“Kehidupan dunia akan mencerminkan kehidupan akhirat.”

Sekuat mana tubuh badan dan sebijak mana pun kebijaksanaan otak manusia jika kedua-dua ini tidak digunakan dengan baik dan selari di dunia maka ia akan menjadi satu pembaziran besar di akhirat kelak. Sebagai seorang manusia yang dianugerahkan akal fikiran, anda sebenarnya mampu membina kehidupan di dunia dalam keadaan terbaik sekali jika anda berjaya fokus kepada matlamat KEUTAMAAN HIDUP yang sebenar.

Masih ramai yang terhuyung hayang tidak tahu ke mana arah kehidupan yang ingin dituju. Ini terjadi mungkin disebabkan mereka tidak tahu matlamat hidup yang hendak dicapai kerana tiada siapa yang ingin berkongsi mengajar mereka atau mereka sendiri tidak ingin belajar tentangnya.

Secara asasnya, setiap individu mempunyai keutamaan hidup yang berbeza. Bagi memudahkan anda, kami mengambil 5 contoh keutamaan hidup yang popular dan sering dimiliki oleh mereka yang berjaya. Berikut adalah 5 contoh keutamaan hidup:

1. Keutamaan terhadap TUHAN

Bagi yang beragama Islam, anda wajib memahami bahawa Allah SWT merupakan sumber alam yang paling hebat dan tiada lagi yang sehebat dariNya.

Untuk mendapat keberkatan hidup di dunia dan akhirat, anda wajib mengikut segala perintah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Hanya dengan izin Allah SWT sahaja anda boleh menikmati kejayaan hidup yang diimpikan.

Dengan memahami semua ini, anda wajib memberi keutamaan yang paling tinggi kepada Allah SWT. Wajib menjaga solat, melaksanakan perintahNya serta menyayangi RasulNya akan membuatkan hidup anda lebih harmoni, ceria dan teratur.

2. Keutamaan terhadap IBUBAPA

Pernahkah anda mendengar pepatah yang mengatakan “Ibubapa umpama keramat hidup di dunia?”

Doa ibubapa merupakan doa yang sungguh hebat terutamanya doa dari seorang ibu, kerana ibu telah diberi kelebihan istimewa di mana setiap doa ibu yang diminta dariNya, Insya Allah mudah dimakbulkan. Ini bermakna, rezeki, kebahagiaan, keuntungan dan kejayaan akan datang dengan penuh rahmat jika ibubapa mendoakannya untuk diri anda.

Menjaga ibubapa umpama menjaga rezeki seumur hidup. Menjaga mereka dengan penuh kasih sayang dan bertanggungjawab akan membuatkan lagi hidup anda lebih bermakna.Keutamaan terhadap DIRI SENDIRI

3. Keutamaan diri sendiri terbahagi kepada 3 bahagian iaitu:

a. Spiritual (Kerohanian)

Ia merupakan makanan kepada jiwa dan emosi. Untuk mencapai kestabilan jiwa dan emosi, anda perlu mendekatkan diri kepada Allah SWT. Dengan hanya menyayangi Allah SWT dan RasulNya, jiwa dan emosi ini akan kekenyangan dengan kegembiraan, ketenangan dan keharmonian hidup.

b. Fizikal

Dengan memiliki tubuh badan yang sihat, anda dapat melakukan segala perkara dengan mudah. Tanpa kesihatan yang baik, anda akan menghadapi kepayahan dalam melaksanakan tugasan dan ia akan mengganggu perjalanan kejayaan hidup anda.

c. Minda

Minda akan lebih bijak jika ia disajikan dengan ilmu yang berguna. Anda perlu memajukan diri dengan mencari ilmu yang bermanfaat untuk diri sendiri serta orang lain. Dengan ilmu sahaja ianya dapat membezakan tahap kedudukan minda anda dengan orang lain.

4.  Keutamaan terhadap ORANG LAIN

Anda hidup di dunia ini bukan secara berseorangan, anda hidup secara bersama berkongsi dengan orang lain. Telah menjadi lumrah kehidupan di mana yang kuat akan membantu yang lemah, manakala yang lemah perlu membantu diri menjadi kuat.

Jangan kedekut untuk berkongsi kelebihan diri yang ada bersama orang lain. Jika anda seorang yang bijak dalam membina kejayaan dan kekayaan hidup, maka kongsikanlah kebijaksanaan ini kepada orang ramai yang memerlukannya. Manakala, jika anda mempunyai harta kekayaan yang banyak, maka dermakan sedikit darinya kepada anak yatim, fakir miskin, ibu tunggal, mangsa bencana, pusat-pusat kebajikan atau mereka yang memerlukan.

Percayalah bahawa setiap apa yang anda kongsikan bersama orang lain, anda akan terima habuannya berlipat kali ganda di masa hadapan kelak.

5. Keutamaan terhadap ALAM

Mesti anda tertanya-tanya kenapa perlunya ada keutamaan terhadap alam. Sekali lagi, anda diingatkan bahawa anda bukan hidup secara berseorangan, masih ada hidupan lain lagi selain manusia.

Cuba anda bayangkan kehidupan anda tanpa sebarang tumbuhan dan haiwan di bumi ini. Bolehkah anda hidup tanpa kedua-dua ini? Disebabkan itu, anda perlu mendidik diri menjadi prihatin terhadap penjagaan alam sekitar dengan tidak membuang sampah merata-rata, mengamalkan kitar semula, rajinkan diri bercucuk tanam, tidak menzalimi hidupan lain dan sebagainya.

Alhamdulillah, sehingga hari ini masih ada lagi pertubuhan-pertubuhan yang dibina khusus untuk melindungi alam ini. Jika anda ringan tulang, sertai pertubuhan berdaftar ini. Mereka memerlukan banyak tenaga sukarelawan untuk membantu menjayakan aktiviti dan program advokasi mereka.

Diharap perkongsian kali ini dapat membantu memberi sedikit sebanyak idea untuk membina matlamat keutamaan hidup dari segi dalaman dan luaran bagi persediaan sebenar erti kehidupan dunia dan akhirat.

 

Comments

comments