“TODAY IS HARD, TOMORROW WILL BE WORSE, BUT THE DAY AFTER TOMORROW WILL BE SUNSHINE” – JACK MA

1) Siapa Jack Ma?

Zero to hero. Itulah gambaran paling sesuai diungkapkan buat insan bernama Jack Ma. Daripada seorang yang biasa-biasa kini menjadi ‘Luar Biasa’.

Hanya mempunyai latar belakang sebagai guru Bahasa Inggeris, ianya bukan penghalang kepada Ma untuk menjadi siapa dirinya sekarang. Kuat semangat dan mempunyai sikap tidak mudah mengalah telah meletakkan Ma sebagai salah seorang usahawan teknologi paling berjaya di dunia.

Jack Ma adalah Pengasas Alibaba Group dan digelar seorang usahawan berasaskan internet yang berjaya juga seorang dermawan.

Bukan sahaja digelar individu terkaya di China, malah beliau telah membuktikan miskin bukan alasan atau penghalang seseorang menjadi kaya hatta jutawan.

2) Dari ‘Bir’ Ke ‘Alibaba’

Penjelajahan Ma ke Seattle, Amerika Syarikat pada 1995 adalah titik tolak kepada dirinya mengenali apa itu internet. Pencarian pertamanya di internet adalah perkataan ‘bir’ dan beliau mendapat pelbagai informasi mengenai perkataan itu dari kebanyakan negara.

Apa yang mengejutkan adalah tiada sebarang informasi mengenai perkataan itu dari China. Bukan sahaja tidak menjumpai informasi mengenai bir tetapi tiada sebarang maklumat yang dijumpai mengenai negaranya. Dari situ, terlahirlah idea untuk membangunkan laman sesawang berkaitan dengan China.

Dalam tempoh lima jam, beliau mendapat respon melalui emel daripada beberapa penduduk China yang ingin mengenalinya. Bermula saat itu, Ma menyedari kepentingan internet yang mampu memanfaatkan semua orang.

Pada 1995, Ma membangunkan laman sesawang berkaitan indeks perniagaan yang dikenali sebagai “China Pages”. Ayah kepada dua anak ini kemudian meninggalkan “China Pages”pada 1997 dan bergabung dengan pemerintah.

Beliau kemudiannya menjadi pemimpin perusahaan teknologi informasi yang dibangunkan China International Electronic Commerce Centre sebuah jabatan di bawah Kementerian Perdagangan Luar Negari dan Kerjasama Ekonomi Tiongkok pada 1998 hingga 1999.

Selepas meninggalkan jabatan itu, Ma nekad kembali semula ke Hangzhou dan menubuhkan Alibaba.com dengan sekumpulan rakannya. Alibaba.com adalah laman sesawang yang menjadi platform ‘business to business’ berskala global dan memberikan perkhidmatan kepada 79 juta ahli dari 240 negara serta wilayah.

Alibaba.com adalah peruncit atas talian terbesar di China dan tersenarai di kedudukan kedua selepas Wal-Mart. Penubuhan Alibaba.com ini secara tidak langsung menghubungkan pengeksport China dengan pembeli dari pelbagai negara. Bahkan, kewujudan laman sesawang ini berjaya menarik minat pelabur dengan lebih cepat.

3) Jatuh Bangun Ma

Bukan sesuatu yang mudah untuk beliau sampai ke tahap ini. Di kala Alibaba.com sedang melonjak naik, beliau terpaksa bersaing rapat dengan eBay laman sesawang jual beli atas talian yang bermarkas di Amerika Syarikat.

Menjadikan kelemahan pesaing sebagai kelebihan buat dirinya, Ma tidak takut untuk bersaing dengan ebay. Produk perusahaan beliau juga berjaya menarik 100 juta orang setiap hari.

Dalam usaha menambah baik sistem e-dagang antarabangsa, bermula 2003, Ma mengasaskan Taobao Marketplace, Alipay, Ali Mama dan Lynx. Melihat kepada perkembangan pesat Taobao, eBay menawarkan diri untuk membeli syarikat itu tetapi Ma menolak tawaran itu.

Menceritakan mengenai jatuh bangun yang terpaksa dihadapinya, beliau pernah melalui saat getir apabila ditolak sebanyak tiga kali untuk memasuki universiti, ditolak dalam permohonan bekerja sebanyak 30 kali, permohonan menjadi polis ditolak, malah dalam 24 orang yang memohon bekerja dengan KFC hanya beliau seorang yang tidak diterima.

Tiada ilmu dalam bidang teknologi dan pengkomputeran, Ma tetap mampu menjadi pengasas peruncit atas talian terbesar di China hanya bersandarkan kesungguhannya.

4)  Seorang Yang Dermawan

September 2014, Alibaba dilaporkan telah mendaftarkan diri di bursa saham New York dalam Initial Public Offering (IPO). Peningkatan dana kepada $25 juta menunjukkan IPO Alibaba merekodkan yang terbesar sekali gus melakar sejarah.

Walaupun digelar ‘Orang paling Berpengaruh di Tiongkok’, Ma tidak lupa untuk mendermakan sebahagian hartanya kepada mereka yang memerlukan. Ma bersama dengan Lembaga Pengarah lain turut menderma dua peratus saham Alibaba kepada Yayasan Amal yang akan membiayai inisiatif dalam bidang persekitaran, kesihatan dan pendidikan.

Forbes Asia turut menobatkan Ma sebagai “Asia’s Heroes of Philantrophy” berdasarkan perananya dalam program pemulihan dan bencana kemiskinan.

Tindakannya itu adalah konsisten dengan prinsipnya bahawa manusia dilahirkan untuk melakukan segala sesuatu menjadi lebih baik untuk orang lain.

5) Latar Belakang

Ma Yun atau lebih dikenali sebagai Jack Ma dilahirkan pada 10 September 1964 di Hangzhou, Provinsi Zhejiang, China. Kedua ibu bapanya adalah seniman muzikal tradisional.

Keinginan yang mendalam terhadap pembelajaran Bahasa Inggeris mendorong Ma berkayuh ke hotel berhampiran setiap hari supaya dapat berkomunikasi dengan pelancong asing.

Selain itu, Ma akan menawarkan dirinya menjadi pemandu pelancong secara percuma sebagai latihan buat dirinya sekali gus memperbaiki pertuturannya dari hari ke hari. Rutin itu dilakukan selama sembilan tahun. Akhirnya, Ma menjadi sahabat pena kepada salah seorang pelancong dan beliau diberikan nama ‘Jack’ berikutan kesukaran untuk menyebut nama cinanya.

Walaupun pernah gagal dalam peperiksaan kemasukan universiti sebanyak tiga kali, ia bukan penghalang kepada Ma menggenggam segulung Ijazah Sarjana Muda dalam Bahasa Inggeris apabila menamatkan pengajiannya pada tahun 1988 di Institut Perguruan Hangzhou (kini dikenali sebagai Hangzhou Normal Univiersity).

Selepas menamatkan pengajian, beliau menjadi pensyarah Bahasa Inggeris dan Perdagangan Antarabangsa di Universiti Hangzhou Dianzi. Beliau seterusnya melanjutkan pengajian di Sekolah Pengajian Perniagaan Cheung Kong berpangkalan di Beijing di mana sekolah itu telah diasaskan oleh Jutawan Hong Kong Li Ka Shing pada tahun 2002. Ma menamatkan pengajiannya pada tahun 2006.

Comments

comments