Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary nama yang tidak asing di persada dunia bisnes. Beliau merupakan seorang ahli perniagaan dan jutawan Melayu yang berjaya serta digelar sebagai ‘Wira Dermawan’ di Malaysia. Yayasan Albukhary merupakan salah satu inspirasi dicetuskan oleh beliau (Pengerusi Yayasan), di mana yayasan ini ditubuhkan berlandaskan nilai-nilai Islam Taqwa dan Ehsan. Beliau percaya bahawa perniagaan dan kebajikan merupakan dua entiti yang saling berkait antara satu sama lain. Pada tahun 2008, Tan Sri telah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah sempena sambutan Maal Hijrah 1429H peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Beliau juga pernah dipilih sebagai Tokoh Melayu Terbilang 2009.

1) Tahun 1951 Alor Setar, Kedah, merupakan tempat bermulanya kehidupan beliau. Sewaktu di zaman sekolah, akibat dari kesempitan hidup, Tan Sri telah menghadapi kesukaran untuk mengambil ujian peperiksaan SPM. Ini kerana beliau tidak mempunyai wang untuk membayar yuran peperiksaan tersebut. Pada umur 19 tahun beliau telah menduduki peperiksaan SPM.

2) Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary merupakan anak ketiga dari tujuh adik-beradik. Beliau tinggal di sebuah rumah kayu berkeadaan usang yang terletak di Kampung Hutan Keriang. Kehidupannya waktu itu serba kekurangan. Beliau tidak mempunyai katil untuk berbaring, malah kerusi dan meja untuk dijadikan tempat menelaah ilmu. Walaupun serba kekurangan, ibunya Puan Sharifah Rokiah Syed Mohamed Rahmat telah mengasuh beliau agar sentiasa menghulurkan derma kepada orang miskin.

3) Bagi menampung pendapatan keluarga, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary telah bekerja sebagai pembantu ibunya dengan menanam sayur-sayuran. Penat lelah beliau tidak berhenti setakat itu, beliau juga bekerja sebagai penjual roti canai di pasar Jalan Telok Wan Jah serta membantu bapanya menternak lembu dan kerbau. Satu ketika, penyakit wabak kaki dan mulut telah merebak ke negeri berkenaan. Segala ternakan lembu dan kerbau mati begitu sahaja. Sejak itu, beliau telah nekad untuk tinggalkan bidang ternakan dan memulakan perniagaan baru sebagai seorang pengusaha daging lembu dan kerbau pada tahun 1970. Beliau telah membeli daging-daging lembu yang tidak terjual dan memasarkannya semula kepada peniaga Bumiputera dan restoran-restoran sekitar Alor Setar.

4) Tahun 1972, MARA telah meluluskan pinjaman sebanyak RM110, 000 kepada beliau. Tanpa membuang masa, beliau telah membeli dua buah lori dengan wang tersebut. ‘Syarikat Pengangkutan Sentosa’ adalah syarikat beliau yang digunakan untuk mengangkut beras. Perniagaan makin maju, syarikat pengangkutan beliau telah memiliki lebih dari 40 buah lori. Tahun 1975, Syarikat Shah telah ditubuhkan. Beliau telah memohon lesen perdagangan beras melalui Lembaga Padi Negara (LPN) yang kini dikenali sebagai BERNAS. Dengan wujudnya Dasar Ekonomi Baru, beliau telah berjaya mendapatkan kontrak menjadi pembekal beras ke pihak FELDA, MARA, Senama, Pernas Edar dan juga Sergam Sdn Bhd. Kejayaan demi kejayaan perniagaan, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary terus mengembangkan perniagaan dan kini beliau memiliki berpuluh syarikat di dalam dan di luar negara.

5) Tahun 1996, Yayasan (Islam) Al-Bukhary telah ditubuhkan. Yayasan ini telah membina dan menguruskan Muzium Kesenian Islam yang bernilai RM70 juta di Kuala Lumpur. Sebanyak RM1 Bilion telah disumbangkan melalui Yayasan Al-Bukhary untuk membiayai pelbagai program amal dan kebajikan. Tahun 2001, 500 buah pusat tuisyen telah ditubuhkan melalui Program Tuisyen Albukhary. Lebih 22,000 pelajar menyertai pusat tuisyen ini setiap tahun, dan bagi pelajar yang mendapat keputusan cemerlang, mereka akan diberi biasiswa bagi melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi. Tahun 2010, beliau telah menubuhkan Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) di Alor Setar, Kedah. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak iaitu bekas Naib Canselor USM telah dilantik sebagai Naib Canselor AIU. Terdapat banyak lagi sumbangan Tan Sri yang memberi banyak manfaat kepada rakyat Malaysia seperti penubuhan Pusat Perubatan Bukhary, Kompleks Al-Bukhary, pembinaan masjid-masjid, rumah anak yatim, pusat komuniti, akademi khas warga emas dan banyak lagi.

Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary telah membuktikan bahawa Melayu Bumiputra mampu menjadi usahawan gemilang di persada dunia. Mari kita bersama-sama menjadikan beliau sebagai satu idola. Semoga kita berjaya sama seperti beliau di dalam perniagaan dan juga kebajikan.

Comments

comments