habib Bourguiba yang memerintah dari tahun 1957 hingga 1987 telah mengeluarkan arahan untuk tidak membenarkan penjawat awam di negaranya, Tunisia, berpuasa di bulan Ramadhan. Ia berlaku pada tahun 1961 ekoran produktiviti negara merosot ekoran rakyatnya yang lemah setibanya bulan Ramadhan.

Bagi membenarkan arahan tersebut, beliau dan anggota kabinetnya telah muncul secara langsung di kaca televisyen pada tengah hari bulan Ramadhan dan mereka makan beramai-ramai. Sungguh hebat.

Kenapa terjadi sedemikian? Adakah Bourguiba tidak pernah membaca sejarah? Bukankah peperangan Badar berlaku pada bulan Ramadhan? Bukankah pembukaan Kota Makkah juga berlaku pada bulan Ramdhan? Salehuddin Al-Ayubi menawan kembali Baitul Maqdis dan membebaskan Masjidil Aqsa juga pada bulan Ramadhan? Umat Islam sangat kuat lebih-lebih lagi apabila tibanya Ramadhan. Ini fakta.

Bourgiba buta sejarah dan tidak menilai sensitiviti umat Islam? Tidak sama sekali. Beliau juga tahu sejarah dan beliau juga tahu sensitiviti tersebut. Namun sikap skeptik terhadap puasa itu adalah berpunca daripada rakyatnya sendiri. Masakan tidak, kalau bulan lain, boleh bekerja daripada pukul 8:30 pagi hingga 5:30 petang, kenapa bulan Ramadhan pekerja perlu pulang lebih awal seawal 4:30 petang? Mesyuarat-mesyuarat kebanyakannya ditangguhkan demi menjaga keharmonian Ramadhan. Kerja-kerja utama yang sepatutnya siap ditunda ke bulan hadapan bagi menghormati keistimewaan Ramadhan supaya umat Islam kuat beribadah.

Adakah ini yang Islam mahukan dari sebuah Ramadhan?

Lupakan seketika pada Tunisia dan Bourguiba. Lihat pada diri kita hari ini. Adakah Ramadhan ini akan buatkan kita lebih bertenaga ataupun kita juga akan turut lemah seperti kisah rakyat Tunisia pada masa silam. Pilihan itu terletak di tangan kita. Tak perlu menunding untuk mengatakan diri sendiri lebih bagus daripada yang lain. InsyaAllah, tanamkan dalam hati dan jiwa untuk Ramadhan kali ini supaya kita lebih kuat fikzikal dan mental berbanding Ramadhan-ramadhan yang lepas. InsyaAllah, hasil kekuatan di bulan Ramadhan ini akan buatkan kita sentiasa ‘peak state’ untuk sebelas bulan akan datang. Kata nabi, orang mukmin yang kuat lebih disukai oleh Allah daripada orang mukmin  yang lemah. Maksud hadis.

Apabila syaitan semuanya dibelenggu, nafsu yang tinggal di dalam diri diberi tekanan dengan berpuasa, maka apa lagi yang tinggal melainkan seseorang itu harus kuat untuk menempuhi segala-galanya. Latihan selama 30 hari sebenarnya sangat terlalu cukup untuk kita semua teruskan kekuatan itu untuk menghadapi sebelas bulan yang mendatang.

SILIBUS 6: RAMADHAN MENGAJAR KITA MENJADI SEORANG YANG PEMURAH

Tidak dinafikan, semua pembaca adalah seorang yang pemurah. Alhamdulillah, setibanya bulan Ramadhan kali ini, apa kata kita tingkatkan ia kepada yang lebih luar biasa. Adapun Rasulullah sendiri umum mengetahui bahawa baginda adalah orang yang paling kuat bersedekah. Namun baginda meningkatkannya kepada dua kali ganda setibanya bulan Ramadhan.

Oleh itu, setiap umat Islam seharusnya berlumba-lumba untuk melakukan kebajikan di bulan Ramadhan tanpa memikirkan sebarang kerugian seperti membanyakkan bersedekah kerana balasan di atas setiap satu kebajikan itu adalah amat besar di sisi Allah di hari akhirat kelak. Apatah lagi di bulan Ramadhan yang setiap satunya digandakan kepada sebanyak 70 kali ganda. Dan gandaan itu boleh meningkat semahu-mahu atas rahmat dan keredhaan daripada Allah.

Perlu juga diingatkan, bersedekah bukan hanya memberikan wang, tetapi termasuk di dalamnya mengajak berbuka puasa kepada fakir miskin, anak-anak yatim dan orang-orang yang berpuasa. Alhamdulillah, pada setiap tahun, Richworks di bawah kendalian Richwell akan sentiasa mencari rumah-rumah anak yatim dan pusat-pusat penjagaan orang tua dan kurang upaya untuk kita anjurkan bersama untuk berbuka puasa. Jutaan terima kasih kepada mereka yang menyumbang dan kami sebagai orang tengah, amat bersyukur dengan pemberian anda semua.

Kami selalu teringat akan pesanan Dr Azizan Osman kepada murid-muridnya, “Anda datang belajar untuk ubah hidup supaya lebih banyak masa, lebih banyak wang dan lebih banyak peluang untuk mencapai impian. Apabila banyak masa, anda boleh beribadah dengan tenang. Boleh bersama dengan ibu ayah dan tunaikan apa sahaja kemahuan mereka yang mungkin dari dahulu mereka tidak mampu mencapainya.

Kemudian bila anda banyak wang, bukannya semua anda nak belanjakan untuk penuhkan perut sendiri. Banyaknya wang anda adalah untuk bantu mereka yang memerlukan. Lagi banyak anda memberi, lagi banyak Allah akan berikan kepada anda.

Lantas kami wujudkan Richwell untuk memudahkan proses tersebut demi menyalurkan apa sahaja bantuan dan pemberian anda kepada mereka yang sangat-sangat memerlukan”.

Entah di mana silapnya, atau entah di mana tak bagusnya mengajar orang supaya menjadi hartawan yang dermawan. Takkan ada sesiapa yang mampu untuk menjadi setaraf Abdul Rahman bin Auf atau Saidina Usman bin Affan, tapi janganlah meletakkan diri setaraf dengan Abu Jahal dan juga Abu Lahab. Tak mampu untuk menyokong usaha yang baik, diam dan bantu senyap-senyap secara sendiri. Moga semua kita dipandang mulia di sisiNya. Moga amalan sedekah kita di bulan Ramadhan tidak terhenti di sini sahaja. Jadikan ia sebagai sebuah proses kebiasaan yang akan membuatkan kita memberi tanpa henti, membantu tanpa nanti.

SILIBUS 7: RAMADHAN MENGAJAR KITA MENJADI SEORANG YANG BERSAUDARA

Allah telah menyatakan hampir 19 ayat di dalam Al-Quran tentang pentingnya menghubungkan silaturrahim. Terdapat 3 ayat di mana Allah amat membenci mereka yang suka memutuskan hubungan sesama saudaranya. Sememangnya Ramadhan adalah waktu yang sangat sesuai untuk kembali bertaut sesama saudara. Berkumpul beramai-ramai berbuka, sama-sama berterawih, bertadarus Al-Quran pada setiap malam, lambat laun ia akan meningkatkan kualiti silaturrahim di antara kita.

Kata nabi lagi, barang siapa yang mahu dimurahkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka sambunglah silaturrahim. Ia adalah lafaz yang umum tidak hanya menumpu prosesnya pada bulan Ramadhan semata. Namun, dengan kehadiran bulan Ramadhan tak lama lagi, masing-masing boleh merancang sesuatu yang istimewa demi mengeratkan lagi hubungan supaya ianya berkekalan hingga ke akhir hayat.

Pernah suatu hari seorang lelaki dari Afrika menelefon Mufti Arab Saudi dan bertanyakan soalan tentang puasa. Katanya, “Wahai Tuan Mufti, apakah hukumnya jika seseorang itu berpuasa tanpa bersahur dan berbuka?” Lantas mufti tersebut tidak mampu menjawab dan jelas air matanya sedang deras mengalir. Hari ini umat Islam berbuka sampai ke tahap membazir sedangkan jutaan manusia yang merupakan saudara Muslim kita yang berakidah sama dengan kita, yang berpuasa seperti kita tidak ada makanan untuk berbuka dan bersahur! Kita berlapar hanya untuk beberapa jam sahaja, namun mereka berlapar selagi mereka masih nampak bulan dan bintang.

Tidaklah seruan ini meminta untuk kita semua pergi ke sana dan membantu. Kalau boleh lebih baik. Tapi paling tidak, rasailah persaudaraan antara kita dan mereka dalam sama-sama berlapar. Niat dan doakan yang terbaik untuk mereka kerana mereka juga adalah saudara kita semua.

SILIBUS 8: RAMADHAN MENGAJAR KITA MENJADI SEORANG YANG OPTIMIS

Berpuasa di bulan Ramadhan langsung tidak akan sama sepertimana berpuasa pada bulan-bulan yang lain. Ia ada keistimewaannya yang tersendiri yang mana Allah telah mengaturkannya dalam bentuk 3 elemen yang utama seperti mana yang telah dianjurkan di dalam ayatnya yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa”. [Al-Baqarah : 183]

Ia mengandungi sebuah hadiah istimewa iaitu ‘Takwa’. Tapi siapa sedar kenapakah Allah akhiri ayat di atas dengan kalimah ‘Supaya’? Ia sama seperti, mudah-mudahan, semoga, moga-moga kamu menjadi orang yang bertakwa. Ini bermakna, ia adalah satu perkara yang tak pasti samada boleh dapat atau pun tidak dapat. Sebagai orang positif, sudah semestinya kita mahu dapat semuanya lebih-lebih lagi ia adalah sebuah hadiah daripada Allah. Oleh itu bagaimana untuk kita optimis mendapatkannya? Mari kita lihat perbincangan di bawah.

Pertama, seruan utama Allah adalah eksklusif untuk orang yang ada pada dirinya IMAN. Itu merupakan input utama kekuatan untuk menerima ayat ini tanpa ada sebarang penolakan. Dengan iman manusia itu bersolat, tapi pelik sangat kalau puasa dan tidak solat. Dengan iman manusia mengenali perkara-perkara yang ghaib, tapi pelik mengapa masih ada manusia yang tidak mempercayai adanya Lailatul Qadr dan berusaha untuk mengejarnya. Lantas iman adalah perkara utama jalan menuju takwa. Adakah dengan iman sahaja sudah mencukupi? Tidak.

Kemudian, dengan keimanan yang jitu, hasil daripada tarbiyyah imaniah yang kita perolehi dari masa ke semasa, ia berpindah kepada sebuah ‘proses’ pasca keimanan tadi iaitu puasa. Bagaimana puasa itu dijalankan semuanya tertakluk kepada ilmu yang masing-masing kita pelajari. Perlu diingatkan, kepentingan menuntut ilmu tidak kiralah apa jua bidang sekalipun haruslah dipertingkatkan. Sangat sedih sekiranya seseorang yang berpuasa hari ini umurnya sudah pun mencecah 48 tahun, tapi ilmu yang diguna pakai untuk berpuasa adalah ilmu yang berumur 15 tahun. Itu pun silibus pelajaran yang dihafal untuk menduduki Peperiksaan Menengah Rendah dahulu kala. Bagaimana seseorang yang bermusafir ketika berpuasa, bagaimana orang sakit ketika berpuasa, adakah batal korek hidung ketika berpuasa, semuanya perlukan ilmu-ilmu yang mampu mengubah ataupun menguatkan pendirian kita tentang puasa.

Akhirnya, dengan iman yang kuat, proses puasanya betul, maka hasil hadiah takwa itu pasti akan menjadi milik kita semua. Letih sebenarnya setiap kali datangnya bulan puasa, ramai yang hanya berlapar dan berdahaga. Lebih meletihkan kepada mereka yang berpusu-pusu datang terawih bergaduh-gaduh berebut parkir kereta semata-mata nak makan moreh yang tak seberapa. Orang yang mengejar takwa, mereka yang menjaga input dan proses supaya selari untuk sebuah hadiah yang sangat bermakna iaitu takwa. InsyaAllah, setiap kita sangat optimis untuk mendapatkannya dan seruan untuk diri kami dan anda semua moga bersama mencapainya.

SILIBUS 9: RAMADHAN MENGAJAR KITA MENJADI SEORANG YANG KAYA

Jadi kaya? Betul. Memang Ramadhan mengajar kita untuk menjadi kaya. Tapi bukan kaya harta semata-mata. Bahkan ia mengajar kita untuk kaya jiwa sekaya-kayanya. Terlalu banyak ganjaran yang Allah swt sediakan untuk mereka yang benar-benar melaluinya dengan penuh keimanan dan pengharapan pada pengampunan. Sehingga bau mulut orang yang berpuasa digambarkan seperti bauan kasturi walaupun hakikat sebenar baunya sukar digambarkan. Doa setiap individu yang berpuasa tersangatlah istimewa sehingga Allah berkata doa mereka tidak akan ditolak sekiranya mereka berdoa ketika berbuka. Allah yang sama juga berikan lagi dua kegembiraan bagi mereka yang berpuasa. Kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan apabila menemui tuhannya. Dan orang yang berpuasa juga disediakan sebuah pintu khas bernama Rayyan untuk ke syurga.

Orang baru nak masuk Islam, perlu mengucap dua kalimah syahadah dan disaksikan oleh orang lain. Ibadah solat, kita boleh tahu samada orang itu solat ataupun tidak. Bukanlah untuk kita menghukum, tapi kalau waktu solat, masih berada di tempat yang sama sehingga masuk waktu solat seterusnya, orang boleh tahu bahawa orang ini memang tak solat. Nak berzakat? Kena ada saksi daripada penerima khususnya ketika seseorang itu mahu mengeluarkan zakat. Nak buat haji, pihak tabung haji kena tahu bahawa anda salah seorang yang layak untuk pergi ke sana menunaikan ibadah yang mulia itu.

Adapun puasa? Siapa yang tahu anda berpuasa ataupun tidak? Kita tidak menelan air semasa mandi di bilik air, tidak melihat yang haram walaupun sendirian jauh dari pandangan manusia, semuanya kerana kita berpuasa atas dorongan iman kepada Allah.

Dorongan ini kita ulang 30 kali dalam sebulan untuk menanam nilai tulus dan ikhlas dalam beramal kepada Allah. Atas maksud inilah, Allah memberikan ganjaran khusus lagi eksklusif kepada mereka yang berpuasa kerana ia adalah ta’abbud yang istimewa antara seorang hamba dengan Penciptanya. Inilah yang dinamakan dengan kaya jiwa. Kekayaan yang  boleh membawa seseorang ke mana-mana sahaja. Kaya harta semata-mata, kaya pangkat, kaya rupa, semuanya akan berakhir. Tapi kekayaan jiwa yang kita miliki hasil tarbiyyah Ramadhan ini adalah untuk kita pakai selamanya. Orang lain juga turut merasa tempiasnya sekalipun kita sudah tiada lagi di sisi mereka. Bermula dengan kaya jiwa, segala kekayaan yang lain akan turut serta. Mohonlah kekuatan daripadaNya.

PENUTUP

Akhir kata, kami memohon maaf di atas sebarang bicara, salah tutur ayat dan kata. Tidak ada kemahuan yang lebih dari kami semua melainkan adalah untuk kita sama-sama bersedia untuk melakukan satu perubahan yang baik untuk Ramadhan kali ini. Lakukan yang terbaik andai Ramadhan yang lalu belum membawa apa-apa kesan ke dalam diri kita. Kami akhiri tulisan ini dengan sebuah hadis daripada Rasulullah saw berkata:

“Jibril datang kepadaku dan berkata, ‘Wahai Muhammad, siapa yang menjumpai bulan Ramadhan, namun setelah bulan itu habis dan ia tidak mendapat ampunan, maka jika mati ia masuk Neraka. Semoga Allah menjauhkannya. Katakan: Amin!. Aku pun mengatakan: Amin. ” (HR. Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban dalam Shahihnya)