Tidak terlalu awal jika kami ingin ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin kepada semua pembaca. Diharap semua pembaca telah menyambut Hari Raya tahun ini dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran disamping keluarga tercinta. Kita imbas seketika, sebelum Hari Raya menjelma, kita sibuk dengan menyediakan bajet khas bagi menempuh hari bahagia ini. Persiapan bajet baju baru, aksesori, minyak wangi, kereta baru, duit raya untuk kanak-kanak dan berbagai lagi bajet dibuat. Mengikut hasil kajian, ramai orang yang sanggup mengeluarkan duit simpanan yang ada dan gunakannya semata-mata untuk persiapan bajet raya. Habis duit simpanan!

Hari Raya bakal berlalu dengan bahagia sekali. Sekarang, cabaran baru datang menjelma iaitu bajet selepas Hari Raya. Pada waktu ini, jika dilihat wang yang berada di dalam dompet dan akaun simpanan sudah mula susut berbanding sebelum raya. Bil-bil dan tanggungan bulanan masih kekal pada kos anggaran RM yang sama, tak susut-susut. Bila dibandingkan wang yang ada dengan kos bulanan, mulalah kepala menjadi kusut masai.

Kredit kad, pinjaman dari Along atau rakan, cagar-mencagar barang dan bermacam cara lagi untuk mendapatkan wang akan mula berleluasa, semua ini terjadi akibat dari tidak merancang kewangan selepas hari raya. Kali ini saya akan kongsi 5 tip yang boleh digunakan bagi menghadapi situasi ini dengan lebih bersistematik.

#1 KENAL PASTI KOS BULANAN

Ini merupakan kos tetap yang dibayar setiap bulan seperti bil utiliti, kereta, rumah dan lain-lain. Ambil sehelai kertas dan tuliskan kesemua kos dan jumlahkannya sekali. Apabila anda mendapat satu jumlah RM keseluruhan kos tetap, jangan buang masa lagi – selesaikannya secepat mungkin dengan wang yang ada pada anda. Kos ini adalah wajib dibayar dahulu berbanding dengan yang lain.

#2 MENCARI WANG TAMBAHAN SEGERA

Tip ini hanya sesuai bagi mereka yang menghadapi masalah tidak cukup wang untuk menyelesaikan kos tetap (di atas). Pinjam duit dengan niat akan memulangkannya kembali, anda boleh pinjam duit dari sesiapa sahaja kecuali Along. Cuba pinjam dari keluarga dahulu, jika tidak dapat beralih kepada rakan terdekat. Anda juga boleh menggunakan kad kredit jika memilikinya. Kad kredit dapat membantu anda jika anda tahu cara menggunakannya – tersalah guna maka dompet binasa!

Jika pinjaman dan kad kredit tidak berkesan, tiada cara lain lagi kecuali menjadi ‘usahawan instant’. Cari barang-barang lama yang masih elok dipakai dan lelongkannya di merata tempat. Anda mungkin boleh jualkannya melalui online seperti Facebook, mudah.my dan lain-lain lagi. Mungkin dengan teknik ini, secara semulajadi akan mendidik anda menjadi seorang usahawan berjaya di masa hadapan.

#3 MULA BERJIMAT

Selesai membayar kos tetap, sekarang masa untuk tanggungan hidup bulanan seperti minyak kereta, makan minum, shopping, hiburan dan sebagainya. Sekali lagi, ambil kertas dan tuliskan kos-kos yang penting perlu ada dalam hidup selain dari hiburan dan shopping. Dengan baki wang yang ada, cuba bandingkan sama ada cukup atau tidak. Jika tidak, mulakan ‘Operasi Jimat’. Di sini terdapat beberapa idea yang boleh anda gunakan untuk operasi jimat:

  • Bawa bekal makan ke pejabat
  • Menaiki kenderaan awam
  • Hentikan nafsu shopping buat sementara
  • Hentikan aktiviti hiburan yang tidak bermanfaat
  • Makan malam di rumah (masak sendiri)
  • Kurangkan penggunaan telefon untuk elak bil naik.
  • Kurangkan penggunaan elektrik dan air. Terdapat banyak lagi cara untuk kita berjimat, semuanya terpulang kepada diri sendiri.

#4 MULA BERNIAGA

Tadi tip #2 menceritakan mencari wang tambahan segera bagi menyelesaikan kos tetap bulanan. Sekarang tip #4 mengajak anda berniaga untuk mencari wang tambahan selamanya. Cara paling cepat untuk kaya dan berjaya adalah dengan berniaga. Pergi cari ilmu perniagaan dahulu melalui pembacaan , kelas atau seminar. Nak cara fast track – cari mentor yang terbukti berjaya untuk ajar anda.

#5 MERANCANG KEWANGAN

Selepas dompet dan simpanan anda kembali pulih seperti biasa, sudah tiba masanya untuk anda merancang kewangan dengan lebih teratur. Selain simpanan di dalam bank, anda juga boleh buat beberapa tabung khas untuk digunakan bagi tujuan tertentu seperti tabung persiapan ‘Hari Raya’ tahun hadapan. Ini bagi mengelakkan anda dari mengalami beban yang sama di masa hadapan. Jangan lupa buat sedikit pelaburan seperti emas, hartanah, pelaburan saham dan lain-lain.

Comments

comments