Menonton animasi–animasi hasil produksi Dreamworks Animation dan Pixar Animation Studio sepatutnya bukan hanya dinikmati sebagai sekadar menonton cerita kartun. Setiap hasil animasi ada cerita tersendiri dan mesej yang tersirat. Boleh dikatakan nilainya lebih besar dari menonton filem-filem aksi yang lain.

Animasi “Turbo” yang diterbitkan oleh Dreamworks Animation pada tahun 2013 mempunyai seribu pengertian dan hanya yang mencari ertinya sahaja yang boleh memahaminya. Animasi menarik ini berkisar tentang seekor siput yang digelar Turbo yang bercita-cita untuk menjadi siput terpantas di dunia. Satu cita-cita yang tidak masuk akal sehingga kelompok siput yang lain merasakan Turbo adalah aneh!

Abang kepada Turbo sendiri berpendapat bahawa Turbo ini seekor siput yang gila. Bagi abangnya, Turbo sepatutnya menjadi seperti siput-siput biasa, pagi-pagi keluar ke kebun dan memetik buah tomato untuk menjadi hidangan seharian. Walaupun sering menjadi habuan burung-burung, siput-siput ini masih sanggup terus tinggal di kebun tersebut hanya kerana mereka telah terbiasa dengan persekitarannya. Aksi Turbo yang selalu berimpian untuk menjadi siput terpantas sentiasa menjadi bahan cemuhan dan ejekan dari siput-siput yang lain. Biasalah! Bila kita berimpian, selalunya tindakan kita agak bukan-bukan.

Sehingga suatu hari, Turbo hampir sahaja terbunuh dilenyek oleh mesin pemotong rumput. Dia sangat kecewa dan hampir berputus asa. Namun, secara tiba-tiba Turbo tersedut masuk ke dalam enjin sebuah kereta lumba. Cecair Nitrat Oksida yang digunakan sebagai alat pecutan kereta lumba telah mengalir ke dalam DNA Turbo, hasilnya dia tiba-tiba mempunyai kuasa ajaib untuk bergerak dengan sangat pantas. Untuk mencapai impiannya, iaitu diiktiraf sebagai siput terpantas di dunia, Turbo telah menyertai pertandingan lumba kereta elit, di mana dia perlu beradu kelajuan bersama manusia-manusia yang memandu enjin kereta yang paling laju. Dengan bantuan tuannya, Tito dan setelah beberapa rintangan hebat dilalui, akhirnya Turbo berjaya menjadi juara perlumbaan tersebut, mengalahkan manusia-manusia dengan kereta lumba hebat masing-masing!

Ya! Cerita ini sekadar imaginasi penulis. Tiada kaitan dengan yang hidup atau yang mati, namun mesej keseluruhannya sangat-sangat memberi kesan mendalam. Dari segi akal yang biasa, memang tidak logik bagi seekor siput untuk memenangi kejohanan kereta lumba yang setaraf dengan Formula One. Siput? Menang Formula One?

Tapi begitulah akal kita, begitulah diri kita. Sebagai manusia yang biasa kita terbiasa menjadi orang biasa-biasa. Di dalam dunia ini pun, lebih ramai orang yang memilih untuk menjadi orang biasa. Orang yang luar biasa dilihat sebagai “freaky”, penuh elemen-elemen pelik dan mungkin juga kelihatan seperti melebih-lebih! Ada juga antara kita yang berpendapat, orang yang luar biasa ini hanyalah di kalangan orang-orang kaya, orang-orang terkenal, Kerabat Diraja, dan mungkin orang yang menetap di negara-negara barat sahaja. Orang Malaysia, orang kampung kita, orang yang sehari-harinya makan nasi lemak dan roti canai tidak boleh dan tidak logik untuk menjadi luar biasa.

Apa ertinya menjadi luar biasa? Menjadi luar biasa bukan bermakna kita perlu memiliki kuasa-kuasa ajaib dan magik-magik. Bukan bermakna kita perlu menjadi dukun-dukun yang penat menghafal jampi serapah. Bukan perlu menjadi orang yang boleh bercakap dengan hantu dan jin. Tapi itulah sebenarnya mentaliti biasa kita. Orang yang memiliki ilmu-ilmu ghaib ini lebih senang dihubungkaitkan dengan seseorang yang luar biasa.

Menjadi seorang yang luar biasa bermakna kita berbeza dari kelompok manusia lain yang di sekeliling kita. Perbezaannya adalah dari segi pencapaian dalam kehidupan. Selalunya pencapaian tersebut sangat berbeza sehinggakan kita dilihat sebagai luar biasa!

Apa yang luar biasanya? Semua orang mahukan pencapaian yang hebat-hebat dalam kehidupan. Terutamanya pencapaian yang berbentuk materialistik. Kereta siapa yang lebih besar, rumah siapa yang lebih luas dan duit siapa yang lebih bertingkat-tingkat! Definisi pencapaian hebat yang sebenarnya adalah dalam konteks yang lebih besar dari pencapaian bersifat materialistik. Ia juga mencakupi pencapaian dari segi kerohanian. Namun, bagi semua pencapaian hebat ini pasti menuntut banyak pengorbanan. Pengorbanan, kejayaan mengatasi segala rintangan serta kesakitan itulah yang menjadikan kita luar biasa hebatnya.

Bagaimana ingin menjadi luar biasa? Untuk menjadi luar biasa, kita tidak perlu minum Nitrat Oksida seperti si siput bernama Turbo. Kita juga tidak perlu bertapa di gunung dan gua berhari-hari. Kita hanya perlu mengenalpasti apa yang menjadikan orang lain sama sahaja dan kita cuba untuk tidak menjadi seperti mereka. Kita juga boleh kenalpasti apa ciri-ciri atau kemampuan di dalam diri kita yang menjadikan kita berbeza dari orang lain dan akhirnya gunakan ciri-ciri atau kemampuan kita yang berbeza itu sebagai satu alat untuk mencapai impian. Mudahkan?

Ianya tidak semudah yang disangka. Musuh utama dalam proses menjadi luar biasa bukanlah datangnya dari tempat yang jauh-jauh, tapi sebenarnya adalah dari diri kita sendiri. Diri kita ini ‘lah yang selalu merekacipta seribu alasan, konon mahu kuruskan badan, baru berdiet setengah hari sudah seperti mahu pengsan. Diri kita inilah yang selalu mengeluarkan kata-kata negatif kepada tuannya, baru bersenam lima minit kita sudah berperang dengan perasaan.

Ada juga kalanya, logistik atau persekitaran menjadi musuh utama. Dalam beberapa keadaan, ketika kita dalam proses untuk menjadi luar biasa, ahli keluarga dan orang terdekat akan membantah segala usaha. Bukannya apa, mereka cuma bimbang kita akan gagal dan kecewa bertahun-tahun lamanya, sama seperti mereka, dan mereka lebih suka jika kita sama sahaja seperti mereka.

Namun, bagi seseorang yang berimpian besar untuk menjadi luar biasa, halangan-halangan ini bukanlah suatu alasan. Mereka akan redah saja. Bagi mereka It is my live, it’s now or never!

Dalam memenangi peperangan dengan diri sendiri, ada taktik-taktik peperangan yang perlu kita fahami dan amalkan. Kita sebenarnya dilahirkan hebat, namun kesibukan kita menjalani hidup yang biasa-biasa telah mengalahkan kehebatan diri sendiri sehingga kita memerlukan ilmu khas untuk kembali memiliki kehebatan tersebut.

Turbo mempunyai semangat yang kuat, kepercayaan pada diri, daya ketahanan yang tinggi dan fikirannya yang sentiasa positif telah membantu impiannya menjadi kenyataan. Keinginannya mengatasi segala. Selagi tidak mencapai impiannya, tidak lengkap rasa kehidupan. Dia mempunyai keinginan yang luar biasa hebatnya. Begitu juga dengan kita manusia, jika kita benar-benar serius untuk mencapai impian, kita TERPAKSA menjadikan luar biasa satu formula kehidupan.

Setiap dari kita sudah tentu mempunyai impian. Namun selalunya kita tidak mengetahui cara untuk mencapai impian-impian tersebut, lalu kita membiarkannya sekadar menjadi angan-angan dan bakal menguburkannya bersama jasad kita suatu hari nanti.

Andai siput boleh menjadi luar biasa demi mencapai impiannya, kenapa tidak kita? Jadilah yang luar biasa, kerana anda tidak tahu kemahiran dan potensi diri yang anda ada mungkin dapat menjadikan anda seorang jutawan dunia dan akhirat!

“It is not how good you are now but it is how good you want to be tomorrow.”

 

Comments

comments